Kenalilah Tuhan Yehuwa
Kenalilah Tuhan Yehuwa
BANYAK orang rasa hidup ini tiada makna. Mungkinkah ini kerana mereka belum benar-benar mengenali Pencipta mereka? Jutaan orang telah mendapat banyak manfaat setelah mengenali Bapa kita di syurga. Berkat-berkat ini telah membantu mereka ada hidup yang bahagia dan bermakna.
Dalam Bible, Pencipta kita memperkenalkan diri-Nya kepada kita. Mazmur 83:18 kata, “Hendaklah orang tahu bahawa Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.” Yehuwa tahu bahawa kita akan mendapat banyak manfaat jika kita mengenali-Nya. Dia berkata, “Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Aku mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu.” Apakah manfaat-manfaat yang dapat kita raih?—Yesaya 48:17.
Kita boleh dapat bimbingan yang baik untuk menghadapi cabaran hidup, harapan yang sejati untuk masa depan, dan ketenangan minda. Selain itu, kita akan mendapat jawapan kepada soalan-soalan yang penting dalam hidup. Dengan demikian, kita dapat memupuk pandangan yang seimbang terhadap kesusahan yang dialami hari ini. Apakah sesetengah soalan yang ditanya orang hari ini?
Apakah Tujuan Hidup?
Dalam dunia yang canggih hari ini, masih ada banyak soalan tentang hidup yang belum terjawab. Contohnya: Mengapa kita wujud? Apakah tujuan hidup kita? Apakah masa depan manusia? Jika soalan-soalan ini tidak terjawab, hidup kita tidak bermakna dan kita akan rasa kosong. Pada hujung 1990-an, satu kajian telah dilakukan di Jerman. Dalam kajian itu, separuh daripada calon yang menyertainya berasa bahawa hidup mereka kosong dan tiada tujuan.
Tanpa tujuan hidup yang betul, kita mungkin mengejar matlamat hidup yang salah. Sesetengah orang berusaha untuk mengejar kekayaan atau menumpukan usaha kepada kerjaya mereka. Namun, semua ini sia-sia dan tidak dapat memberi kita makna hidup yang memuaskan. Akibatnya, sesetengah orang hilang harapan dan tidak mahu hidup lagi. Itulah yang telah berlaku kepada seorang wanita yang muda. Walaupun dia kaya, cantik, dan terkenal, dia rasa hidupnya tiada tujuan dan dia sangat sunyi. Malangnya dia telah membunuh diri. Sedihnya, ramai orang juga berasa seperti dia dan telah mengakhiri nyawa sendiri.
Sesetengah orang pula berpaling kepada sains. Tetapi dapatkah itu membantu mereka? Memang tidak dapat dinafikan bahawa sains telah banyak menyumbang kepada kehidupan manusia. Sains membantu kita faham tentang kitaran alam dan proses tentang kehidupan. Namun demikian, dapatkah sains membantu kita memahami tujuan kehidupan? Surat khabar Jerman Die Woche menyatakan, “Sains tidak dapat memenuhi keperluan rohani manusia. Bukan itu sahaja, teori evolusi dan fizik kuantum juga tidak dapat membantu manusia mendapat kelegaan atau memahami makna hidup.” Oleh itu, surat khabar Süddeutsche Zeitung menyatakan bahawa manusia “di merata tempat sangat memerlukan bimbingan dalam hidup mereka.”
Jadi siapakah yang dapat membantu kita? Tidak lain tidak bukan, Pencipta kita. Tuhan Yehuwa telah menciptakan manusia. Dia ingin kita menjaga bumi ini, beranak cucu, dan memenuhi seluruh bumi. Dia juga ingin manusia memupuk sifat-sifat seperti kasih, keadilan, dan kebijaksanaan. Jika kita berpaling kepada Pencipta kita, kita akan tahu sebabnya kita wujud dan menjalani kehidupan yang bermakna.—Kejadian 1:26-28.
Apakah yang Anda Harus Lakukan?
Untuk mengetahui jawapan tentang tujuan hidup, kita perlu mengenali Tuhan Yehuwa dengan lebih baik. Yesus kata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.” Selain itu, berusahalah untuk memupuk sifat-sifat yang baik, terutamanya kasih. Anda juga harus bertekad untuk hidup menurut prinsip Tuhan. Dengan demikian, anda dapat menikmati masa depan yang cerah di bawah Kerajaan Tuhan.—Yohanes 17:3; Pengkhutbah 12:13.
Mari kita lihat satu contoh yang menunjukkan bagaimana kehidupan seorang lelaki berubah setelah dia mengenal Tuhan. Walaupun Hans * percaya Tuhan wujud, dia tidak membiarkan Firman Tuhan membimbing cara hidupnya. Oleh sebab itu, dia hidup menurut kesukaan hatinya dan sering melakukan hal-hal yang jahat. Dia juga mengejar kebendaan dan menghisap dadah. Adakah gaya hidupnya memberinya kepuasan dan kebahagiaan sejati? Hans kata dia rasa kosong dan hidupnya tiada makna. Semasa Hans berumur sekitar 25 tahun, dia memutuskan untuk menyelidiki Bible dengan lebih baik. Selepas mengenali siapa sebenarnya Yehuwa, dia mula memahami tujuan kehidupannya. Hans mengubah cara hidupnya dan akhirnya dia dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Apakah perasaan Hans setelah membuat perubahan yang besar dalam hidupnya? Setelah berkhidmat sepenuh masa kepada Yehuwa selama 10 tahun, Hans berkata, “Menyembah Yehuwa ialah cara hidup yang terbaik. Tiada apa-apa yang lebih memuaskan daripada itu. Akhirnya hidup saya penuh makna.”
Sebenarnya orang bukan fikir tentang tujuan kehidupan sahaja. Seraya keadaan di bumi menjadi lebih teruk, ada satu lagi persoalan yang membingungkan orang.
Mengapakah Kita Menderita?
Semasa orang menghadapi masalah, mereka sering bertanya, “Mengapakah hal ini menimpa saya?” Tambahan lagi, jika mereka tidak mendapat jawapan yang betul kepada soalan itu, hal itu akan membuat mereka lebih sengsara. Mereka mungkin rasa kecewa, geram, dan hilang harapan. Sebagai contoh, mari kita lihat pengalaman Bruni.
Bruni berkata, “Beberapa tahun lalu, anak perempuan saya [Susanne] meninggal.” Bruni percaya kepada Tuhan. Maka untuk mencari kelegaan, dia pergi berjumpa dengan paderinya. “Paderi kata Tuhan telah mengambil anak saya ke syurga untuk menjadi malaikat,” kata Bruni. “Selepas mendengar hal itu, saya menjadi lagi kecewa. Saya membenci Tuhan kerana telah mengambil anak saya.” Bruni dikuasai perasaan sedih dan marah selama bertahun-tahun. “Kemudian, saya berjumpa dengan salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia menunjukkan daripada Bible bahawa Yehuwa tidak mengambil Susanne ke syurga untuk menjadi malaikat. Anak saya mati kerana manusia tidak sempurna dan akan jatuh sakit. Susanne sedang tidur dalam kematian dan dia sedang tunggu masanya Yehuwa membangkitkannya. Saya juga belajar bahawa tidak lama lagi, bumi akan menjadi sebuah Firdaus. Selepas saya lebih mengenali Yehuwa dan menghampiri-Nya, kepedihan hati saya beransur-ansur hilang.”—Mazmur 37:29; Kisah 24:15; Roma 5:12.
Hari ini, jutaan orang sedang menderita. Ada yang menderita kerana masalah peribadi, perang, kebuluran, atau bencana. Bruni mendapat kelegaan semasa dia nampak daripada Bible bahawa Yehuwa tidak patut dipersalahkan atas masalah yang dihadapinya. Sebenarnya, semua masalah yang kita hadapi menunjukkan bahawa kita hidup pada “hari-hari terakhir.” Tidak lama lagi, Tuhan akan melenyapkan masalah kita dan membawa masa depan yang cerah.—2 Timotius 3:1-5; Matius 24:7, 8.
Kenali Tuhan
Dulu, Hans dan Bruni sekadar tahu bahawa Tuhan wujud. Tetapi mereka tidak betul-betul mengenali-Nya. Setelah mencurahkan usaha untuk mengenali Yehuwa, mereka mendapat jawapan kepada soalan-soalan yang membingungkan mereka. Hal ini memberi mereka ketenangan minda dan harapan yang cerah. Jutaan orang yang lain juga mempunyai pengalaman yang sama.
Untuk mengenali Yehuwa dan kehendak-Nya, anda harus mengkaji Bible. Orang Kristian abad pertama juga melakukan hal yang sama. Lukas menulis tentang sidang Berea di Yunani. Dia kata, “Mereka sangat sudi menerima firman Tuhan. Setiap hari, mereka mengkaji Ayat-Ayat Suci dengan teliti untuk memastikan sama ada apa yang didengar oleh mereka itu benar atau tidak.”—Kisah 17:10, 11.
Orang Kristian abad pertama juga berkumpul bersama untuk menyembah Tuhan. (Kisah 2:41, 42, 46; 1 Korintus 1:1, 2; Galatia 1:1, 2; 2 Tesalonika 1:1) Hari ini, Saksi-Saksi Yehuwa juga berbuat demikian. Melalui sidang, anda dapat menghampiri Yehuwa dan meraih sukacita. Selain itu, Saksi-Saksi Yehuwa juga berusaha untuk mencerminkan sifat Tuhan. Semasa anda bergaul dengan mereka, anda juga dapat semakin mengenali sifat-sifat baik Yehuwa.—Ibrani 10:24, 25.
Nampaknya, banyak usaha perlu dilakukan untuk menghampiri Tuhan. Tetapi dalam hidup kita, hakikatnya ialah kita harus berusaha jika kita ingin mendapat hasil yang baik. Sebagai contoh, ahli sukan pun harus berusaha dengan keras untuk meraih kemenangan. Atlet Perancis, Jean-Claude Killy, yang pernah menang pingat emas dalam Sukan Olimpik kata, ‘Anda harus menghabiskan 10 tahun untuk merancang dan melatih. Anda harus terus berusaha dari segi fizikal dan mental setiap hari.’ Memandangkan manusia sanggup membuat pengorbanan yang begitu besar demi satu pingat, apatah lagi untuk mendapat masa depan yang kekal. Sudah pasti usaha kita untuk mengenali Yehuwa sangat berbaloi.
Kukuhkan Hubungan Anda dengan Tuhan
Adakah anda rasa hidup anda kosong atau kurang bermakna? Adakah anda mempunyai banyak pertanyaan yang tidak dapat dijawab oleh manusia? Jika demikian, teruslah bertekad untuk mengenali Yehuwa dan mempelajari Bible. Hasilnya, hidup anda akan menjadi lebih baik dan bahagia buat selama-lamanya.
Sebenarnya, proses untuk mengenali Yehuwa tiada penghujungnya. Tidak kira berapa lama kita sudah kenal Yehuwa, masih ada banyak hal lagi yang dapat kita belajar tentang-Nya. Dengan demikian, hubungan kita dengan Tuhan akan menjadi semakin akrab dan kita pasti setuju dengan kata-kata Rasul Paulus: “Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan! Tiada sesiapa pun yang dapat memahami penghakiman dan jalan-jalan Tuhan! ‘Siapakah yang mengetahui fikiran Yehuwa, atau siapakah yang boleh menjadi penasihat-Nya?’”—Roma 11:33, 34.
[Nota kaki]
^ per. 12 Nama-nama telah diubah.
[Petikan pada muka surat 5]
Masih ada banyak soalan tentang hidup yang belum terjawab. Contohnya: Mengapa kita wujud? Apakah tujuan hidup kita? Apakah masa depan manusia?
[Petikan pada muka surat 6]
“Selepas saya lebih mengenali Yehuwa dan menghampiri-Nya, kepedihan hati saya beransur-ansur hilang”
[Petikan pada muka surat 7]
“Menyembah Yehuwa ialah cara hidup yang terbaik. Tiada apa-apa yang lebih memuaskan daripada itu. Akhirnya hidup saya penuh makna”