Mengapakah Anda Perlu Membaktikan Diri kepada Yehuwa?
Mengapakah Anda Perlu Membaktikan Diri kepada Yehuwa?
‘Malam tadi, malaikat daripada Tuhan, iaitu Tuhan yang memiliki aku berdiri di sisiku.’—KISAH 27:23.
1. Sebelum dibaptis, apakah yang telah dilakukan oleh calon pembaptisan? Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
“ATAS dasar korban Yesus Kristus, sudahkah anda bertaubat daripada dosa-dosa anda dan membaktikan diri kepada Yehuwa untuk melakukan kehendak-Nya?” Jawapan kepada soalan ini menunjukkan bahawa calon pembaptisan telah pun bertaubat dan membaktikan diri sebelum dibaptis. Mengapakah orang Kristian harus membaktikan diri kepada Yehuwa? Apakah manfaat berbuat demikian? Mengapakah ibadat kita hanya diterima jika kita membaktikan diri kepada Tuhan? Sebelum menjawab soalan-soalan ini, mari kita bincang terlebih dahulu maksud membaktikan diri kepada Yehuwa.
2. Apakah maksud pembaktian kita kepada Tuhan?
2 Apakah maksud pembaktian? Semasa Rasul Paulus berada di atas sebuah kapal, dia memberitahu orang di situ bahawa ‘Tuhan memiliki aku.’ (Baca Kisah 27:22-24.) Kata-katanya menggambarkan hubungan seseorang yang sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. Mereka tidak lagi “berada di bawah kuasa Si Jahat,” sebaliknya merupakan milik Tuhan. (1 Yoh. 5:19) Untuk membaktikan diri, seseorang berjanji dalam doa peribadi untuk menyerahkan hidupnya kepada Tuhan. Selepas itu barulah dia layak dibaptis.
3. Apakah yang dilambangkan oleh pembaptisan Yesus, dan bagaimanakah pengikutnya dapat meniru teladannya?
3 Sebagai orang Israel, Yesus merupakan umat yang sudah dibaktikan kepada Tuhan sejak lahir. Maka, pembaptisannya tidak melambangkan pembaktiannya. Sebaliknya, dia menunjukkan bahawa dia mahu menggunakan hidupnya untuk melakukan kehendak Tuhan. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Ya Tuhan, aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.” (Ibr. 10:7; Luk. 3:21) Hari ini, pengikut Yesus mengikut teladannya untuk dibaptis. Tetapi, berbeza daripada Yesus, pembaptisan kita menunjukkan di hadapan orang bahawa kita telah membaktikan diri kepada Tuhan melalui doa.
Manfaat Pembaktian bagi Kita
4. Apakah yang kita belajar tentang komitmen melalui persahabatan Daud dan Yonatan?
4 Pembaktian kepada Tuhan merupakan komitmen yang sangat serius. Ini bukanlah sekadar janji biasa tetapi merupakan keputusan yang terpenting dalam hidup kita. Apakah manfaat komitmen? Mari kita lihat contoh komitmen dalam hubungan persahabatan. Apabila dua orang mempunyai komitmen terhadap satu sama lain, mereka akan berusaha menjaga perasaan dan kepentingan satu sama lain. Hasilnya, mereka dapat menjadi sahabat yang sangat akrab. Itulah hubungan yang dinikmati oleh Daud dan Yonatan. Mereka begitu mementingkan persahabatan mereka sehingga berjanji untuk tetap setia kepada satu sama lain. (Baca 1 Samuel 17:57; 18:1, 3.) Komitmen sebegini sangat luar biasa dan membantu mereka memiliki persahabatan yang lebih rapat.—Ams. 17:17; 18:24.
5. Apakah yang dapat dilakukan oleh seorang hamba yang menemui tuan yang baik?
5 Hukum Musa juga menggambarkan satu lagi hubungan yang menunjukkan manfaat komitmen. Seorang hamba yang menemui tuan yang baik dapat membuat perjanjian agar menjadi milik kekal tuannya. Komitmen sedemikian membuat hamba itu berasa selamat di bawah naungan tuannya. Menurut Hukum Musa, “jika hamba itu berkata dengan sungguh-sungguh, ‘Aku mengasihi tuanku, isteriku, dan anak-anakku. Aku tidak mahu dibebaskan,’ tuannya harus membawanya menghadap Tuhan yang benar. Kemudian hamba itu akan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinganya. Maka dia akan menjadi hamba tuannya seumur hidup.”—Kel. 21:5, 6.
6, 7. (a) Apakah manfaat lain komitmen? (b) Dalam soal hubungan kita dengan Yehuwa, apakah yang diperlukan? Mengapakah hal itu penting?
6 Hubungan perkahwinan juga memerlukan tahap komitmen yang tinggi. Jika lelaki dan wanita tinggal bersama tanpa berkahwin, mereka tidak mempunyai komitmen kepada satu sama lain. Akibatnya, mereka dan anak-anak tidak akan berasa selamat. Sebaliknya, pasangan suami isteri yang mempunyai komitmen tidak akan cepat putus asa semasa masalah timbul. Mereka tidak memandang remeh ikatan perkahwinan kerana mereka sedar itu kewajipan dan tanggungjawab yang penting. Maka mereka akan berusaha menunjukkan kasih dan menerapkan prinsip Bible agar dapat menjayakan perkahwinan mereka.—Mat. 19:5, 6; 1 Kor. 13:7, 8; Ibr. 13:4.
7 Pada zaman Bible, orang juga mendapat manfaat dengan membuat komitmen dalam soal perniagaan dan pekerjaan. (Mat. 20:1, 2, 8) Hari ini, kita juga membuat komitmen, atau perjanjian, sebelum memulakan suatu perniagaan atau menerima pekerjaan. Jika komitmen sangat penting dan membawa hasil baik dalam persahabatan, perkahwinan, dan pekerjaan, apatah lagi dalam soal hubungan kita dengan Tuhan! Tidakkah hal ini menunjukkan betapa pentingnya membaktikan diri kepada Yehuwa? Sekarang, mari kita bincang manfaat yang diraih umat Israel yang membaktikan diri kepada Tuhan.
Pembaktian Membawa Manfaat kepada Orang Israel
8. Apakah hubungan antara orang Israel dengan Yehuwa setelah mereka membaktikan diri kepada-Nya?
8 Semasa dekat Gunung Sinai, Yehuwa berfirman kepada bangsa Israel, “Jika kamu sungguh-sungguh mentaati-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat pilihan-Ku antara semua bangsa.” Seluruh bangsa itu menjawab dengan sebulat suara, “Kami sudi mematuhi segala yang difirmankan oleh Yehuwa.” (Kel. 19:4-8) Janji mereka menunjukkan bahawa mereka telah membaktikan diri kepada Tuhan Yehuwa. Dengan itu, mereka menjadi milik Yehuwa dan Yehuwa menganggap mereka sebagai ‘umat pilihan-Nya.’
9. Apakah manfaat yang diraih bangsa Israel setelah membaktikan diri kepada Tuhan?
9 Orang Israel mendapat banyak berkat setelah menjadi umat milik Yehuwa. Dia setia kepada mereka dan menjaga mereka sepertimana ibu bapa yang pengasih menjaga anaknya. Yehuwa berfirman kepada umat-Nya, “Mungkinkah seorang ibu melupakan anak yang disusuinya atau tidak mengasihi anak dalam kandungannya? Sekalipun ibu melupakan anaknya, Aku tidak akan melupakan engkau.” (Yes. 49:15) Yehuwa juga membimbing mereka melalui Hukum-Nya, menggalakkan mereka melalui nabi-Nya, dan melindungi mereka melalui malaikat-Nya. Bible kata, “Dia memberikan firman-Nya kepada Yakub; Dia memberikan peraturan dan hukum-Nya kepada Israel. Dia tidak berbuat demikian bagi bangsa-bangsa lain.” (Mzm. 147:19, 20; baca Mazmur 34:7, 19; 48:14.) Yehuwa telah menjaga umat yang menjadi milik-Nya pada zaman dulu, dan Dia pasti akan berbuat demikian pada hari ini juga.
Mengapakah Kita Mesti Membaktikan Diri kepada Tuhan?
10, 11. Adakah kita menjadi sebahagian daripada keluarga Tuhan sejak lahir? Jelaskan.
10 Sesetengah orang mungkin tanya, “Mengapakah saya mesti membaktikan diri kepada Tuhan?” Kita perlu berbuat demikian agar diterima dalam keluarga Yehuwa. Namun persoalannya ialah, “Mengapakah kita tidak dianggap sebahagian daripada keluarga Tuhan sejak lahir?” Hal ini ada kaitan dengan perbuatan Adam dan Hawa.—Rm. 3:23; 5:12.
11 Selepas Adam dan Hawa memberontak terhadap Tuhan dan jatuh dalam dosa, mereka tidak dapat mewariskan kehidupan yang sempurna kepada anak-anak mereka. (1 Tim. 6:19) Akibatnya, kita semua hidup terasing daripada Tuhan dan tidak lagi dianggap sebagai anak-anak-Nya.—Bandingkan Ulangan 32:5.
12. (a) Bagaimanakah manusia yang tidak sempurna dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Tuhan? (b) Apakah langkah-langkah yang perlu kita ambil sebelum dibaptis?
12 Namun, kita boleh memohon Tuhan untuk menerima kita dalam keluarga-Nya. * Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Rasul Paulus kata, “Dahulu kita musuh Tuhan, tetapi melalui kematian Anak-Nya, kita sudah berbaik semula dengan Tuhan.” (Rm. 5:10) Selain itu, kita perlu mengambil beberapa langkah yang penting. Contohnya, kita perlu mengenali Tuhan, percaya kepada-Nya, bertaubat, dan mengubah cara hidup kita. (Yoh. 17:3; Kis. 3:19; Ibr. 11:6) Selepas itu, baru kita dapat dibaptis. Semasa dibaptis, kita memohon kepada Tuhan untuk memberi kita hati nurani yang bersih. (1 Ptr. 3:21) Tetapi, ada satu lagi langkah penting yang harus kita ambil sebelum diterima dalam keluarga Tuhan. Apakah langkah itu?
13. Berikan contoh yang menunjukkan mengapa kita harus berjanji atau berikrar kepada Yehuwa sebelum diterima dalam keluarga-Nya.
13 Kita harus berjanji dengan bersungguh-sungguh atau berikrar kepada Yehuwa untuk diterima dalam keluarga-Nya. Mari kita lihat satu contoh yang dapat membantu kita lebih memahami hal ini. Bayangkan seorang bapa yang baik ingin mengambil seorang remaja sebagai anak angkatnya. Sebelum menerima remaja itu dalam keluarganya, dia mahu remaja itu berjanji untuk menghormati dan mengasihinya sebagai bapa. Selepas remaja itu berjanji, barulah dia akan diterima dalam keluarga itu. Begitu juga, untuk diterima dalam keluarga Yehuwa, kita harus membaktikan diri dan berjanji untuk sembah Dia sahaja. Bible kata, ‘Persembahkanlah tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan.’—Rm. 12:1.
Pembaktian Menunjukkan Kasih dan Iman
14. Bagaimanakah janji pembaktian menunjukkan kasih kita kepada Tuhan?
14 Apabila kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita menunjukkan kita mengasihi-Nya dengan mendalam. Hal ini dapat disamakan dengan ikrar perkahwinan. Semasa upacara perkahwinan, pengantin lelaki membuktikan kasihnya dengan berikrar untuk tetap setia kepada bakal isterinya. Tanpa mengucapkan ikrar itu, dia tidak dapat menikmati sepenuhnya hak istimewa sebagai pasangan suami isteri. Begitu juga, kita tidak dapat menikmati semua manfaat sebagai ahli keluarga Yehuwa jika kita tidak berikrar kepada-Nya terlebih dahulu. Melalui janji pembaktian, kita menunjukkan kita mahu menjadi milik Yehuwa dan akan sentiasa setia kepada-Nya.—Mat. 22:37.
15. Bagaimanakah janji pembaktian menunjukkan iman kita kepada Tuhan?
15 Apabila kita membaktikan diri kepada Tuhan, kita sedang menunjukkan kita beriman kepada-Nya. Kita beriman bahawa hubungan yang akrab dengan Tuhan pasti membawa banyak manfaat. (Mzm. 73:28) Memang, kita akan menghadapi banyak halangan untuk menyembah Tuhan kerana kita hidup dalam “generasi yang jahat dan menyeleweng.” Tetapi kita menaruh iman kepada janji Yehuwa untuk menyokong kita. (Flp. 2:15; 4:13) Kita juga beriman bahawa Yehuwa akan menunjukkan belas kasihan kepada kita apabila kita berbuat salah. (Baca Mazmur 103:13, 14; Roma 7:21-25.) Selain itu, kita beriman bahawa Yehuwa akan memberkati kesetiaan kita.—Ayb. 27:5.
Pembaktian Kita Membawa Kebahagiaan
16, 17. Mengapakah pembaktian kepada Tuhan membawa kebahagiaan?
16 Dengan membaktikan diri kepada Tuhan, kita berasa bahagia kerana kita berjanji untuk memberi seluruh hidup kita kepada-Nya. Hal ini tepat seperti yang dikatakan Yesus, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kis. 20:35) Semasa Yesus di bumi, dia juga menikmati kebahagiaan kerana sering memberi kepada orang lain. Dia mengorbankan masa rehatnya dan keselesaan hidup untuk membantu orang menempuh jalan kehidupan. (Yoh. 4:34) Yesus berkata, “Aku selalu melakukan apa yang menyenangkan hati [Tuhan].” (Yoh. 8:29) Ya, dia sangat bersukacita kerana dapat membuat hati Yehuwa gembira.—Ams. 27:11.
17 Yesus juga mahu pengikutnya menikmati kehidupan yang bermakna. Maka dia memberitahu mereka, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri.” (Mat. 16:24) Apabila kita menerapkan nasihatnya itu, kita akan menghampiri Yehuwa. Sudah pasti kita akan meraih sukacita dan kebahagiaan kerana berada di bawah naungan kasih Tuhan.
18. Mengapakah kita meraih sukacita terbesar apabila kita menunaikan janji pembaktian kita?
18 Ramai orang di dunia ini menggunakan seumur hidup mereka untuk mengejar kekayaan. Namun mereka tidak memperoleh kebahagiaan dan kepuasan sejati. (Mat. 6:24) Sebagai “rakan sekerja Tuhan,” kita mendapat sukacita yang berkekalan. (1 Kor. 3:9) Kita tahu Yehuwa amat menghargai segala yang kita lakukan. Tiada kerja lain yang dapat membawa kepuasan yang sama. Biarpun khidmat kita terbatas kerana usia tua, Yehuwa berjanji untuk menjadikan kita muda semula. Sememangnya, Dia akan memberkati semua umat-Nya yang setia buat selama-lamanya.—Ayb. 33:25; baca Ibrani 6:10.
19. Apakah yang dapat dinikmati oleh orang yang membaktikan diri kepada Yehuwa?
19 Selepas membaktikan diri kepada Yehuwa, kita dapat menikmati hubungan yang akrab dengan-Nya. Bible kata, “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yak. 4:8; Mzm. 25:14) Dalam rencana seterusnya, kita akan lihat mengapa kita tidak perlu ragu-ragu dengan pilihan kita untuk menjadi milik Yehuwa.
[Nota kaki]
^ per. 12 “Biri-biri lain” hanya akan menjadi anak Tuhan pada akhir seribu tahun. Tetapi memandangkan mereka telah membaktikan diri kepada Tuhan, mereka dapat memanggil Tuhan sebagai “Bapa” mereka dan dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga rohani-Nya.—Yoh. 10:16; Yes. 64:8; Mat. 6:9; Why. 20:5.
Apakah Jawapan Anda?
• Apakah maksud membaktikan diri kepada Yehuwa?
• Apakah manfaat pembaktian?
• Mengapakah orang Kristian mesti membaktikan diri kepada Tuhan?
[Soalan Pembelajaran]
[Gambar]
Kita meraih sukacita terbesar apabila kita menunaikan janji pembaktian kita