BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Apakah yang Perlu Anda Tahu tentang Pusat Jagaan atau Taska?
Sesetengah ibu bapa yang bekerja memutuskan untuk menghantar anak prasekolah ke taska atau pusat jagaan. Adakah hal itu baik bagi anak-anak?
Soalan yang patut ditanyakan
Adakah hal ini akan mempengaruhi hubungan saya dengan anak? Mungkin. Otak anak mengalami perkembangan yang pesat semasa masih kecil. Hal ini dapat mempengaruhi cara dia berinteraksi dengan orang lain. Adalah penting untuk meluangkan sebanyak masa yang mungkin bersama anak semasa mereka ada dalam peringkat umur ini.—Ulangan 6:6, 7.
Jika anda ingin menghantar anak ke pusat jagaan, fikirlah cara-cara untuk tetap mengekalkan hubungan yang erat dengan anak anda.
Adakah hal ini akan menjejaskan pengaruh anda terhadap anak-anak? Mungkin. Buku Hold On to Your Kids menyatakan, “Semakin banyak masa yang anak anda luangkan bersama kawan-kawan, semakin senang bagi dia untuk dipengaruhi oleh mereka.”
Jika anda ingin menghantar anak ke pusat jagaan, fikirlah cara-cara anda dapat terus memainkan peranan utama sebagai ibu bapa untuk membentuk nilai dan sifat dalam anak anda.
Adakah pusat jagaan atau taska membantu anak menjadi lebih bijak dan menyesuaikan diri dengan baik semasa masuk alam persekolahan? Ada yang berkata, “Ya.” Ada pula yang kata bahawa hal itu hanya membawa sedikit manfaat atau langsung tiada manfaat bagi anak. Penelope Leach, seorang ahli psikologi kanak-kanak, berkata, “Jangan menipu diri dengan berfikir bahawa ‘pendidikan’ ialah kunci kejayaan. Ada yang berfikir bahawa semakin banyak dan semakin awal anak dididik secara rasmi, hasilnya lebih baik. Jika demikian, anda mungkin meremehkan peranan dan ‘pendidikan’ yang anda berikan kepada anak sejak dia lahir.”
Jika anda ingin menghantar anak ke pusat jagaan, fikirlah sama ada hal itu benar-benar diperlukan atau bermanfaat.
Adakah anda atau pasangan anda dapat berhenti kerja demi anak? Ada kalanya, kedua-dua ibu bapa bekerja agar dapat hidup mewah. Adakah berbaloi untuk terus berbuat demikian?
Jika anda ingin menghantar anak ke pusat jagaan, fikirlah cara-cara untuk mengurangkan perbelanjaan agar salah seorang daripada anda dapat menjaga anak di rumah.
Sebelum membuat keputusan untuk menghantar anak ke pusat jagaan atau taska, fikirlah masak-masak tentang baik buruk keputusan anda. Apakah yang harus anda lakukan jika anda memutuskan bahawa anda perlu membuat aturan penjagaan bagi anak anda?
Apa yang dapat anda lakukan
Bible kata, “Orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.” (Amsal 14:15) Renungkanlah prinsip itu dan pertimbangkan opsyen berikut sebelum memutuskan untuk menghantar anak ke pusat jagaan.
Ketahui pilihan anda
Sesetengah ibu bapa menghantar anak ke tempat jagaan yang beroperasi dari rumah. Aturan sebegini mungkin merangkumi seorang atau beberapa orang penjaga yang menjaga beberapa orang kanak-kanak.
Ibu bapa yang lain pula meminta bantuan saudara-mara, penjaga yang akan tinggal serumah, atau pengasuh sambilan.
Kesemua opsyen itu mempunyai kebaikan dan keburukan. Anda boleh menanya ibu bapa lain tentang pendapat mereka jika mereka pernah menghantar anak ke pusat jagaan atau membuat aturan penjagaan yang lain. Bible berkata, “Kebijaksanaan milik orang yang meminta nasihat.”—Amsal 13:10.
Bagaimana jika anda memutuskan untuk menghantar anak ke pusat jagaan? Fikirkanlah hal-hal berikut:
Ketahui tentang pusat jagaan tersebut
Adakah pusat itu memiliki lesen atau memenuhi syarat yang dituntut oleh undang-undang? Apakah kelayakan penjaga pusat itu? Apakah reputasi mereka? Bagaimanakah prestasi pusat itu?
Adakah pusat itu bersih dan selamat?
Apakah aktiviti yang ditawarkan? a
Ketahui tentang para penjaga pusat tersebut
Apakah latihan yang diterima oleh mereka? Hal ini merangkumi latihan dalam cara mendidik anak prasekolah, bantuan kecemasan, dan bantuan pernafasan (CPR).
Dapatkah anda memeriksa sama ada para penjaga di pusat itu mempunyai rekod jenayah?
Adakah pusat itu sering perlu mengupah penjaga yang baharu? Jika ya, hal ini dapat mempengaruhi anak anda kerana dia harus sering menyesuaikan diri dengan penjaga baharu.
Apakah nisbah penjaga kepada bilangan anak? Jika terdapat sedikit penjaga dan ramai kanak-kanak, hal ini bererti anak anda tidak akan mendapat banyak perhatian. Sudah tentu, hal ini juga bergantung pada umur dan keupayaan anak anda.
Adakah penjaga di pusat itu sudi berkomunikasi dengan anda secara terbuka?
a Contohnya, adakah penjaga hanya membiarkan anak-anak menonton TV, atau terdapat aktiviti lain yang membantu dalam perkembangan anak secara mental dan jasmani?