BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN
Luangkan Masa Bersama-Sama
Ramai pasangan suami isteri berasa susah untuk berkomunikasi dengan satu sama lain biarpun mereka ada di tempat yang sama. Apakah sebabnya?
Bersama tetapi berjauhan—mengapa?
Terlalu penat
“Apabila kami ada masa untuk luang bersama, biasanya saya atau suami saya terlalu penat. Jika saya penat, saya senang naik marah. Jadi lebih baik kami tengok TV saja.”—Anna.
Gangguan alat-alat elektronik
“Media sosial dan hiburan dalam Internet dapat memakan banyak masa. Kamu mungkin menggunakannya selama berjam-jam, dan langsung tidak bercakap dengan pasangan kamu. Jadi kamu berdua seperti di tempat yang berlainan.”—Katherine.
Mempunyai minat yang berbeza
“Selepas suami saya pulang dari kerja, dia biasanya sibuk dengan hobinya. Dia bekerja keras, jadi dia memang patut ada masa sendiri. Tapi sebenarnya, saya mahu meluangkan lebih banyak masa bersamanya.”—Jane.
Kerja
“Disebabkan teknologi, kita dapat bekerja walaupun berada di rumah bersama keluarga. Apabila saya ada masa untuk luangkan dengan isteri saya, saya sering kali menggunakan masa itu untuk membalas e-mel dan SMS tentang kerja.”—Mark.
Apa yang dapat anda lakukan
Anggaplah masa bersama sebagai hal yang sangat penting.
Prinsip Bible: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”—Filipi 1:10.
Cuba renungkan: Adakah tindakan anda menunjukkan bahawa perkahwinan anda lebih penting daripada kerja atau hobi anda? Adakah anda hanya memberikan masa dan perhatian kepada pasangan anda setelah hal-hal lain diselesaikan?
Tip: Buatlah rancangan secara tetap untuk meluangkan masa bersama pasangan anda tanpa gangguan.
“Saya sangat suka apabila suami saya merancang masa untuk kami berdua saja. Dia membuat saya rasa istimewa dan yakin bahawa dia suka meluangkan masa dengan saya. Hal itu membuat saya lebih mencintainya.”—Anna.
Ketepikan dahulu alat elektronik anda.
Prinsip Bible: “Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu.”—Pengkhutbah 3:1.
Cuba renungkan: Seberapa kerapkah SMS atau notifikasi telefon menyimpangkan perhatian anda daripada pasangan anda?
Tip: Cubalah makan bersama sekurang-kurangnya sekali sehari, dan letaklah telefon anda di tempat yang lain. Waktu makan merupakan peluang yang baik untuk berbual tentang kegiatan anda berdua pada hari itu.
Jika boleh, buatlah kerja di rumah atau membeli-belah bersama.
Prinsip Bible: “Berdua lebih baik daripada seorang diri kerana mereka dapat bekerjasama dan menikmati hasil baiknya.”—Pengkhutbah 4:9.
Cuba renungkan: Seberapa kerapkah anda atau pasangan anda membeli-belah seorang diri?
Tip: Buatlah kerja di rumah dan membeli-belah bersama-sama biarpun kerja itu boleh disiapkan oleh seorang sahaja.
“Cubalah anggap kerja seperti mencuci pinggan, melipat kain, melakukan kerja di halaman rumah, atau membeli-belah sebagai peluang untuk meluangkan masa bersama.”—Nina.
Bersikap munasabah.
Prinsip Bible: “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui.”—Filipi 4:5.
Cuba renungkan: Bagaimanakah anda dapat bersikap munasabah tentang apa yang anda harapkan daripada pasangan anda?
Tip: Bincanglah bersama dan cuba memahami keperluan masing-masing. Buatlah keputusan tentang bagaimana anda berdua dapat menggunakan masa dalam cara yang akan membuat anda berdua gembira.
“Suami saya ada banyak tenaga, tapi saya pula sikit saja kerana saya ada masalah kesihatan. Saya selalu suruh dia keluar untuk buat aktiviti yang dia suka sementara saya berehat di rumah. Dengan itu, suami saya dapat senaman yang dia perlukan dan saya pula dapat rehat yang saya perlukan. Hasilnya, kami berdua lebih gembira.”—Daniela.
Hal yang boleh dibincangkan
Mula-mula, fikirkan soalan-soalan berikut masing-masing. Kemudian, bincangkan jawapan anda bersama.
Adakah anda berasa bahawa anda dan pasangan anda meluangkan cukup masa bersama?
Apakah yang telah dilakukan pasangan anda agar dapat meluangkan masa dengan anda?
Apakah perubahan yang anda inginkan?
Seberapa kerapkah alat elektronik mengganggu perhatian anda semasa pasangan anda sedang bercakap dengan anda?
Bagaimanakah anda berdua dapat bersikap munasabah tentang apa yang anda harapkan daripada satu sama lain?
Apakah perubahan yang dapat anda berdua lakukan pada minggu ini agar dapat meluangkan masa bersama tanpa gangguan?