KAUM MUDA BERTANYA
Dating—Bahagian 2: Apakah yang Patut Saya Jangkakan semasa Berdating?
Kamu tertarik dengan seseorang yang kamu jumpa, dan kamu berdua memutuskan untuk berdating dan melihat jika kamu sesuai untuk menjadi pasangan hidup. Apakah yang patut kamu jangkakan semasa kamu saling mengenali?
Dalam rencana ini
Jangkakan komunikasi yang terbuka
Kamu berdua akan lebih mengenali satu sama lain apabila kamu meluangkan masa bersama. Kamu akan mengetahui sesetengah perkara tentang dia dengan memerhatikan kelakuannya.
Namun, terdapat sesetengah hal yang kamu berdua perlu bincangkan secara terbuka. Semasa melakukannya, janganlah membiarkan emosi mengelabui fikiran kamu sehingga kamu membuat keputusan berdasarkan perasaan dan bukannya fakta.
Topik-topik yang kamu berdua perlu bincangkan adalah seperti:
Kewangan. Adakah kamu memiliki hutang? Adakah kamu kadangkala berasa susah untuk mengawal perbelanjaan kamu? Jika kamu berkahwin, bagaimanakah kamu dan pasangan kamu akan membuat keputusan tentang pendapatan dan perbelanjaan?
Kesihatan. Adakah kamu sihat? Pernahkah kamu mengalami masalah kesihatan yang serius sebelum ini?
Matlamat. Apakah matlamat hidup yang ingin kamu capai? Adakah matlamat kamu sama dengan matlamat teman wanita atau teman lelaki kamu? Selepas berkahwin, adakah kamu akan tetap gembira jika keadaan tidak mengizinkan kamu untuk mencapai matlamat kamu?
Keluarga. Adakah kamu memiliki tanggungjawab untuk menjaga ahli keluarga kamu? Adakah kamu berasa bahawa kamu akan mempunyai tanggungjawab ini pada masa depan? Adakah kamu ingin mempunyai anak? Jika ya, berapa?
Semasa membincangkan topik-topik sebegitu, kamu perlu jujur sepenuhnya. Janganlah menyembunyikan atau memutarbelitkan fakta semata-mata ingin kelihatan lebih menarik.—Ibrani 13:18.
Cuba renungkan: Apakah yang perlu kamu tahu tentang dia? Apakah yang perlu dia tahu tentang kamu? Bagaimanakah kejujuran membantu kamu untuk memiliki komunikasi yang terbuka jika kamu berdua memutuskan untuk berkahwin?
Prinsip Bible: “Hendaklah setiap orang daripada kamu bercakap benar sesama manusia.”—Efesus 4:25, Alkitab Versi Borneo.
“Seorang gadis mungkin fikir, ‘Dalam masa enam bulan, kami mungkin akan bertunang,’ tetapi lelaki mungkin fikir itu akan berlaku dalam masa setahun. Jika begitu, gadis itu mungkin sakit hati dan bingung kerana dia harapkan mereka akan buat komitmen lebih cepat, sedangkan lelaki tidak fikir begitu. Jadi, adalah penting bagi kedua-dua pihak tahu fikiran satu sama lain tentang hal ini.”—Ariana, sudah berkahwin selama setahun.
Jangkakan pandangan yang berbeza
Setiap orang tidak sama. Jadi, jangan menganggap bahawa kamu dan dia akan sependapat dalam semua hal. Faktor-faktor seperti budaya dan cara kamu dibesarkan dapat mempengaruhi pandangan kamu.
Cuba renungkan: Jika terdapat perbezaan pendapat dalam hal yang kecil, adakah kamu berdua sudi untuk bertolak ansur demi kedamaian asalkan tidak bercanggahan dengan standard Bible?
Prinsip Bible: “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.”—Filipi 4:5.
“Biarpun kamu rasa kamu sangat serasi, kamu berdua akan tetap ada perbezaan. Keserasian memang penting, tapi sifat-sifat yang ditunjukkan seseorang semasa menangani perbezaan adalah lebih penting.”—Matthew, sudah berkahwin selama lima tahun.
Jangkakan stres semasa berdating
Sudah tentu, dating akan mengambil banyak masa kamu dan mungkin membuat kamu rasa stres. Apakah yang dapat bantu kamu?
Tetapkan had yang munasabah. Jangan terlalu fokus kepada berdating sehingga kamu mengabaikan tanggungjawab kamu atau sahabat-sahabat kamu yang lain. Alana, yang sudah berkahwin selama lima tahun, berkata, “Kamu masih perlukan kawan-kawan kamu selepas kamu berkahwin, dan mereka juga perlukan kamu. Janganlah abaikan mereka sekarang hanya kerana kamu sudah mula berdating.”
Ingatlah, semasa kamu berkahwin, kamu perlu seimbang menggunakan masa dan tenaga dalam semua aspek hidup kamu. Jadi, adalah bagus untuk berusaha melakukan hal ini semasa berdating.
Cuba renungkan: Adakah kamu menginginkan masa dan perhatiannya secara tidak munasabah? Adakah kamu berasa bahawa dia menuntut terlalu banyak hal daripada kamu? Bagaimanakah kamu berdua dapat bersikap seimbang agar tiada yang berasa penat secara emosi?
Prinsip Bible: “Ada waktu yang tertentu untuk segala sesuatu.”—Pengkhutbah 3:1.
“Jika pasangan yang berdating hanya meluangkan masa mereka untuk berekreasi, alam perkahwinan mungkin akan buat mereka terkejut. Adalah baik untuk pasangan melakukan aktiviti seharian seperti membeli-belah, melakukan kerja rumah, dan beribadat bersama. Hal ini dapat membantu mereka untuk membina asas yang kukuh bagi perkahwinan mereka.”—Daniel, sudah berkahwin selama dua tahun.
Ingatlah, masa berdating hanya sementara dan selepas itu kamu perlu memutuskan sama ada akan berkahwin atau mengakhiri hubungan romantik itu. Bahagian 3 untuk siri ini akan membincangkan perkara-perkara yang kamu perlu pertimbangkan semasa membuat keputusan tersebut.