KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Bible Dapat Membantu Saya?—Bahagian 3: Memanfaatkan Sepenuhnya Pembacaan Bible
Semasa kamu buka Bible, kamu akan lihat banyak perkataan. Janganlah biar hal itu menakutkan kamu! Sebaliknya, bayangkan Bible seperti meja yang ada pelbagai jenis makanan di restoran bufet. Kamu tidak dapat makan semuanya. Tapi kamu boleh pilih makanan yang secukupnya untuk rasa puas.
Untuk mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada pembacaan Bible, kamu perlu tumpu perhatian pada apa yang kamu baca. Rencana ini dapat membantu kamu.
Dalam rencana ini
Mengapa tumpu perhatian semasa kamu membaca Bible?
Semakin banyak usaha yang kamu curahkan untuk membaca Bible, semakin banyak manfaat yang kamu akan peroleh. Fikirkan perbandingan ini: Kamu boleh masukkan uncang teh ke dalam air panas buat seketika dan sedikit rasa teh akan meresap. Tapi, rasa teh lebih kuat jika kamu biarkan uncang teh dalam air panas untuk lebih lama.
Begitu juga dengan pembacaan Bible. Daripada membaca Bible dengan sangat cepat, luangkanlah lebih masa untuk fikir tentang apa yang kamu baca. Itulah yang penulis Mazmur 119 buat. Mengenai hukum Tuhan, dia kata, “Aku merenungkannya sepanjang hari.”—Mazmur 119:97.
Sudah tentu, ini tidak bermaksud kamu perlu meluangkan sepanjang hari untuk membaca dan memikirkan tentang Bible. Ini isi pentingnya: Pemazmur itu meluangkan masa untuk fikir tentang Firman Tuhan. Dengan itu, dia dibantu untuk membuat keputusan yang baik.—Mazmur 119:98-100.
“Pernah sekali mak bagitahu saya, ‘Kamu ada tujuh hari seminggu. Dalam tujuh hari itu, kamu buat banyak hal untuk diri sendiri. Apa kata kamu beri sedikit masa kepada Yehuwa? Barulah adil kan?’”—Melanie.
Apabila kamu fikir tentang prinsip Bible, kamu akan lebih bijak dalam membuat keputusan yang baik. Contohnya, semasa kamu pilih kawan atau semasa kamu digoda untuk buat sesuatu yang salah.
Bagaimana kamu boleh dapat manfaat sepenuhnya daripada pembacaan Bible?
Buat rancangan. Seorang remaja yang bernama Julia mencadangkan, “Buatlah jadual masa untuk pembacaan Bible. Ketahui apa, bila, dan di mana kamu akan baca Bible.”
Wujudkan suasana yang sesuai. Seorang gadis yang bernama Gianna mencadangkan, “Carilah tempat yang senyap. Selain itu, beritahu ahli keluarga tentang jadual pembacaan Bible kamu supaya mereka tidak mengganggu pada masa itu.”
Jika kamu sedang guna alat elektronik, matikan semua notifikasi. Kamu juga boleh cuba guna Bible bercetak. Sebenarnya, hasil penyelidikan menunjukkan bahawa membaca menerusi bahan bercetak dapat memudahkan pemahaman. Sebaliknya, adalah lebih susah untuk beri tumpuan yang mendalam apabila kamu baca daripada skrin.
“Saya dapati perhatian saya akan tersimpang jika saya baca daripada skrin. Saya mendapat notifikasi, atau bateri semakin kurang, atau sambungan Internet terputus. Tapi dengan buku bercetak, semua itu tak penting. Apa yang saya perlu hanyalah cukup cahaya.”—Elena.
Berdoa terlebih dahulu. Mintalah bantuan Yehuwa agar kamu faham, ingat, dan mendapat manfaat daripada bahagian Bible yang kamu rancang untuk baca.—Yakobus 1:5.
Untuk bertindak selaras dengan doa kamu, cuba mendalami catatan Bible yang kamu baca. Bagaimana? Jika kamu guna aplikasi JW Library atau membaca Bible dalam talian, kamu boleh klik pada suatu ayat untuk mencari rencana dan penyelidikan tambahan tentangnya.
Tanya soalan. Misalnya, “Apa yang catatan ini ajar saya tentang Yehuwa? Apakah sifat-sifat Yehuwa dalam catatan ini yang boleh saya tiru?” (Efesus 5:1) “Apa pengajaran yang boleh saya gunakan dalam hidup saya?” (Mazmur 119:105) “Bolehkah saya guna apa yang saya baca untuk bantu orang lain?”—Roma 1:11.
Tanyalah diri juga, “Bagaimana bahagian yang saya baca berkait dengan tema Bible?” Mengapa soalan ini amat penting? Kerana semua yang tercatat dalam Bible, daripada buku Kejadian hingga buku Wahyu, berkait dengan tema utamanya. Tema itu ialah bagaimana Yehuwa menyucikan nama-Nya menerusi Kerajaan-Nya di syurga, serta membuktikan Dia berhak memerintah dan cara pemerintahan-Nya adalah yang terbaik.