Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Boleh Mendapat Privasi?

Bagaimanakah Saya Boleh Mendapat Privasi?

 Mengapa ibu bapa suka campur tangan?

 Ibu bapa kamu berkata bahawa mereka mengambil berat tentang kamu. Tetapi kamu pula berasa bahawa mereka tidak menghormati privasi kamu dan suka campur tangan dalam hidup kamu. Contohnya:

  •   “Bapa saya akan mengambil telefon saya, meminta kata laluan, lalu membaca semua mesej di dalamnya,” kata seorang remaja yang bernama Erin. “Jika saya cuba membela diri, dia sangka bahawa saya cuba merahsiakan sesuatu daripadanya.”

  •   Denise, yang kini berumur awal 20-an, mengenang kembali apa yang dilakukan oleh ibunya. “Ibu akan meneliti setiap nombor telefon dalam bil telefon. Kemudian dia akan tanya, saya telah berbual dengan siapa dan tentang apa.”

  •   Seorang remaja yang bernama Kayla berkata bahawa ibunya membaca diari peribadinya. “Saya telah mencurahkan segala isi hati saya dalam diari itu, dan saya bahkan menulis tentang ibu saya! Selepas peristiwa itu, saya tidak menulis diari lagi.”

 Kesimpulan: Ibu bapa kamu bertanggungjawab untuk menjaga kamu, dan kamu tidak dapat mengawal cara mereka menjalankan tanggungjawab ini. Adakah mereka terlalu tegas? Mungkin. Tetapi hal-hal berikut dapat membantu kamu memperbaiki situasi ini:

 Apa yang dapat kamu lakukan?

 Bersikap terus terang. Bible menggalakkan kita untuk “melakukan segala sesuatu dengan jujur.” (Ibrani 13:18) Berusahalah untuk bersikap jujur terhadap ibu bapa kamu. Jika kamu bersikap jujur dan lebih terbuka, mereka mungkin akan memberi kamu lebih banyak privasi.

 Fikirlah: Adakah kamu selalu melakukan hal yang menjejaskan kepercayaan ibu bapa kamu terhadap kamu? Adakah kamu selalu pulang selepas waktu yang ditetapkan oleh mereka? Adakah kamu selalu merahsiakan siapa kawan-kawan kamu? Adakah kamu selalu merahsiakan apa yang kamu lakukan?

“Saya perlu bertolak ansur dengan ibu bapa. Saya bersikap terbuka dengan mereka, dan memberitahu mereka apa saja yang ingin diketahui oleh mereka. Hasilnya, mereka mempercayai saya dan menghormati privasi saya.”​—Delia.

 Bersabar. Bible menyatakan, “Hendaklah tingkah laku kamu sentiasa baik.” (1 Petrus 2:12) Kamu perlu mendapatkan kepercayaan ibu bapa kamu secara beransur-ansur. Hal ini memakan masa, tetapi usaha kamu pasti akan membuahkan hasil yang baik.

 Fikirlah: Ibu bapa kamu juga pernah mengharungi zaman remaja. Bagaimanakah hal ini mempengaruhi cara mereka membesarkan kamu?

 “Saya rasa bahawa ibu bapa ingat akan kesilapan lampau mereka, dan tidak mahu anak-anak mereka mengulangi kesilapan yang sama.”​—Daniel.

 Fahami pandangan mereka. Cubalah memahami sudut pandangan ibu bapa kamu. Bible menyatakan bahawa isteri yang cekap “memperhatikan urusan rumah tangganya” dan bapa yang baik membesarkan anak-anaknya “dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Amsal 31:27; Efesus 6:4) Untuk melakukan hal-hal ini, ibu bapa perlu melibatkan diri dalam kehidupan kamu dan mengetahui apa yang kamu lakukan.

 Fikirlah: Bayangkanlah bahawa kamu ialah seorang ibu atau bapa dan kamu tahu bahawa remaja sering bertindak tanpa berfikir panjang. Adakah kamu masih akan memberi anak kamu kebebasan atau privasi mutlak, tanpa sebarang pengawasan?

“Sewaktu saya masih remaja, saya berasa bahawa ibu bapa langsung tidak menghormati privasi saya. Tetapi kini saya sudah dewasa, dan saya faham mengapa ibu bapa saya perlu berbuat demikian. Itulah cara mereka menunjukkan kasih mereka.”​—James.