Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimana Penampilan Saya?

Bagaimana Penampilan Saya?

 Mengapa kamu perlu berhati-hati semasa memilih pakaian? Cara kamu berpakaian sebenarnya dapat memberitahu sesuatu kepada orang lain. Apakah mesej yang disampaikan oleh pemakaian kamu?

 Tiga kesilapan besar semasa memilih pakaian dan cara untuk menghindarinya

Kesilapan #1: Membiarkan media menentukan cara kamu berpakaian.

 “Kadang-kadang saya tertarik dengan gaya pemakaian yang selalu diiklankan,” kata Theresa. “Jika kita selalu terdedah kepada gaya pemakaian yang sama, kita mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan cara mereka.”

 Bukan remaja perempuan sahaja yang telah dipengaruhi oleh iklan. “Remaja lelaki juga mudah terpengaruh dengan fesyen popular,” kata buku The Everything Guide to Raising Adolescent Boys. “Para peniaga sudah menjadikan mereka sasaran sejak mereka masih kecil.”

 Fikirkan: Bible menyatakan, “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.” (Amsal 14:15) Selaras dengan nasihat itu, cubalah meneliti apa yang kamu lihat dalam iklan. Sebagai contoh, sewaktu kamu melihat iklan pakaian yang dilabel sebagai “hot,” “bergaya,” atau “seksi,” tanyalah diri,

  •  “Siapa yang untung jika saya mengikut gaya pemakaian itu?”

  •  “Pakaian itu akan membuat orang fikir apa tentang diri saya?”

  •  “Adakah saya benar-benar jenis orang yang dibayangkan mereka?”

 Cadangan: Cubalah perhatikan iklan pakaian dan media fesyen yang lain selama seminggu. Apakah gaya hidup yang disukai mereka? Adakah iklan itu mengandungi mesej tersirat bahawa kamu mesti mengikuti fesyen tertentu? Karen mengatakan, “Terdapat tekanan yang kuat untuk kelihatan menarik dan cantik serta menunjukkan bentuk badan yang ‘sempurna.’ Para pengiklan yang sedar akan hal itu dapat mempengaruhi orang muda dengan senang.”

Kesilapan #2: Mengikut gaya terkini supaya tidak kelihatan berbeza.

 “Jika gaya pakaian itu popular, semua orang akan ikut,” kata Manuel, “jika kita tidak ikut, kita akan disindir.” Anna juga setuju. Dia berkata, “Sebenarnya fokus mereka bukannya pada fesyen, mereka cuma tidak mahu kelihatan berbeza.”

 Fikirkan: Bible menyatakan, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini.” (Roma 12:2) Selaras dengan nasihat itu, bukalah almari pakaian kamu dan tanyalah diri,

  •  “Apakah sebab utama saya memilih pakaian ini?”

  •  “Adakah penting bagi saya untuk mempunyai pakaian yang berjenama?”

  •  “Adakah pemakaian saya hanyalah untuk menarik perhatian orang lain?”

 Cadangan: Daripada berfikir bahawa kamu hanya mempunyai dua pilihan—bergaya (dan diterima) atau ketinggalan zaman (dan tidak diterima)—pertimbangkan pilihan yang ketiga ini: Yakin dan selesa. Jika kamu mempunyai keyakinan diri, kamu tidak akan begitu risau tentang pandangan orang lain.

Kesilapan #3: Menyangka “makin seksi, makin menarik.”

 “Sebenarnya, kadangkala saya teringin untuk memakai pakaian yang sangat pendek, ketat, atau seksi,” akui seorang gadis yang bernama Jennifer.

 Fikirkan: Bible menyatakan, “Janganlah menghias diri kamu dengan apa yang dapat dilihat oleh orang lain . . . sebaliknya hiaslah batin kamu.” (1 Petrus 3:3, 4) Selaras dengan nasihat itu, fikirkanlah apa yang lebih penting—pakaian yang menarik atau sifat yang baik.

 Cadangan: Kerendahan hati merupakan “perhiasan” yang terbaik untuk kamu. Benar, pandangan ini tidak popular pada hari ini. Tetapi, fikirkanlah hal ini,

 Pernahkah kamu berbual dengan seseorang yang asyik bercakap tentang dirinya sahaja? Yang menyedihkan lagi, orang itu mungkin tidak sedar bahawa perbuatannya membuat kamu rasa menyampah!

Jika kamu berpakaian hanya untuk menarik perhatian orang, kamu sebenarnya membuat orang lain menjauhi kamu

 Jika kamu berpakaian tidak sopan, kamu menjadi seperti orang itu. Kamu seolah-olah berkata, “Tengoklah saya! Tengoklah saya!” Ini akan buat kamu kelihatan tidak yakin atau mementingkan diri sendiri—atau kedua-duanya. Kamu juga kelihatan sangat haus akan perhatian orang lain, termasuk orang yang tidak senonoh.

 Jika kamu tidak ingin memberi orang lain pandangan sedemikian, cubalah berpakaian dengan sopan. “Berpakaian sopan tidak bermaksud kamu berpakaian seperti orang tua,” kata seorang remaja bernama Monica. “Tetapi hal itu bermaksud kamu menghormati diri kamu dan orang di sekeliling kamu.”