Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Media Sosial Mempengaruhi Saya?

Bagaimanakah Media Sosial Mempengaruhi Saya?

 Adakah ibu bapa kamu membenarkan kamu menggunakan media sosial? Jika ya, rencana ini akan membantu kamu dalam tiga aspek hidup kamu.

Dalam rencana ini

 Bagaimanakah media sosial mempengaruhi masa saya?

 Menggunakan media sosial adalah seperti menunggang kuda yang sangat bertenaga, sama ada kamu mengawalnya ataupun kamu dikawal.

 “Apabila saya lihat media sosial, saya rancang guna ‘beberapa minit saja.’ Tapi tidak sangka saya sudah tengok selama berjam-jam! Media sosial dapat buat kita ketagihan dan dapat bazirkan masa kita.”—Joanna.

 Tahukah kamu? Media sosial direka untuk membuat kita ketagihan. Perekanya tahu bahawa apabila sebuah laman web menjadi popular, orang akan meluangkan lebih banyak masa untuk melayarinya, dan syarikat-syarikat akan membayar lebih banyak wang untuk memaparkan iklan mereka di laman web itu.

 Tanyalah diri: “Adakah saya meluangkan terlalu banyak masa untuk melihat media sosial? Dapatkah sebahagian daripada masa itu digunakan untuk hal-hal yang lebih bermanfaat?”

 Apa yang dapat kamu lakukan. Tetapkan had masa yang kamu gunakan untuk media sosial dan jangan melebihi masa itu.

Tetapkan had masa apabila menggunakan media sosial

 “Saya tetapkan ‘timer’ dalam telefon saya yang akan halang saya gunakan sesetengah aplikasi apabila tiba masanya. Selepas melakukannya untuk seketika, saya menjadi lebih seimbang tentang seberapa banyak masa yang saya guna untuk media sosial. Dengan itu, saya tidak membazirkan banyak masa.”—Tina.

 Prinsip Bible: “Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Efesus 5:16.

 Bagaimanakah media sosial mempengaruhi tidur saya?

 Kebanyakan pakar berkata bahawa remaja memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam untuk tidur setiap malam. Tetapi, kebanyakan remaja tidak berbuat demikian. Salah satu sebabnya adalah kerana mereka menggunakan media sosial pada masa mereka sepatutnya tidur.

 “Sebelum saya tidur, saya tengok telefon saya kalau ada apa-apa yang penting. Tapi tidak sangka saya buang masa berjam-jam untuk tengok ‘post’ orang. Ini tabiat buruk yang saya sedang cuba ubah.”—Maria.

 Tahukah kamu? Kekurangan tidur dapat menyebabkan kerisauan dan kemurungan. Menurut profesor psikologi bernama Jean Twenge, kekurangan tidur ialah penyebab utama yang membuat orang tidak gembira. Dia menambah bahawa jika seseorang tidak cukup tidur untuk “masa yang lama,” dia mungkin dapat menghidap “masalah mental yang serius.” a

 Tanyalah diri: “Berapa jam saya tidur setiap malam? Adakah saya melihat media sosial semasa saya sepatutnya bersedia untuk tidur?”

 Apa yang dapat kamu lakukan. Letakkan alat elektronik kamu di luar bilik tidur pada waktu malam. Jika boleh, berhentilah menggunakan alat elektronik dua jam sebelum waktu tidur. Jika kamu perlukan alarm untuk bangun pada waktu pagi, cubalah jangan gunakan alarm dalam telefon atau tablet.

Berhentilah menggunakan media sosial beberapa jam sebelum kamu tidur

 “Kadangkala saya tidur lewat kerana menggunakan alat elektronik saya. Tapi saya sedang berusaha untuk mengubahnya. Saya perlu menjadi lebih matang dan lebih bertanggungjawab. Saya perlu tidur awal supaya saya dapat berikan yang terbaik pada keesokan hari.”—Jeremy.

 Prinsip Bible: ‘Kenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.’—Filipi 1:10.

 Bagaimanakah media sosial mempengaruhi emosi saya?

 Menurut sebuah kajian, hampir separuh daripada pelajar perempuan di sekolah menengah yang menyertai tinjauan itu berkata bahawa mereka “sering berasa sedih atau putus harapan.” Salah satu penyebabnya adalah kerana media sosial. Dr. Leonard Sax berkata, “Lebih banyak kamu meluangkan masa dalam media sosial, dan membandingkan diri dengan orang lain, kebarangkalian kamu untuk berasa tertekan akan lebih tinggi.” b

 “Kaum muda biasa membandingkan diri dengan orang lain dan hal ini lebih senang berlaku dalam media sosial. Kamu dapat nampak ‘post’ orang yang berlainan selama berjam-jam dan bandingkan hidup kamu dengan mereka. Atau kamu nampak kawan-kawan kamu sedang berseronok dan kamu berasa diabaikan.”—Phoebe.

 Tahukah kamu? Media sosial dapat bantu kamu berhubung dengan kawan-kawan, tetapi tidak dapat menggantikan perbualan secara langsung. Dr. Nicholas Kardaras menulis, “Kegembiraan yang terhasil daripada berhubung secara elektronik nampaknya tidak setanding dengan kegembiraan yang dirasai semasa berkomunikasi secara langsung. Berhubung secara elektronik tidak memenuhi keperluan sebenar manusia untuk berkomunikasi dengan satu sama lain.” c

 Tanyalah diri: “Adakah saya berasa sunyi selepas melihat apa yang kawan-kawan saya buat? Adakah saya berasa hidup saya bosan selepas tengok hidup kawan-kawan saya yang menarik dalam post mereka? Adakah saya rasa sedih semasa post saya kurang like atau langsung tiada?”

 Apa yang dapat kamu lakukan. Cubalah “detoks media sosial.” Maksudnya, berhentilah menggunakan media sosial untuk beberapa hari, satu minggu, atau bahkan satu bulan. Luangkanlah lebih banyak masa bersama kawan kamu secara bersemuka atau bercakap melalui telefon. Apabila kamu berhenti menggunakan media sosial, kamu mungkin mendapati bahawa kamu kurang stres dan lebih gembira.

Dapatkah kamu meluangkan lebih banyak masa dengan kawan kamu secara bersemuka?

 “Semasa guna media sosial, saya terlalu khusyuk dengan apa yang orang buat. Selepas saya padam akaun saya, saya rasa seperti beban yang berat diangkat dari bahu saya, dan saya tiba-tiba ada banyak masa untuk membuat banyak perkara.”—Briana.

 Prinsip Bible: “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”—Galatia 6:4.

a Daripada buku iGen.

b Daripada buku Why Gender Matters.

c Daripada buku Glow Kids.