KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Saya Dapat Mengawal Emosi Saya?
“Hari ini saya berasa sangat gembira, esoknya pula saya berasa sangat sedih. Perkara yang saya anggap kecil semalam menjadi besar hari ini dan saya rasa susah untuk mengatasinya.”—Carissa.
Adakah perasaan kamu seperti ombak laut yang tidak tentu naik turunnya? a Jika ya, rencana ini dapat membantu kamu!
Apakah sebabnya?
Semasa kamu mengalami akil baligh, keadaan emosi yang tidak stabil adalah biasa. Meskipun kamu tidak lagi mengalami akil baligh, kamu mungkin hairan kerana masih mengalami perubahan emosi yang tidak menentu.
Jika kamu berasa runsing disebabkan perubahan tersebut, ingatlah bahawa kamu sedang mengalami perubahan hormon. Kamu mungkin akan berasa risau atau kurang keyakinan diri. Tetapi perkara ini adalah sebahagian daripada proses tumbesaran manusia. Meskipun demikian, kamu dapat memahami emosi kamu dan belajar untuk menanganinya.
Faktanya: Adalah penting untuk belajar menangani emosi kamu semasa masih muda. Dengan itu, kamu akan dibantu untuk menghadapi pelbagai situasi selepas dewasa nanti.
Tiga perkara yang dapat kamu lakukan
Luahkan. Bible berkata, “Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.”—Amsal 17:17.
“Keluarga saya ada seorang kenalan yang rapat. Saya menganggapnya sebagai mak cik saya. Saya berasa sangat senang untuk meluahkan isi hati saya kepadanya kerana dia mendengar dengan penuh perhatian. Apabila pandangan saya betul, dia memuji saya. Tetapi jika saya salah, dia membetulkan pandangan saya dengan cara yang baik.”—Yolanda.
Cadangan: Sahabat-sahabat yang sebaya dengan kamu mungkin menghadapi emosi yang tidak stabil seperti kamu. Jadi, daripada meluahkan kepada mereka, beritahulah masalah kamu kepada ibu bapa atau orang dewasa yang boleh dipercayai.
Tuliskan. Ayub juga pernah berasa sangat tertekan. Dia berkata, “Aku akan meluahkan kepahitan jiwaku.” (Ayub 10:1) Selain daripada meluahkan perasaan, kamu boleh “meluahkan” isi hati dengan mencatatkan perasaan kamu.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya selalu membawa buku nota kecil. Apabila sesuatu yang mengecewakan berlaku, saya mencatatkannya. Cara ini adalah seperti terapi bagi saya.”—Iliana.
Cadangan: Kamu boleh menyimpan diari untuk mencatatkan perasaan kamu, sebab-sebab kamu berasa demikian, dan cara untuk menanganinya. Kamu juga boleh menggunakan lembaran kerja yang disediakan dalam rencana ini.
Berdoa. Bible berkata, ‘Serahkanlah kekhuatiranmu kepada Yehuwa, maka Dia akan membela kamu; Dia tidak akan membiarkan orang jujur dikalahkan.’—Mazmur 55:22.
“Apabila saya berasa tertekan, saya selalu berdoa kepada Yehuwa. Selepas meluahkan isi hati saya kepada-Nya, saya selalu berasa lega.”—Jasmine.
Cadangan: Semasa kamu berasa khuatir, cubalah fikirkan tiga perkara yang kamu hargai. Semasa berdoa, mintalah bantuan Yehuwa. Janganlah lupa juga untuk mengucapkan syukur atas berkat-berkat yang kamu terima daripada-Nya.
a Rencana ini membincangkan perubahan emosi yang sering dihadapi kaum muda. Jika kamu sedang mengalami gangguan bipolar atau masalah murung yang lain, sila lihat rencana “Bagaimana Saya Dapat Mengatasi Kemurungan?”