Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Meningkatkan Kemahiran Berbual?

Bagaimanakah Saya Dapat Meningkatkan Kemahiran Berbual?

 Mengapa berbual secara bersemuka?

 Sesetengah orang berkata bahawa berbual secara bersemuka susah dan menyebabkan stres. Mereka rasa lebih senang untuk menghantar mesej.

 “Kamu rasa lebih tertekan apabila kamu bercakap secara bersemuka kerana kamu tidak dapat edit atau padam apa yang kamu sudah katakan.”—Anna.

 “Hantar mesej adalah seperti program yang sudah dirakamkan, manakala bercakap secara bersemuka adalah seperti tayangan langsung. Semasa saya bercakap dengan seseorang, saya selalu beritahu diri sendiri untuk berhati-hati dan jangan salah cakap!”—Jean.

 Namun, lambat laun, kamu perlu kemahiran berbual secara bersemuka. Contohnya, kamu perlu kemahiran ini jika kamu ingin menjalinkan persahabatan baharu, dapatkan dan kekalkan pekerjaan, atau menjalinkan hubungan romantik apabila kamu sudah sedia.

 Berita baiknya ialah kamu tidak perlu takut untuk berbual secara bersemuka. Kamu dapat belajar cara melakukannya biarpun kamu seorang yang pemalu.

 “Ada kalanya kamu akan salah cakap dan berasa malu. Hal ini tidak dapat dielakkan. Jadi, janganlah terlalu serius terhadap diri sendiri.”—Neal.

 Cara memulakan perbualan

  •   Tanyalah soalan. Fikirkan satu topik yang diminati orang. Kemudian, cuba mulakan perbualan tentang topik itu. Sebagai contoh:

     “Kamu ada pergi mana-mana semasa cuti baru-baru ini?”

     “Ini laman web yang menarik. Pernah kamu lihat?”

     “Kamu ada dengarkah tentang . . . ?”

     Jika kamu ingin berbual tentang hal yang lebih spesifik, fikirkan persamaan yang kamu ada dengan orang itu. Misalnya, adakah kamu menghadiri sekolah atau bekerja di tempat yang sama? Gunakan persamaan itu untuk tanya soalan.

     “Fikirkan soalan yang kamu rasa menarik dan yang kamu sangat ingin tahu jawapan orang mengenai soalan itu.”—Maritza.

     Berhati-hati: Janganlah jadi seperti seorang penyiasat dengan menanya banyak soalan. Selain itu, elakkan soalan yang boleh membuat orang itu berasa malu. Kamu mungkin akan buat dia berasa tidak selesa jika kamu tanya soalan seperti “Apakah yang kamu paling takut?” atau “Kenapa kamu selalu pakai warna biru?” Soalan yang kedua itu mungkin bahkan kedengaran seperti kamu sedang mengkritiknya!

     Kamu dapat elak daripada menjadi seperti seorang penyiasat jika kamu kongsi pandangan sendiri tentang soalan yang kamu tanya sebelum atau selepas orang itu jawab. Dengan itu, kamu sedang mengadakan perbualan dan bukannya temu ramah.

    Adakah soalan-soalan kamu membuat kamu seperti seorang penyiasat?

     Prinsip Bible: “Fikiran manusia bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.”—Amsal 20:5, Alkitab Berita Baik.

  •   Jadilah pendengar yang baik. Untuk bantu kamu meneruskan perbualan, menjadi pendengar yang baik jauh lebih penting daripada pandai bercakap.

     “Saya menetapkan matlamat untuk belajar satu hal yang baharu semasa saya bercakap dengan seseorang. Kemudian, saya cuba ingat apa yang orang itu kongsi agar saya dapat fikir soalan yang saya boleh tanya dalam perbualan kami yang seterusnya.”—Tamara.

     Berhati-hati: Janganlah risau tentang apa yang akan kamu katakan seterusnya. Jika kamu dengar dengan teliti, kamu akan dapat jawab apa yang dikatakan orang itu.

     Prinsip Bible: “Setiap orang mesti cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.”—Yakobus 1:19.

  •   Tunjuklah minat yang ikhlas. Kamu akan lebih menikmati perbualan jika kamu ambil berat terhadap orang itu.

     “Apabila kamu membuat orang itu berasa bahawa kamu benar-benar ambil berat terhadap apa yang dia katakan, perbualan itu akan lebih menyenangkan biarpun ada saat-saat yang buat kamu rasa malu.”—Marie.

     Berhati-hati: Jangan tanya soalan yang dapat membuat mereka rasa tidak selesa. Kamu mungkin bersikap tidak sopan jika kamu kata, “Cantik baju kamu. Berapa harganya?”

     Prinsip Bible: “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Filipi 2:4.

 Bagaimanakah kamu dapat mengakhiri perbualan? “Cuba akhiri perbualan dengan mengatakan sesuatu yang positif,” kata seorang pemuda yang bernama Jordan. “Jika kamu mengatakan sesuatu seperti ‘Saya gembira dapat berbual dengan kamu’ atau ‘Harap kita jumpa lagi,’ kamu akan lebih senang untuk mengadakan perbualan yang baik semasa kamu berjumpa dengan orang itu lagi.”