KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Saya Dapat Belajar dari Rumah dengan Efektif?
Banyak pelajar sekarang menghadiri “kelas” dari rumah mereka sendiri. Jika kamu juga begitu, apakah yang dapat membantu kamu mendapat manfaat sepenuhnya daripada kaedah ini? Perhatikan beberapa cadangan berikut: a
Lima tip yang dapat membantu kamu
Rancang rutin kamu. Sepertimana sekolah mempunyai jadual yang tetap, kamu juga patut mempunyai jadual yang tetap. Tetapkan masa tertentu untuk buat kerja sekolah, membantu di rumah, dan hal penting lain. Jika perlu, kamu boleh buat penyesuaian pada jadual kamu.
Prinsip Bible: “Segala sesuatu haruslah berlaku dengan . . . teratur.”—1 Korintus 14:40.
“Anggaplah kamu seolah-olah berada di sekolah, dan siapkan kerja sekolah ikut masa yang sudah ditetapkan.”—Katie.
Cuba renungkan: Mengapakah bagus untuk mempunyai jadual dan meletakkannya di tempat yang mudah dilihat?
Pupuk disiplin diri. Cubalah untuk melakukan kerja dengan teratur dan jangan menangguhkannya biarpun kamu rasa malas. Hal ini membantu kamu menjadi orang yang bertanggungjawab dan matang.
Prinsip Bible: “Janganlah malas, sebaliknya hendaklah kamu mempunyai semangat yang berkobar-kobar.”—Roma 12:11, nota kaki.
“Saya rasa susah untuk mempunyai disiplin diri. Memang lebih senang untuk mencari alasan dan berkata, ‘Nanti saya akan buat kerja sekolah saya.’ Tapi akhirnya kamu tidak buat dan kerja kamu akan bertimbun.”—Alexandra.
Cuba renungkan: Mengapakah kamu dapat menjadi lebih berdisiplin jika kamu membuat kerja sekolah di tempat dan pada masa yang sama setiap hari?
Carilah tempat untuk belajar. Sediakan semua bahan yang kamu perlukan. Pastikan tempat itu selesa, namun jangan terlampau selesa sehingga buat kamu mengantuk. Kamu duduk di situ untuk buat kerja, bukannya untuk tidur! Jika kamu tidak dapat cari tempat yang sesuai, kamu mungkin boleh gunakan ruang makan atau bilik tidur untuk belajar.
Prinsip Bible: “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.”—Amsal 21:5.
“Simpan basketball, video game, dan gitar kamu. Senyapkan telefon dan elakkan hal-hal yang dapat menyimpangkan tumpuan kamu.”—Elizabeth.
Cuba renungkan: Apakah perubahan yang perlu kamu buat di tempat belajar agar lebih senang untuk berfokus?
Belajar untuk berfokus. Tumpukan perhatian kepada tugasan dan jangan cuba lakukan beberapa perkara pada masa yang sama. Dengan itu, kamu dapat elakkan kesilapan dan menyiapkan kerja dengan lebih cepat.
Prinsip Bible: “Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Efesus 5:16.
“Saya tidak dapat tumpukan perhatian jika saya letak telefon dekat saya. Saya hanya akan buang masa buat hal yang tidak berguna.”—Olivia.
Cuba renungkan: Bolehkah kamu beransur-ansur meningkatkan daya tumpuan kamu?
Berehat seketika. Kamu boleh pergi bersiar-siar, berbasikal, bersenam, atau melakukan hobi. “Namun siapkan dulu kerja kamu,” kata buku School Power. “Kamu akan lebih menikmati waktu rehat jika kamu sudah siapkan tugasan kamu.”
Prinsip Bible: “Segenggam rehat lebih baik daripada dua genggam kerja keras dan usaha mengejar angin.”—Pengkhutbah 4:6.
“Biasanya di sekolah kamu boleh belajar melukis atau bermain muzik. Saya sangat rindu kelas-kelas itu. Saya rasa adalah bagus jika kamu dapat belajar kemahiran lain dan mengasah bakat kamu.”—Taylor.
Cuba renungkan: Apakah aktiviti yang dapat menyegarkan kamu agar dapat sambung buat kerja sekolah?
a Terdapat pelbagai cara untuk melakukan kursus pembelajaran jarak jauh. Gunakan cadangan dalam rencana ini yang sesuai dengan situasi kamu.