Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Bercakap kepada Ibu Bapa Saya tentang Peraturan Mereka?

Bagaimanakah Saya Dapat Bercakap kepada Ibu Bapa Saya tentang Peraturan Mereka?

 “Peraturan ibu bapa saya masuk akal sewaktu saya berusia 15 tahun, tetapi sekarang saya sudah berusia 19 tahun, dan saya rasa saya patut diberi lebih banyak kebebasan.”​—Sylvia.

 Adakah kamu bersetuju dengan kata-kata Sylvia? Jika ya, rencana ini dapat membantu kamu untuk membincangkan hal ini dengan ibu bapa kamu.

 Apa yang perlu kamu ketahui

 Sebelum kamu berbincang dengan ibu bapa kamu tentang peraturan mereka, fikirkanlah hal-hal berikut:

  •  Hidup pasti huru-hara tanpa peraturan. Bayangkanlah sebuah jalan yang sibuk. Apakah yang akan berlaku jika tiada peraturan lalu lintas, tanda jalan, lampu isyarat, atau had kelajuan? Jalan raya itu pasti huru-hara, bukan? Peraturan di rumah adalah seperti peraturan lalu lintas, yang dapat menjaga keselamatan.

  •  Peraturan ialah bukti bahawa ibu bapa kamu mengasihi kamu. Jika mereka tidak menetapkan peraturan, hal itu bererti bahawa mereka tidak menghiraukan kamu. Adakah kamu mahu ibu bapa begini?

 TAHUKAH KAMU? Ibu bapa juga perlu mematuhi peraturan! Bacalah Kejadian 2:​24; Ulangan 6:​6, 7; Efesus 6:4; dan 1 Timotius 5:8.

 Tetapi bagaimana pula jika kamu masih berasa bahawa ibu bapa kamu tidak adil?

 Apa yang dapat kamu lakukan

 Fikir dahulu sebelum berbincang dengan mereka. Jika kamu selalu mengingkari ibu bapa kamu, kamu tidak patut meminta mereka untuk memberi kamu kelonggaran. Sebaliknya, lihatlah rencana, “Bagaimanakah Saya Boleh Membuat Ibu Bapa Yakin terhadap Saya?

 Jika kamu selalu mematuhi mereka, sediakanlah apa yang ingin kamu katakan kepada mereka. Apabila kamu membuat persediaan terlebih dahulu, kamu dapat menentukan sama ada permintaan kamu itu masuk akal atau tidak. Kemudian, mintalah ibu bapa kamu untuk menetapkan masa yang sesuai agar kamu dapat berbincang dalam keadaan yang selesa dan relaks. Semasa kamu bercakap dengan mereka, ingatlah hal-hal berikut:

 Hormatilah mereka. Bible menyatakan, “Kata-kata yang pedas membangkitkan kemurkaan.” (Amsal 15:1) Jika kamu bertengkar dengan ibu bapa kamu atau menuduh mereka bertindak tidak adil, perbincangan kamu tidak akan berakhir dengan baik.

 “Apabila saya menghormati ibu bapa saya, mereka juga menghormati saya. Lebih mudah untuk mencapai persetujuan jika semua orang saling menghormati.”​—Bianca, 19.

 Dengarlah pendapat mereka. Bible menyuruh kita agar “cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.” (Yakobus 1:​19) Ingatlah bahawa kamu sedang berbincang dengan ibu bapa kamu, bukannya berceramah kepada mereka.

 “Seraya kita semakin dewasa, kita mungkin berfikir bahawa kita lebih pandai daripada ibu bapa kita, tetapi pandangan sedemikian salah. Kita patut mendengar nasihat dan bimbingan mereka.”​—Devan, 20.

 Tunjukkanlah sikap bertimbang rasa. Cubalah memahami sudut pandangan ibu bapa kamu. Ikutlah nasihat Bible berikut: “Jagalah kepentingan orang lain [iaitu, kepentingan ibu bapa kamu], dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”​—Filipi 2:4.

Pada pendapat kamu, pendekatan manakah yang paling berkesan?

 “Dulu, saya menganggap ibu bapa saya sebagai musuh, dan bukannya kawan. Tetapi sekarang saya sedar bahawa mereka sedang belajar untuk menjadi ibu bapa yang baik sepertimana saya sedang belajar untuk menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab. Mereka mengasihi dan mengambil berat terhadap saya.”​—Joshua, 21.

 Cadangkanlah jalan penyelesaian. Sebagai contoh, kamu ingin menghadiri sebuah gathering, tetapi kamu perlu memandu selama sejam untuk sampai ke situ, dan ibu bapa kamu tidak membenarkan kamu untuk pergi. Tanyalah mereka sebabnya—adakah kerana mereka tidak mahu kamu memandu begitu jauh, atau adakah kerana pergaulan di gathering?

  •   Jika mereka tidak mahu kamu memandu begitu jauh, tanya mereka sama ada kamu boleh pergi bersama seorang kawan yang pandai memandu.

  •   Jika kerana pergaulan di gathering, beritahulah mereka tentang siapa yang akan hadir dan siapa yang akan memantau keadaan di situ.

 Ingatlah bahawa kamu patut bercakap dalam cara yang sopan dan mendengar pandangan ibu bapa kamu dengan sabar. Tunjukkanlah bahawa kamu menghormati mereka melalui kata-kata dan tindakan kamu. (Efesus 6:​2, 3) Adakah mereka akan mengubah pandangan mereka? Mungkin ya. Mungkin tidak. Tidak kira apa pun keputusan ibu bapa kamu . . .

 Hormatilah keputusan mereka. Ini ialah langkah yang amat penting kerana jika kamu berbuat demikian, pada kemudian hari, ibu bapa kamu mungkin akan memberi kamu lebih banyak kebebasan. Tetapi jika kamu tidak menghormati keputusan ibu bapa kamu dan mula bertengkar dengan mereka, mereka mungkin tidak akan memberi kamu kelonggaran lain kali.