Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Patutkah Saya Berhenti Sekolah?

Patutkah Saya Berhenti Sekolah?

 “Saya benci pergi sekolah!” Jika itulah perasaan kamu, kamu mungkin ingin berhenti sekolah. Namun rencana ini akan membantu kamu buat pilihan yang lebih bijak.

 Mengapa ada remaja berhenti sekolah

 Menurut pakar, berikut merupakan antara beberapa sebab remaja berhenti sekolah:

  •   Berasa susah untuk belajar. “Saya selalu gagal dan dapat markah rendah.”

  •   Sikap tidak peduli. “Apa yang saya belajar di sekolah tidak penting.”

  •   Masalah kewangan. “Saya perlu kerja untuk bantu keluarga saya.”

 Fikirkan akibatnya

 Bible menyatakan, “Orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.” (Amsal 14:15) Pengajarannya? Jika kamu ingin berhenti sekolah, fikirlah masak-masak tentang akibatnya.

 Tanyalah diri:

  •   “Jika saya berhenti sekolah, adakah senang untuk dapat kerja pada masa depan?”

     “Kamu perlu mencari kerja pada masa depan, lebih-lebih lagi jika kamu mempunyai keluarga sendiri. Tapi macam mana kamu akan dapat kerja jika kebanyakan majikan mahu pekerja yang sekurang-kurangnya ada kelulusan sekolah menengah?”—Julia.

  •   “Jika saya berhenti sekolah, adakah senang bagi saya untuk belajar tangani kesusahan pada masa depan?”

     “Sekolah persiapkan kamu untuk alam dewasa. Pada masa depan, kamu akan menghadapi pelbagai cabaran, berdepan dengan bermacam jenis orang, dan melakukan banyak kerja. Itu semua sama dengan apa yang kamu alami di sekolah.”—Daniel.

  •   “Jika saya berhenti sekolah, adakah saya akan mempunyai kemahiran yang diperlukan apabila dewasa?”

     “Apa yang kamu belajar di sekolah sekarang mungkin nampaknya tidak berguna. Tapi bila kamu umur 23 tahun dan perlu urus wang, masa itu kamu akan rasa lega sebab kamu pernah belajar matematik semasa sekolah.”—Anna.

 Cara yang lebih baik

  •   Dapatkan bantuan. Bible menyatakan, “Dengan adanya banyak penasihat, orang akan berjaya.” (Amsal 11:14) Jika markah kamu merosot, mintalah bantuan ibu bapa, guru, kaunselor, atau orang dewasa lain. Kemungkinan mereka dapat beri kamu cadangan yang dapat membantu kamu.

     “Jika kamu rasa susah belajar, beritahu cikgu kamu. Kadang-kadang kamu mungkin salahkan cikgu kerana markah kamu merosot. Namun, jika kamu minta bantuan mereka, mereka mungkin dapat bantu kamu.”—Edward.

  •   Fikirkan manfaatnya. Bible menyatakan, “Kesudahan sesuatu perkara lebih baik daripada permulaannya.” (Pengkhutbah 7:8) Jika kamu terus bersekolah, kamu bukan sahaja akan dapat pengetahuan, tapi juga dapat mempunyai sikap dan kemahiran yang diperlukan dalam hidup.

     “Kamu mungkin tidak perlu tulis karangan atau ambil peperiksaan apabila dewasa. Tapi jika kamu belajar tangani tekanan di sekolah, kamu akan rasa lebih senang untuk tangani tekanan dalam kehidupan kelak.”—Vera.

    Berhenti sekolah adalah seperti turun dari bot sebelum tiba di jambatan. Kamu akan menyesal!

  •   Pertimbangkan pilihan yang ada. Bible menyatakan, “Tindakan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan kemiskinan.” (Amsal 21:5) Janganlah cepat-cepat membuat kesimpulan bahawa kamu tiada pilihan lain dan mesti berhenti sekolah. Kamu mungkin boleh belajar dalam talian atau dari rumah (homeschool).

     “Di sekolah, kamu belajar untuk selesaikan masalah, tidak cepat putus asa, dan bekerjasama dengan orang lain. Memang tidak sia-sia untuk terus bersekolah kerana semua ini membawa manfaat yang berkekalan.”—Benjamin.

 Kesimpulannya: Jika kamu terus bersekolah, kamu akan lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa.