Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah jika Saya Dibuli dalam Dunia Siber?

Bagaimanakah jika Saya Dibuli dalam Dunia Siber?

 Apa yang perlu kamu ketahui

 Perbuatan buli senang dilakukan menerusi Internet. Menurut buku CyberSafe: “Bahkan kanak-kanak yang baik boleh bersikap kejam dalam Internet kerana mereka tidak perlu menunjukkan muka mereka.”

 Sesetengah orang mudah menjadi sasaran buli. Sering kali, sasaran buli ialah orang yang pendiam, yang kelihatan berbeza daripada orang lain, ataupun yang kurang keyakinan diri.

 Mangsa akan mengalami trauma. Mereka mungkin akan menyendiri, menghadapi kemurungan, dan ada yang bahkan membunuh diri.

 Apa yang dapat kamu lakukan

 Mula-mula, tanyalah diri: “Adakah saya benar-benar dibuli?” Kadangkala, orang akan mengatakan hal-hal yang menyakitkan hati tetapi sebenarnya tidak bermaksud sedemikian. Apabila hal itu berlaku, ikutlah nasihat Bible berikut:

 “Jangan cepat tersinggung kerana itulah tanda orang yang bodoh.”​—Pengkhutbah 7:9, nota kaki.

 Tetapi apabila seseorang sengaja mengganggu, menghina, atau mengugut orang lain dalam Internet, itu merupakan perbuatan buli.

 Jika kamu ialah mangsa pembuli siber, ingatlah nasihat ini: Reaksi kamu boleh mempengaruhi keadaan yang dihadapi, sama ada membuatnya lebih baik atau bertambah teruk. Cubalah satu atau beberapa cadangan berikut.

 Jangan layan pembuli tersebut. Bible berkata, “Orang yang berpengetahuan mengawal pertuturannya, dan orang yang berpengertian sentiasa tenang.”​—Amsal 17:27.

 Perhatikan salah satu sebab nasihat ini berkesan: Menurut seorang penulis buku Cyberbullying and Cyberthreats yang bernama Nancy Willard, “Pembuli ingin memancing kemarahan mangsa mereka. Apabila mangsa hilang sabar, mereka sebenarnya senang dikuasai si pembuli.”

 Pengajarannya: Kadangkala, cara yang terbaik adalah tidak memberikan sebarang respons.

 Lawanlah keinginan untuk membalas. Bible berkata, “Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan atau hinaan dengan hinaan.”​—1 Petrus 3:9.

 Perhatikan salah satu sebab nasihat ini berkesan: “Kemarahan menunjukkan kelemahan dalam diri seseorang dan reaksi ini boleh menyemarakkan lagi perbuatan buli,” tulis sebuah buku berjudul Cyber-Safe Kids, Cyber-Savvy Teens. Jika kamu membalas apabila dibuli, kamu mungkin dianggap bersalah juga.

 Pengajarannya: Jangan curah minyak ke dalam api.

 Jadilah proaktif. Bible berkata, “Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan.” (Roma 12:21) Terdapat perkara yang boleh kamu lakukan untuk menghentikan perbuatan buli tanpa memburukkan keadaan.

 Sebagai contoh:

  •   Sekat orang yang menghantar mesej kepada kamu. Menurut buku Mean Behind the Screen: “Kamu tidak dapat dilukai jika kamu tidak membaca mesej tersebut.”

  •   Kumpulkanlah setiap mesej yang berunsur agresif, SMS, e-mel, maklumat yang dimuat naik dalam blog atau rangkaian sosial, pesanan suara, atau bentuk komunikasi yang lain. Simpannya sebagai bukti biarpun kamu tidak membacanya.

  •   Suruh pembuli siber untuk menghentikan perbuatan mereka. Sampaikan mesej yang tegas kepada pembuli tetapi jangan terikut-ikut dengan perasaan. Misalnya:

    •  “Jangan hantar mesej lagi.”

    •  “Padamkan semua yang kamu papar dalam sosial media.”

    •  “Jika ini berterusan, saya akan mengambil tindakan selanjutnya.”

  •   Binalah keyakinan diri kamu. Fokuslah kepada kekuatan dan bukannya kelemahan kamu. (2 Korintus 11:6) Seperti pembuli fizikal, pembuli siber biasanya mencari orang yang nampaknya lemah sebagai mangsanya.

  •   Beritahulah orang dewasa. Beritahu ibu bapa kamu dahulu. Kamu juga boleh melaporkan masalah itu kepada pentadbir laman web atau perkhidmatan yang digunakan oleh pembuli. Jika keadaan sangat parah, bawalah ibu bapa kamu untuk melaporkan masalah itu kepada pihak sekolah, polis, atau dapatkan nasihat undang-undang.

 Pengajarannya: Terdapat langkah-langkah yang kamu boleh ambil untuk menghentikan gangguan tersebut atau mengurangkan kesan buruk perbuatan buli siber terhadap kamu.