Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimana jika Ibu Bapa Saya Sakit?

Bagaimana jika Ibu Bapa Saya Sakit?

 Orang muda biasanya tidak perlu risau tentang soal penjagaan ibu bapa. Mungkin ibu bapa kamu masih muda dan sihat.

 Tetapi bagaimana pula jika ibu bapa kamu jatuh sakit semasa kamu masih remaja? Perhatikan pengalaman dua orang muda yang menghadapi cabaran tersebut.

 Pengalaman Emmaline

 Ibu saya menderita sindrom Ehlers-Danlos (EDS). Penyakit ini sangat teruk dan mempengaruhi sendi, kulit, dan saluran darah.

 Penyakit ini tidak dapat diubati, dan keadaan ibu semakin teruk sejak 10 tahun yang lalu. Kadangkala, kiraan darahnya sangat rendah sehingga membahayakan nyawanya. Ada kalanya, ibu rasa sangat sakit dan ingin putus asa.

 Kami sekeluarga ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Kami mendapat banyak galakan daripada ahli sidang kami. Contohnya, baru-baru ini seorang gadis yang sebaya dengan saya menghantar kad kepada kami. Dia mengatakan bahawa dia sangat mengasihi kami, dan dia meyakinkan kami bahawa dia bersedia untuk membantu kami. Saya gembira kerana mempunyai seorang kawan seperti dia!

 Bible banyak membantu saya. Misalnya, salah satu ayat kegemaran saya ialah Mazmur 34:18 yang menyatakan, ‘Yehuwa dekat kepada orang yang tawar hati.’ Satu lagi ayat ialah Ibrani 13:6 yang berbunyi: “Yehuwalah penolongku; aku tidak akan berasa takut.”

 Ayat di Ibrani itu sangat bermakna bagi saya, kerana saya sangat takut kehilangan ibu saya. Saya sangat menyayanginya, dan saya bersyukur kerana masih dapat bersamanya setiap hari. Ayat Bible itu bantu saya sedar bahawa saya dapat menghadapi masa depan dengan yakin, tidak kira apa pun yang berlaku.

 Namun ada satu lagi perkara yang saya takuti. EDS ialah sejenis penyakit keturunan. Ibu saya mendapat penyakit itu daripada ibunya, dan saya mendapat penyakit itu daripada ibu saya. Ya, saya juga menghidapi EDS. Tetapi Ibrani 13:6 meyakinkan saya bahawa Yehuwa akan menjadi “penolongku.”

 Maka saya menghargai apa yang saya ada sekarang dan bukannya terlampau fokus kepada masa lampau atau terlalu khuatir tentang masa depan. Jika saya terlalu memikirkan keadaan ibu saya, saya akan berasa tertekan. Bible menyatakan bahawa cabaran yang kita hadapi sekarang “hanyalah sementara dan tidak seberapa berat” berbanding dengan harapan kita untuk hidup selama-lamanya tanpa penyakit.​—2 Korintus 4:17; Wahyu 21:1-4.

 Cuba renungkan: Apakah yang membantu Emmaline untuk mengekalkan sikap yang positif? Apakah yang dapat membantu kamu bersikap positif semasa menghadapi kesusahan?

 Pengalaman Emily

 Semasa saya masih belajar di sekolah menengah, ayah saya mengalami kemurungan. Dia banyak berubah, dan saya rasa seolah-olah saya tidak kenal dia. Sejak itu, ayah saya selalu dibanjiri rasa sedih, takut, dan panik. Dia sudah mengalami kemurungan selama 15 tahun. Dia pasti sangat tertekan kerana sentiasa diselubungi perasaan sedih walaupun dia tahu bahawa dia tidak sepatutnya berasa begitu!

 Kami ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Melalui sidang, kami mendapat banyak sokongan. Rakan seiman kami sangat baik dan memahami keadaan kami. Mereka tidak anggap ayah saya sebagai beban. Apabila saya melihat ketabahan ayah saya semasa menghadapi cabaran ini, kasih saya terhadapnya semakin dalam.

 Saya rindu saat ketika ayah gembira, tidak menderita, dan tidak dibanjiri rasa sedih. Saya rasa susah hati kerana ayah terpaksa bergelut dengan fikiran yang negatif setiap hari.

 Namun, ayah saya berusaha untuk mengekalkan pandangan yang positif. Sewaktu dia mengalami kemurungan yang teruk baru-baru ini, dia berusaha membaca Bible setiap hari, meskipun hanya beberapa ayat. Ayah sangat dikuatkan! Kebiasaan yang nampaknya kecil ini benar-benar membantunya. Saya sangat bangga dengan ayah, kerana dia tidak putus asa meskipun dirundung kemurungan.

 Saya sangat suka ayat di Nehemia 8:​10 yang menyatakan, ‘Kesukaan yang diberikan oleh Yehuwa kepada kamu akan menguatkan kamu.’ Hal itu memang benar. Hati saya yang hampa dipenuhi dengan sukacita apabila bergaul dengan rakan seiman, menghadiri perjumpaan, dan bergiat dalam aktiviti rohani. Saya dikuatkan dan rasa lebih bersemangat. Teladan ayah telah mengajar saya bahawa tidak kira apa pun pergelutan yang kita alami, Yehuwa akan sentiasa menyokong kita.

 Cuba renungkan: Bagaimanakah Emily menyokong ayahnya yang sakit? Bagaimanakah kamu dapat membantu seseorang yang menderita kemurungan?