Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Mengawal Kemarahan?

Bagaimanakah Saya Dapat Mengawal Kemarahan?

 Kuiz

  •  Seberapa kerapkah kamu berasa marah?

    •  jarang

    •  kadangkala

    •  setiap hari

  •  Seberapa teruk kemarahan kamu?

    •  suam

    •  panas

    •  mendidih

  •  Kamu selalu marah terhadap siapa?

    •  ibu bapa

    •  adik-beradik

    •  kawan

 Jika kamu berasa bahawa kamu perlu mengawal kemarahan, rencana ini dapat membantu kamu! Mula-mula, perhatikan mengapa penting untuk tetap tenang apabila orang lain buat kamu marah.

 Mengapa penting

 Kesihatan kamu. Amsal 14:30 berkata, “Hati yang tenang menyihatkan badan.” Menurut Journal of Medicine and Life, “kemarahan merupakan salah satu punca kepada penyakit jantung.”

 Kawan kamu. Bible berkata, “Jangan bersahabat dengan orang yang panas baran, dan jangan bergaul dengan orang yang suka marah.” (Amsal 22:24) Jadi, jika kamu berasa susah untuk mengawal kemarahan, janganlah hairan apabila orang mengelak daripada kamu. “Jika kamu tidak belajar untuk kawal kemarahan, kamu tidak dapat menikmati persahabatan yang akrab,” kata seorang gadis yang bernama Jasmine.

 Reputasi kamu. “Jika kamu selalu marah, hal ini akan diketahui oleh ramai orang dan ini juga akan mempengaruhi pandangan mereka terhadap kamu,” kata Ethan yang berumur 17 tahun. Tanyalah diri, “Adakah saya mahu dikenali sebagai orang yang tenang dan suka damai atau yang mudah meletup seperti bom?” Bible kata, “Orang yang sangat berpengertian lambat naik marah, tetapi orang yang cepat marah mempamerkan kebodohannya.”​—Amsal 14:29.

Tiada orang yang suka berada bersama orang yang cepat naik darah

 Apa yang dapat kamu lakukan

 Perhatikan ayat Bible dan komen berikut. Kemudian, tanyalah diri soalan-soalan yang diberikan.

  •   Amsal 29:22: “Sesiapa yang cepat marah akan membangkitkan pertengkaran; sesiapa yang cenderung murka akan melakukan banyak kesalahan.”

     “Semasa remaja, saya berasa susah untuk kawal kemarahan. Saudara-mara sebelah bapa saya juga ada masalah yang sama. Kami cakap itu kerana keturunan. Memang susah mahu kawal kemarahan!”​—Kerri.

     Adakah saya cepat marah? Bolehkah saya kata sifat baik yang saya miliki ialah hasil kerja keras sendiri, tetapi sifat buruk pula disebabkan keturunan?

  •   Amsal 15:1: “Jawapan yang lemah lembut meredakan kemarahan, tetapi kata-kata yang pedas membangkitkan kemurkaan.”

     “Kuncinya ialah belajar untuk mengawal perasaan kamu. Jika kamu memupuk sikap yang lemah lembut dan bertumpu pada hal-hal positif, kamu tidak akan senang berasa marah.”​—Daryl.

     Jika orang buat saya marah, apakah reaksi yang patut saya tunjukkan dahulu? Mengapa itu penting?

  •   Amsal 26:20: “Tanpa kayu, api padam.”

     “Apabila saya menjawab dengan lembut, itu dapat menenangkan orang tersebut. Hasilnya, kami dapat berkomunikasi dalam suasana yang damai.”​—Jasmine.

     Apakah perbuatan atau kata-kata saya yang dapat menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk?

  •   Amsal 22:3: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.”

     “Kadangkala saya perlu beredar dan ambil masa untuk berfikir tentang apa yang telah berlaku. Apabila saya sudah tenang, saya boleh menyelesaikannya.”​—Gary.

     Bilakah masa yang sesuai untuk beredar daripada situasi yang tegang tanpa membuat orang itu fikir bahawa kamu tidak mempedulikan perasaannya?

  •   Yakobus 3:2: “Kita semua sering berbuat silap.”

     “Jika kita buat silap, kita tidak mahu sekadar rasa bersalah. Tapi kita juga perlu belajar daripadanya. Apabila kita jatuh, kita perlu bangun semula dan bertekad untuk buat lebih baik lain kali.”​—Kerri.

 Tip: Tetapkan matlamat. Bertekadlah untuk mengawal kemarahan kamu buat suatu jangka masa, mungkin sekurang-kurangnya sebulan. Tulislah diari dan catatkan kemajuan kamu.