Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah jika Kawan Saya Menyakiti Hati Saya?

Bagaimanakah jika Kawan Saya Menyakiti Hati Saya?

 Apa yang perlu kamu ketahui

  •   Masalah sentiasa wujud antara sesama manusia. Oleh sebab ketidaksempurnaan, kawan baik kamu atau seseorang yang kamu anggap sebagai sahabat yang terbaik pun mungkin akan melakukan atau mengatakan sesuatu yang menyakiti hati kamu. Sudah tentu, kamu juga tidak sempurna. Maka, tanyalah diri dengan jujur, “Bukankah saya juga pernah menyakiti hati seseorang?”​—Yakobus 3:2.

  •   Penggunaan Internet boleh menyebabkan seseorang lebih mudah tersinggung. Misalnya, seorang remaja yang bernama David berkata, “Apabila kamu online lalu nampak gambar-gambar kawan kamu yang menghadiri sebuah jamuan, kamu mungkin akan berfikir mengapa kamu tidak dijemput. Kemudian, kamu mula berasa dikhianati dan sedih.”

  •   Kamu dapat menangani masalah itu.

 Apa yang dapat kamu lakukan

 Periksa diri sendiri. Bible berkata, “Jangan cepat tersinggung kerana itulah tanda orang bodoh.”​—Pengkhutbah 7:9, nota kaki.

 “Kadangkala, setelah masa berlalu, baru kamu sedar bahawa kamu tersinggung atas perkara yang remeh sahaja.”​—Alyssa.

 Cuba fikirkan: Adakah kamu cenderung untuk mudah tersinggung? Bolehkah kamu belajar untuk lebih bersabar terhadap ketidaksempurnaan orang?​—Pengkhutbah 7:​21, 22.

 Fikirkan manfaat untuk mengampuni. Bible berkata bahawa seseorang “dipuji kerana mengampunkan kesalahan.”​—Amsal 19:11.

 “Biarpun kamu ada alasan untuk tersinggung, adalah baik untuk mengampuni orang itu dengan rela hati. Maksudnya kamu tidak akan terus mengungkit masalah lampau dan membuatnya asyik meminta maaf setiap kali kamu bercakap tentang hal itu. Jika kamu sudah mengampuninya, jangan lagi mengungkit perkara itu.”​—Mallory.

 Cuba fikirkan: Adakah masalah itu begitu serius? Bolehkah kamu mengampuninya demi kedamaian?​—Kolose 3:​13.

Jika kita terus mengungkit setiap masalah yang berlaku dalam persahabatan kita, perbuatan itu adalah seperti kita asyik membuka pintu dan membiarkan angin sejuk masuk ke dalam bilik yang sudah hangat

 Pertimbangkanlah orang lain. Bible berkata, “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”​—Filipi 2:4.

 “Jika kasih dan hormat wujud dalam persahabatan kamu, kamu ada sebab yang kukuh untuk menyelesaikan masalah dengan segera. Hal ini kerana kamu telah mencurahkan usaha dalam persahabatan tersebut. Maka kamu tidak ingin kehilangannya.”​—Nicole.

 Cuba fikirkan: Bolehkah kamu mencari sesuatu yang positif dalam kata-kata atau pandangan orang lain?​—Filipi 2:3.

 Kesimpulan: Cara untuk menangani perasaan tersinggung merupakan suatu kemahiran yang dapat membantu kamu apabila kamu menjadi dewasa kelak. Bukankah lebih baik untuk belajar kemahiran ini sekarang juga?