KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Saya Dapat Melatih Hati Nurani Saya?
Hati nurani kamu dapat diumpamakan seperti apa?
kompas
cermin
kawan
hakim
Keempat-empat jawapan itu betul. Rencana ini akan memberitahu kamu sebabnya.
Apakah itu hati nurani?
Hati nurani ialah perasaan dalam diri kamu yang memberitahu kamu apa yang betul atau salah. Bible menyatakan bahawa hati nurani adalah seperti ‘hukum yang tertulis dalam hati.’ (Roma 2:15) Hati nurani yang berfungsi dengan baik akan membantu kamu mempertimbangkan tindakan yang akan kamu ambil atau yang telah kamu lakukan.
Hati nurani kamu seperti kompas. Membimbing kamu untuk membuat pilihan yang bijak agar dapat mengelakkan masalah.
Hati nurani kamu seperti cermin. Menunjukkan diri kamu yang sebenar dan nilai moral kamu.
Hati nurani kamu seperti kawan baik. Memberi kamu nasihat yang bijak. Jika kamu mendengarkannya, kamu akan berjaya.
Hati nurani kamu seperti hakim. Menyalahkan kamu apabila kamu berbuat salah.
Kesimpulannya: Hati nurani sangat penting untuk membantu kamu (1) buat keputusan bijak dan (2) baiki kesilapan kamu.
Mengapakah hati nurani perlu dilatih?
Bible menyatakan, “Hendaklah hati nurani kamu sentiasa bersih.” (1 Petrus 3:16) Kamu hanya dapat berbuat demikian jika hati nurani kamu sudah dilatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.
“Bila ibu bapa saya tanya saya berada di mana, saya akan tipu mereka. Pertama kali saya buat begitu, hati nurani saya terganggu. Tapi lama-kelamaan, saya rasa itu perkara kecil saja.”—Jennifer.
Akhirnya, hati nurani Jennifer mendorong dia untuk memberitahu ibu bapa hal yang sebenar dan berhenti menipu mereka.
Fikirkan: Bilakah sepatutnya hati nurani Jennifer mendorongnya untuk melakukan apa yang betul?
“Hidup bermuka dua tidak senang dan akan buat kamu stres. Jika kamu tidak hiraukan hati nurani kamu, lambat laun hati kamu akan lali. Lain kali, kamu akan terus buat salah tanpa berfikir panjang.”—Matthew.
Sesetengah orang langsung tidak mempedulikan hati nurani mereka. Bible menyatakan, “Mereka tidak lagi peduli tentang piawaian moral.” (Efesus 4:19) Alkitab Berita Baik pula menyatakan, “Mereka tidak mempunyai perasaan malu lagi.”
Fikirkan: Jika seseorang langsung tidak rasa bersalah atas tindakan mereka, adakah kehidupan mereka lebih baik? Apakah akibat yang dialami mereka pada kemudian hari?
Kesimpulannya: Untuk memiliki hati nurani yang baik, kamu perlu melatih ‘daya penilaian kamu untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.’—Ibrani 5:14.
Bagaimanakah kamu dapat melatih hati nurani?
Untuk melatih hati nurani, kamu perlu memiliki pegangan hidup. Sesetengah orang mengikut cara hidup
ibu bapa dan budaya mereka
kawan mereka
artis kegemaran mereka
Namun Bible mengajar kita cara hidup yang paling baik. Hal ini kerana Bible telah “diilhami oleh Tuhan.” Dialah yang menciptakan kita dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.—2 Timotius 3:16.
Fikirkan contoh berikut.
PRINSIP: “Kami ingin melakukan segala sesuatu dengan jujur.”—Ibrani 13:18.
Jika kamu tergoda untuk meniru semasa peperiksaan, menipu ibu bapa, atau mencuri, bagaimanakah prinsip itu dapat mempengaruhi hati nurani kamu?
Jika hati nurani kamu mendorong kamu untuk bersikap jujur dalam segala hal, apakah manfaatnya bagi kamu sekarang dan pada masa depan?
PRINSIP: “Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan seks yang tidak bermoral.”—1 Korintus 6:18.
Jika kamu tergoda untuk melihat bahan lucah atau melakukan seks sebelum berkahwin, bagaimanakah prinsip itu dapat mempengaruhi hati nurani kamu?
Jika hati nurani kamu mendorong kamu untuk menjauhi perbuatan yang tidak bermoral, apakah manfaatnya bagi kamu sekarang dan pada masa depan?
PRINSIP: “Tunjukkanlah kebaikan hati kepada satu sama lain, dan tunjukkanlah belas kasihan. Ampunilah satu sama lain dengan rela hati.”—Efesus 4:32.
Jika kamu bergaduh dengan adik-beradik atau kawan kamu, bagaimanakah prinsip itu dapat mempengaruhi hati nurani kamu?
Jika hati nurani kamu mendorong kamu untuk menunjukkan belas kasihan dan rela mengampuni, apakah manfaatnya bagi kamu sekarang dan pada masa depan?
PRINSIP: “Yehuwa . . . membenci orang yang suka akan keganasan.”—Mazmur 11:5.
Semasa memilih wayang, rancangan TV, atau game, bagaimanakah prinsip itu dapat mempengaruhi hati nurani kamu?
Jika hati nurani mendorong kamu untuk menolak hiburan yang ganas, apakah manfaatnya bagi kamu sekarang dan pada masa depan?
KISAH BENAR: “Saya terikut-ikut dengan kawan yang suka main game yang ganas. Ayah tidak suka dan melarang saya main game itu. Jadi saya hanya main game itu di rumah kawan, dan bila balik rumah saya akan berdiam diri saja. Ayah hairan dan tanya jika saya ada masalah, tapi saya hanya kata saya OK. Suatu hari, saya baca Mazmur 11:5 dan saya mula menyesal. Jadi saya tidak lagi main game itu. Keputusan saya juga telah bantu seorang kawan saya untuk berhenti main game itu.”—Jeremy.
Fikirkan: Bilakah hati nurani Jeremy mula terganggu, dan bilakah dia mula mendengar hati nuraninya? Apakah yang kamu belajar daripada kisah Jeremy?
Kesimpulannya: Hati nurani menunjukkan pendirian kamu dan diri kamu yang sebenar. Bagaimana pula dengan kamu? Keadaan hati nurani kamu menunjukkan apa tentang kamu?