KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Saya Dapat Menikmati Hubungan yang Baik dengan Ibu Bapa Saya?
Kuiz
Kamu sering mempunyai perbezaan pendapat dengan siapa?
Bapa
Ibu
Seberapa kerapkah kamu bertengkar dengannya?
Jarang
Kadang-kadang
Kerap
Apakah yang berlaku apabila pertengkaran timbul?
Pertengkaran diselesaikan dengan cepat dan damai.
Pertengkaran hanya akan selesai selepas lama bergaduh.
Pertengkaran tidak dapat diselesaikan, walaupun sudah lama bergaduh.
Jika kamu tidak dapat berdamai dengan ibu bapa, kamu mungkin fikir mereka yang harus melakukan sesuatu untuk memulihkan keadaan. Namun, terdapat perkara yang kamu dapat lakukan untuk mengurangkan konflik dan meleraikan ketegangan. Mula-mula, pertimbangkan . . .
Sebabnya perbezaan pendapat timbul
Daya pemikiran. Apabila kamu semakin membesar, kamu mula berfikir dengan lebih mendalam. Kamu juga mula mempunyai pandangan sendiri dan berkeras untuk mengikutinya. Tambahan lagi, sesetengah pendapat kamu mungkin berbeza dengan pendapat ibu bapa. Biarpun begitu, Bible menyatakan, “Hormatilah ibu bapa kamu.”—Keluaran 20:12.
Kenyataan: Kematangan dan kemahiran diperlukan untuk tidak bersikap kasar apabila perbezaan pendapat timbul.
Kebebasan. Apabila kamu semakin dewasa, ibu bapa kamu akan memberi kamu lebih banyak kebebasan. Masalahnya, kamu mungkin ingin mendapatkan lebih banyak kebebasan sekarang juga. Hal itulah yang menyebabkan pertengkaran. Namun, Bible menyatakan, “Patuhilah ibu bapa kamu.”—Efesus 6:1.
Kenyataan: Sering kali, tahap kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa kamu bergantung pada cara kamu menggunakan kebebasan yang kamu ada sekarang.
Apa yang dapat kamu lakukan
Fokus kepada peranan kamu. Jangan hanya menyalahkan ibu bapa. Cuba fikirkan apa yang kamu dapat lakukan untuk berdamai. Seorang pemuda yang bernama Jeffrey berkata, “Kadangkala yang membuat masalah bertambah teruk ialah reaksi kita terhadap apa yang dikatakan oleh ibu bapa. Bercakap dengan tenang banyak membantu untuk menyelesaikan masalah.”
Bible menyatakan, “Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai.”—Roma 12:18.
Dengar dulu. “Itulah yang paling susah bagi saya,” kata Samantha, seorang gadis yang berumur 17 tahun. “Saya dapati bahawa jika ibu bapa tahu kamu mendengarkan mereka, mereka juga akan mendengarkan kamu.”
Bible menyatakan, “Cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.”—Yakobus 1:19.
Anggaplah mereka sebagai rakan sepasukan kamu. Menyelesaikan suatu masalah sama seperti permainan tenis. Ibu bapa dan kamu ialah satu pasukan dan mereka bukan lawan kamu. Lawan kamu ialah masalah yang kamu harus atasi. “Semasa timbulnya masalah, ibu bapa menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Anak juga menginginkan yang terbaik untuk dirinya,” kata seorang pemuda yang bernama Adam. “Jadi, mereka sebenarnya mempunyai tujuan yang sama.”
Bible menyatakan, ‘Lakukan perkara yang membawa perdamaian.’—Roma 14:19.
Bertimbang rasa. Seorang remaja yang bernama Sarah berkata, “Ibu bapa perlu bergelut dengan masalah sendiri, dan mungkin sesetengah masalah mereka lebih berat daripada masalah yang kita hadapi. Apabila saya ingat akan hal itu, saya dibantu untuk lebih bersabar.” Seorang wanita muda yang bernama Carla berkata, “Saya cuba bayangkan diri sendiri dalam keadaan ibu bapa saya. Apakah rasanya membesarkan seorang anak dan menghadapi masalah yang sama? Apakah yang terbaik bagi anak saya?”
Bible menyatakan, “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Filipi 2:4.
Patuhi ibu bapa. Itulah ajaran Bible. (Kolose 3:20) Keadaan akan bertambah baik jika kamu mematuhi ibu bapa. “Saya tidak akan berasa begitu stres apabila saya buat apa yang ibu bapa saya minta,” kata seorang gadis muda yang bernama Karen. “Mereka telah banyak berkorban demi saya. Jadi, itulah yang saya patut buat.” Ketaatan ialah penawar yang terbaik untuk menyelesaikan perselisihan!
Bible menyatakan, “Tanpa kayu, api padam.”—Amsal 26:20.
Tip. Jika kamu berasa susah untuk meluahkan perasaan kamu kepada ibu bapa, cubalah tuliskannya dalam sekeping nota atau menghantar SMS kepada mereka. “Saya buat begitu apabila fikiran saya bercelaru,” kata seorang remaja yang bernama Alyssa. “Cara ini membantu saya meluahkan perasaan saya tanpa mengatakan sesuatu yang membuat saya menyesal pada kemudian hari.”