Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Pandangan yang Seimbang tentang Sukan

Pandangan yang Seimbang tentang Sukan

 Sukan dapat membawa kebaikan atau keburukan. Hal itu bergantung pada jenis sukan yang kamu pilih, cara kamu bersukan, dan berapa banyak masa kamu gunakan untuk bersukan.

 Apakah manfaatnya?

 Bersukan dapat membuat kamu lebih sihat. Bible juga menyatakan bahawa ‘senaman membawa manfaat.’ (1 Timotius 4:8, nota kaki) Seorang pemuda bernama Ryan berkata, “Bersukan dapat membantu kamu untuk tetap aktif. Itu lebih baik daripada duduk di rumah dan bermain video game.”

 Bersukan dapat membantu kamu belajar untuk mendisiplinkan diri dan bekerjasama dengan orang lain. Perhatikan pengajaran penting yang dapat kita raih daripada contoh Bible berikut: “Dalam lumba lari, semua peserta berlari tetapi hanya seorang yang akan menerima hadiah.” Kemudian ayat itu menyatakan, “Setiap orang yang bertanding dalam suatu pertandingan harus mengawal diri dalam segala hal.” (1 Korintus 9:​24, 25) Kesimpulannya? Kita perlu belajar mengawal diri dan bekerjasama supaya dapat bermain mengikut peraturan yang ditetapkan. Seorang gadis bernama Abigail juga setuju dengan hal ini. Dia berkata, “Dengan bersukan, saya dapat belajar cara untuk bekerjasama dan berkomunikasi dengan orang lain.”

 Bersukan membuka jalan untuk membina persahabatan yang akrab. Semasa bersukan, kita dapat berkumpul bersama orang lain. Seorang pemuda bernama Jordan berkata, “Hampir semua jenis sukan melibatkan persaingan. Tetapi kalau kita bersukan untuk berseronok, kita dapat gunakan peluang itu untuk bergaul rapat dengan kawan-kawan.”

 Apakah bahayanya?

 Jenis sukan. Bible menyatakan bahawa Tuhan “sangat membenci orang yang mencintai keganasan.”​—Mazmur 11:5.

 Sesetengah sukan memiliki unsur ganas secara terang-terangan. Contohnya, seorang gadis bernama Lauren berkata, “Semasa perlawanan tinju, pesertanya akan memukul lawan mereka. Sebagai orang Kristian, kita mengelak daripada pergaduhan. Jadi, mengapa kita mahu menikmati hiburan seperti itu?”

 Cuba fikirkan: Pernahkah kamu bermain atau menonton sukan yang berunsur ganas dan berfikir bahawa kamu tidak akan dipengaruhi dengan hiburan sebegitu? Jika ya, ingatlah ayat di Mazmur 11:5. Ayat itu menunjukkan bahawa Yehuwa bukan hanya tidak suka orang yang melakukan keganasan, tetapi Dia juga “sangat membenci orang yang mencintai keganasan.”

 Cara bersukan. Bible menyatakan, “Janganlah suka bertengkar atau bersikap sombong. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri.”​—Filipi 2:3.

 Jika suatu sukan itu ada pihak lawan, persaingan tentu akan wujud. Namun jika kamu selalu berkeras untuk menang, permainan itu akan menjadi tidak seronok. “Semangat bersaing boleh menguasai kamu dengan sekelip mata,” kata seorang pemuda bernama Brian. “Semakin hebat kamu dalam suatu jenis sukan, semakin banyak usaha yang diperlukan untuk pupuk kerendahan hati.”

 Cuba fikirkan: Seorang pemuda bernama Chris berkata, “Kami main bola sepak setiap minggu, dan ada yang pernah tercedera.” Jadi tanyalah diri, “Apakah perkara yang biasanya menyebabkan kecederaan? Apakah yang dapat saya lakukan untuk mengelakkan hal itu daripada berlaku?”

 Berapa banyak masa yang digunakan. Bible menasihati kita untuk “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”​—Filipi 1:​10.

 Kamu perlu menentukan kegiatan mana yang lebih penting. Hal-hal rohani mesti diutamakan. Tidak kira kamu menonton atau bermain sukan, hal itu biasanya memakan masa berjam-jam. “Saya selalu bertengkar dengan ibu saya kerana ibu rasa waktu yang saya gunakan untuk menonton sukan di TV boleh digunakan dengan lebih baik,” kata seorang gadis bernama Daria.

Jika kamu terlalu mengutamakan sukan, kamu seperti menambah terlalu banyak garam pada makanan

 Cuba fikirkan: Adakah kamu mendengar nasihat ibu bapa mengenai perkara-perkara yang harus diutamakan? Seorang gadis bernama Trina berkata, “Apabila saya dan adik-beradik saya asyik menonton sukan sehingga mengabaikan tanggungjawab kami, ibu selalu mengingatkan kami bahawa pemain-pemain itu tetap dibayar gaji, tidak kira kami menonton program itu atau tidak. Kemudian dia akan tanya kami, ‘Jadi, siapa bayar kamu?’ Maksud ibu ialah pemain-pemain itu sudah ada pekerjaan. Tetapi jika kami mengabaikan tugas dan tanggungjawab kami, kami tidak akan dapat menampung diri pada masa depan. Ibu sebenarnya memberitahu kami bahawa menonton atau bermain sukan tidak harus dijadikan perkara yang terpenting dalam kehidupan kami.”