KAUM MUDA BERTANYA
Patutkah Saya Dibaptis?—Bahagian 3: Mengapakah Saya Teragak-Agak untuk Dibaptis?
Adakah keputusan untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis membuat kamu risau? Jika ya, rencana ini akan membantu kamu mengatasi kerisauan itu.
Dalam rencana ini
Bagaimana jika saya melakukan dosa besar selepas dibaptis?
Sebab kerisauan: Mungkin kamu mengenali seseorang yang telah melakukan dosa besar lalu disingkirkan dari sidang. (1 Korintus 5:11-13) Kamu mungkin risau hal yang sama akan berlaku kepada kamu.
“Kali pertama saya memikirkan tentang pembaptisan, saya berasa takut saya akan melakukan kesilapan besar selepas dibaptis. Saya tahu hal ini akan memalukan ibu bapa saya.”—Rebekah.
Ayat kunci: “Hendaklah orang jahat meninggalkan haluan mereka . . . Biarlah mereka kembali kepada Yehuwa, Tuhan kita, kerana Dia akan berbelas kasihan terhadap mereka dan mengampuni mereka dengan rela hati.”—Yesaya 55:7.
Fikirkan: Walaupun orang yang melakukan dosa besar dan tidak bertaubat akan disingkirkan dari sidang, Yehuwa masih berbelas kasihan terhadap mereka yang dengan rendah hati bertaubat dan menerima teguran.—Mazmur 103:13, 14; 2 Korintus 7:11.
Selain itu, meskipun kamu tidak sempurna, dengan adanya bantuan Tuhan, kamu dapat melawan godaan. (1 Korintus 10:13) Lagipun, siapa yang menentukan tindakan kamu? Orang lain? Atau kamu?
“Saya risau saya akan melakukan dosa besar selepas dibaptis, tapi saya sedar saya sedang melakukan kesilapan jika saya menahan diri daripada dibaptis. Saya tidak patut membiarkan rasa takut akan apa yang mungkin berlaku pada masa depan menghalang kemajuan saya pada hari ini.”—Karen.
Kesimpulan: Seperti kebanyakan umat Yehuwa, kamu juga dapat memilih untuk mengelak daripada melakukan dosa besar.—Filipi 2:12.
Perlukan lebih banyak bantuan? Lihat “Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Godaan?”
Bagaimana jika saya rasa takut untuk memikul lebih banyak tanggungjawab selepas dibaptis?
Sebab kerisauan: Kamu mungkin mengenali kaum muda yang telah berpindah jauh daripada keluarga dan kawan untuk meluaskan khidmat mereka kepada Yehuwa. Kamu risau bahawa orang lain akan mengharapkan hal yang sama daripada kamu.
“Orang Kristian yang dibaptis layak melakukan lebih banyak dalam khidmat Yehuwa, tapi sesetengah orang belum bersedia untuk meluaskan khidmat mereka atau keadaan mereka tidak mengizinkan mereka untuk berbuat demikian.”—Marie.
Ayat kunci: “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”—Galatia 6:4.
Fikirkan: Daripada membandingkan diri kamu dengan orang lain, renungkanlah Markus 12:30, yang mengatakan, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati.”
Perhatikan, kamu harus berkhidmat kepada Yehuwa dengan segenap hati. Jika kamu benar-benar mengasihi Yehuwa, kamu akan berkhidmat kepadanya dengan segala kemampuan kamu.
“Walaupun pembaptisan merupakan langkah yang besar, pembaptisan bukanlah beban yang berat. Jika kamu memilih pergaulan yang baik, mereka dapat membantu kamu. Sebenarnya, jika kamu memikul tanggungjawab secara bertahap-tahap, kamu akan lebih gembira. Apabila kamu mengelakkan pembaptisan, kamu merugikan diri sendiri saja.”—Julia.
Kesimpulan: Binalah penghargaan terhadap kasih yang telah ditunjukkan Yehuwa kepada kamu. Dengan berbuat demikian, kamu akan didorong untuk memberikan yang terbaik, yang mampu kamu berikan kepada Yehuwa.—1 Yohanes 4:19.
Perlukan lebih banyak bantuan? Lihat “Adakah Saya Orang yang Bertanggungjawab?”
Bagaimana jika saya rasa tidak layak untuk menyembah Yehuwa?
Sebab kerisauan: Manusia sangat kecil dan tidak penting jika dibandingkan dengan Yehuwa, Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat. Jadi, kamu mungkin tertanya-tanya sama ada Yehuwa mengetahui kewujudan kamu atau tidak.
“Ibu bapa saya Saksi-Saksi Yehuwa, jadi saya risau saya hanya ‘mewarisi’ persahabatan saya dengan Yehuwa daripada mereka, dan bahawa Yehuwa tidak memimpin saya kepada-Nya secara peribadi.”—Natalie.
Ayat kunci: “Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya kepadaku.”—Yohanes 6:44.
Fikirkan: Hakikat bahawa kamu sedang mempertimbangkan keputusan untuk dibaptis, mungkin menunjukkan bahawa Yehuwa sedang memimpin kamu kepada-Nya dan bahawa Dia ingin mengeratkan persahabatan-Nya dengan kamu. Mahukah kamu menerima jemputan ini?
Ingat, Yehuwalah yang menetapkan standard yang menentukan siapa yang akan dipimpin kepada-Nya, bukan kamu atau orang lain. Tambahan lagi, Firman-Nya meyakinkan kamu bahawa jika kamu ‘menghampiri Tuhan . . . Dia pun akan menghampiri kamu.’—Yakobus 4:8.
“Hakikat bahawa kamu mengenali Yehuwa dan telah dipimpin kepada-Nya membuktikan bahawa Dia mengasihi kamu. Jadi, jika kamu berasa bahawa kamu tidak layak berkhidmat kepada Yehuwa, ingatlah bahawa ini bukan pandangan Yehuwa tentang kamu.”—Selina.
Kesimpulan: Kamu layak menyembah Yehuwa jika kamu memenuhi syarat-syarat Bible mengenai pembaptisan. Lagipun, Yehuwa berhak menerima penyembahan kamu.—Wahyu 4:11.
Perlukan lebih banyak bantuan? Lihat “Mengapakah Saya Harus Berdoa?”