Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Penciptaan atau Evolusi?​—Bahagian 4: Bagaimanakah Saya Dapat Menjelaskan Kepercayaan Saya tentang Penciptaan?

Penciptaan atau Evolusi?​—Bahagian 4: Bagaimanakah Saya Dapat Menjelaskan Kepercayaan Saya tentang Penciptaan?

Adakah kamu berasa takut untuk bercakap tentang kepercayaan kamu di sekolah? Buku teks kamu mungkin mengajar tentang evolusi. Selain itu, kamu mungkin risau bahawa cikgu dan rakan sekelas akan mengejek kamu. Bagaimanakah kamu dapat menjelaskan kepercayaan kamu dengan yakin tentang penciptaan?

 Kamu pasti boleh!

 Kamu mungkin berfikir: “Saya tidak pandai untuk menjelaskan tentang subjek sains dan evolusi.” Itulah perasaan Danielle pada suatu ketika. Dia berkata, “Saya tidak suka berdebat dengan cikgu dan rakan sekelas saya.” Diana juga berkata, “Saya keliru apabila mereka berdebat dengan menggunakan istilah sains.”

 Namun, tujuan kamu bukan untuk menang dalam perdebatan. Kamu tidak perlu menjadi pakar sains untuk menjelaskan sebab kamu percaya bahawa penciptaan adalah logik.

 Tip: Kamu boleh menjelaskan secara ringkas dengan menggunakan ayat Bible di Ibrani 3:4: “Sudah tentu setiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Tuhanlah yang membina segala sesuatu.”

 Seorang gadis yang bernama Carol menjelaskan ayat Ibrani 3:4 dengan cara ini: “Bayangkan kamu sedang berjalan di sebuah hutan. Tiada orang yang berada di situ. Kemudian, kamu ternampak sebatang pencungkil gigi di atas tanah. Apa yang akan kamu simpulkan? Ramai akan berkata, ‘Seseorang pernah datang ke sini.’ Jika sesuatu yang kecil seperti pencungkil gigi dapat membuktikan bahawa sesuatu tidak muncul begitu sahaja, apatah lagi alam semesta dan segala yang ada di dalamnya!”

 Jika seseorang berkata: “Jika penciptaan adalah benar, siapakah yang menciptakan Pencipta?”

 Anda boleh menjawab: “Kita memang tidak dapat memahami segala sesuatu tentang Pencipta. Tetapi, hal ini tidak bermaksud bahawa Pencipta tidak wujud. Contohnya, kamu mungkin tidak tahu sejarah tentang orang yang telah menciptakan telefon bimbit kamu. Tetapi, kamu percaya ada seseorang yang menciptakannya, bukan? [Izinkan maklum balas.] Banyak lagi yang dapat kita ketahui tentang Pencipta. Jika kamu ingin tahu dengan lebih lanjut, saya boleh kongsi dengan kamu.”

 Bersedialah

 Bible berkata bahawa kamu harus “sentiasa bersedia untuk membela diri di hadapan setiap orang yang menuntut penjelasan tentang harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat yang mendalam.” (1 Petrus 3:​15) Oleh itu, pertimbangkanlah dua hal ini​—apa yang dapat kamu katakan dan cara kamu mengatakannya.

  1.   Apa yang dapat kamu katakan. Kasih kepada Tuhan adalah penting dan dapat mendorong kamu untuk memberikan kesaksian. Tetapi sekadar memberitahu orang lain bahawa kamu mengasihi Tuhan tidak cukup untuk meyakinkan mereka bahawa Tuhan menciptakan segala sesuatu. Cara yang lebih baik adalah dengan menggunakan contoh daripada alam semula jadi untuk menjelaskan mengapa masuk akal untuk percaya tentang penciptaan.

  2.   Cara kamu mengatakannya. Cakaplah dengan yakin, tetapi janganlah bersikap biadap atau merendahkan orang lain. Orang mungkin akan mendengar pendapat kamu jika kamu menghormati kepercayaan mereka dan sedar bahawa mereka berhak untuk memilih apa yang mereka ingin percaya.

     “Saya berasa bahawa adalah penting agar tidak menghina orang lain.”—Elaine.

 Bahan-bahan yang membantu menjelaskan kepercayaan kamu

Membuat persediaan untuk mempertahankan kepercayaan kamu adalah seperti bersedia untuk mengharungi perubahan cuaca

 Seorang remaja yang bernama Alicia berkata, “Jika kita tidak membuat persiapan, kita akan berdiam diri kerana tidak mahu dipermalukan.” Seperti yang dikatakan oleh Alicia, persiapan adalah penting untuk berjaya. Jeanna berkata, “Dengan mempersiapkan penjelasan dan contoh yang ringkas untuk menyokong kepercayaan saya, saya berasa lebih yakin untuk berbincang tentang penciptaan.”

 Dari manakah kamu dapat mencari contoh-contoh tersebut? Ramai kaum muda dapat menjelaskan kepercayaan mereka dengan menggunakan bahan-bahan berikut:

 Kamu dapat membaca rencana dalam siri sebelum ini, “Penciptaan atau Evolusi?”

  1.  Bahagian 1: Mengapakah Percaya kepada Tuhan?

  2. Bahagian 2: Mengapakah Teori Evolusi Perlu Dikaji?

  3. Bahagian 3: Mengapakah Percaya tentang Penciptaan?

 Tip: Pilihlah contoh-contoh yang dapat meyakinkan kamu. Dengan berbuat demikian, kamu dapat mengingati dan menjelaskan kepercayaan kamu dengan yakin. Cubalah latih cara kamu menjelaskan kepercayaan kamu.