KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Saya Dapat Memperoleh Dorongan untuk Bersenam?
Mengapakah saya patut bersenam?
Di sesetengah negara, kaum muda jarang melakukan kegiatan fizikal dan hal ini menjejaskan kesihatan mereka. Tetapi, Bible menyatakan bahawa ‘latihan jasmani membawa manfaat.’ (1 Timotius 4:8) Pertimbangkanlah hal yang berikut:
Senaman dapat mengurangkan stres. Kegiatan fizikal dapat meningkatkan hormon endorfin. Endorfin ialah bahan kimia di dalam otak yang membuat anda berasa tenang dan gembira. Ada orang yang memanggil senaman sebagai ubat kemurungan semula jadi.
“Jika saya berjoging pada awal pagi, saya berasa lebih gembira dan dapat melakukan lebih banyak hal pada hari itu. Berjoging membantu meningkatkan mood saya.”—Regina.
Senaman dapat meningkatkan penampilan kamu. Jika kamu bersenam, kamu akan menjadi lebih kuat, lebih sihat, dan lebih yakin.
“Saya berasa gembira dapat membuat 10 kali senaman mendagu. Setahun yang lalu, mahu buat satu kali pun susah. Lagipun saya berasa gembira kerana saya menjaga tubuh saya.”—Olivia.
Senaman dapat memanjangkan hayat kamu. Kegiatan fizikal menyihatkan jantung dan sistem pernafasan kamu. Senaman aerobik dapat mencegah risiko penyakit jantung yang merupakan penyakit yang sering menyebabkan kematian.
“Jika kita sering bersenam, kita menunjukkan bahawa kita menghargai tubuh yang dikurniakan oleh Pencipta kita.”—Jessica.
Kesimpulan: Senaman membawa banyak manfaat sekarang dan pada masa depan. “Kamu tidak akan berkata, ‘Saya menyesal kerana pergi hiking atau joging,’” kata seorang wanita muda yang bernama Tonya. “Saya tidak pernah menyesal jika saya pergi bersenam dan tidak mencari alasan untuk tidak pergi.”
Apakah yang menghalang saya untuk bersenam?
Berikut merupakan beberapa halangan untuk bersenam:
Tiada motivasi. “Orang muda rasa mereka tidak akan mengalami masalah kesihatan. Mereka berasa bahawa hanya orang tua yang mempunyai masalah kesihatan.”—Sophia.
Tiada masa. “Saya sangat sibuk. Tetapi saya memaksa diri untuk menjaga pemakanan dan memastikan saya mendapat tidur yang cukup. Tetapi saya selalu tiada masa untuk bersenam.”—Clarissa.
Tiada duit. “Mahu menjadi ahli gim sangat mahal!”—Gina.
Cuba renungkan:
Apakah halangan terbesar bagi kamu untuk bersenam? Kamu perlu berusaha untuk mengatasi halangan itu tetapi usaha kamu akan membuahkan hasil yang baik.
Bagaimanakah saya dapat memastikan saya rajin bersenam?
Berikut merupakan beberapa cadangan:
Jangan bergantung pada orang lain kerana kesihatan kamu ialah tanggungjawab kamu sendiri.—Galatia 6:5.
Jangan berdalih. (Pengkhutbah 11:4) Sebagai contoh, kamu tidak perlu mempunyai keahlian gim untuk mula bersenam. Carilah senaman yang kamu suka dan jadikannya sebahagian daripada jadual harian kamu.
Dapatkan cadangan orang lain tentang idea senaman.—Amsal 20:18.
Tetapkan waktu bersenam. Tetapkan matlamat dan catatkan kemajuan kamu agar kamu mendapat dorongan untuk terus bersenam.—Amsal 21:5.
Cari teman untuk bersenam. Dia dapat menggalakkan kamu untuk terus bersenam dan mengikut jadual senaman yang telah ditetapkan.—Pengkhutbah 4:9, 10.
Kamu mungkin gagal sekali dua, tetapi janganlah berputus asa.—Amsal 24:10.
Jangan keterlaluan
Bible menggalakkan kita untuk “bersikap sederhana dalam segala hal.” (1 Timotius 3:2, 11) Jadi janganlah bersikap keterlaluan. Orang yang terlalu mementingkan senaman sering kali terlalu mementingkan penampilan luarannya. “Lelaki yang otot besar tapi otak kecil langsung tidak menarik,” kata seorang wanita muda yang bernama Julia.
Berhati-hati dengan cogan kata seperti “Biarpun kamu sangat penat, buatlah 10 kali lagi.” Nasihat sedemikian akan membuat kamu tercedera atau hilang tumpuan terhadap “perkara-perkara yang lebih penting.”—Filipi 1:10.
Selain itu, dorongan yang digunakan untuk menguatkan semangat kamu mungkin akan melemahkan semangat kamu. Seorang wanita muda yang bernama Vera berkata, “Banyak gadis menyimpan gambar bentuk tubuh impian mereka supaya mereka terdorong untuk bersenam. Tetapi jika mereka asyik membandingkan bentuk tubuh mereka dengan bentuk tubuh orang lain, mereka senang menjadi tawar hati dan akhirnya berputus asa. Lebih baik jika kamu menetapkan matlamat untuk meningkatkan keadaan kesihatan kamu dan bukannya terlalu bertumpu pada penampilan kamu.”