Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimana jika Saya Tidak Mahu Hidup Lagi?

Bagaimana jika Saya Tidak Mahu Hidup Lagi?

 “Beberapa tahun lalu, kerisauan saya sangat teruk sehingga saya rasa seolah-olah saya perlu lawan api setiap hari. Pada masa itu, saya ada fikir untuk bunuh diri. Sebenarnya, saya tidak mahu mati. Saya cuma mahu akhiri penderitaan saya.”—Jonathan, 17 tahun.

 Dalam satu kajian terhadap kira-kira 14,000 pelajar sekolah menengah, hampir 1 daripada 5 orang mengakui pernah berfikir untuk bunuh diri dalam masa 12 bulan yang lalu. a Jika kamu pun rasa tiada gunanya untuk teruskan hidup, apa yang dapat kamu buat?

  •   Tunggu. Berjanjilah pada diri sendiri bahawa kamu tidak akan bertindak terburu-buru mengikut perasaan. Walaupun masalah kamu nampaknya begitu berat, masih ada cara yang dapat membantu kamu menghadapi masalah itu.

 Kamu mungkin rasa seolah-olah terperangkap dalam masalah kamu. Namun, keadaan mungkin tidak seteruk yang kamu fikirkan. Jika kamu dapatkan bantuan, kamu dapat mencari cara untuk menghadapinya dan penyelesaiannya mungkin di depan mata kamu.

  •  Prinsip Bible: “Kami diasak dari semua arah, tetapi kami tidak terhimpit sehingga tidak dapat bergerak; kami kebingungan, tetapi bukanlah sehingga kami tidak ada jalan keluar.”—2 Korintus 4:8.

     Cadangan: Jika perasaan untuk bunuh diri begitu kuat atau berterusan, dapatkanlah bantuan yang tersedia. Contohnya, hubungi talian hotline cegah bunuh diri atau pergi ke bahagian kecemasan di hospital. Orang yang bekerja di situ telah dilatih untuk memberikan bantuan, dan mereka sangat ingin membantu kamu.

  •   Bercakaplah dengan seseorang. Ada orang yang mengasihi kamu dan ingin membantu kamu, seperti kawan atau ahli keluarga kamu. Mereka tidak akan tahu apa yang sedang kamu alami kecuali kamu memberitahu mereka.

 Sesetengah orang perlukan kaca mata supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Begitu juga, kawan kamu dapat membantu kamu memiliki pandangan yang betul tentang masalah kamu supaya mempunyai keinginan untuk hidup.

  •  Prinsip Bible: “Sahabat sejati . . . dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.

     Cadangan: Untuk mulakan perbualan, kamu boleh kata, “Baru-baru ini, saya selalu ada fikiran yang sangat negatif. OK kah kalau saya cakap dengan kamu?” Atau kamu boleh kata, “Saya ada masalah yang saya tidak dapat selesaikan seorang diri. Bolehkah kamu bantu saya?”

  •   Jumpa doktor. Masalah kesihatan seperti kerisauan atau kemurungan boleh menyebabkan orang tidak mahu teruskan hidup. Tapi, berita baiknya ialah masalah kesihatan ini boleh dirawat.

 Sepertimana selesema boleh menyebabkan kamu hilang selera makan, kemurungan juga boleh menyebabkan kamu hilang keinginan untuk hidup. Namun, kedua-dua penyakit ini boleh dirawat.

  •  Prinsip Bible: “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.”—Matius 9:12.

     Cadangan: Dapatkan tidur dan senaman yang mencukupi, serta makan makanan yang berkhasiat. Keadaan kesihatan kamu dapat mempengaruhi perasaan kamu.

  •   Berdoa. Bible berkata bahawa Pencipta kita “lebih besar daripada hati kita dan mengetahui segala sesuatu.” (1 Yohanes 3:20) Jadi, berdoalah kepada-Nya hari ini. Gunakanlah nama-Nya, iaitu Yehuwa, dan luahkanlah isi hati kamu.

 Sesetengah beban terlalu berat untuk dipikul seorang diri. Pencipta kamu, Yehuwa, ingin membantu kamu.

  •  Prinsip Bible: ‘Merayulah kepada Tuhan. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.’—Filipi 4:6, 7.

     Cadangan: Selain beritahu Yehuwa tentang masalah kamu, cubalah fikirkan sekurang-kurang satu perkara baik dan ucapkanlah syukur kepada-Nya untuk hari itu. (Kolose 3:15) Perasaan syukur dapat membantu kamu memupuk pandangan yang lebih positif tentang hidup kamu.

 Jika kamu berasa bahawa tiada gunanya untuk teruskan hidup, dapatkanlah bantuan. Itulah yang dilakukan oleh Jonathan yang disebutkan pada awal rencana ini. Dia kata, “Apabila saya selalu bercakap dengan ibu bapa saya dan dapatkan bantuan perubatan, keadaan saya lebih baik. Memang, ada kalanya saya rasa sedih, tapi saya tidak lagi bergelut dengan perasaan ingin bunuh diri.”

a Kajian ini diadakan pada tahun 2019 oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit A.S.