Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Apakah yang Perlu Saya Lakukan Selepas Dibaptis?—Bahagian 1: Teruskan Aktiviti Rohani Kamu

Apakah yang Perlu Saya Lakukan Selepas Dibaptis?—Bahagian 1: Teruskan Aktiviti Rohani Kamu

 Kamu perlu menjaga barang-barang berharga kamu, seperti rumah atau kereta, dengan baik. Begitu juga, kamu perlu menjaga persahabatan kamu dengan Tuhan. Selepas dibaptis, bagaimanakah kamu dapat mengekalkan persahabatan yang erat dengan Tuhan?

Dalam rencana ini

 Terus belajar Firman Tuhan

 Ayat kunci: “Renungkanlah dan tumpukanlah sepenuh perhatian kepada hal-hal ini, supaya kemajuanmu dapat dilihat dengan jelas oleh semua orang.”—1 Timotius 4:15.

 Maksud: Selepas dibaptis, kamu perlu terus membaca Bible dan merenungkan apa yang kamu pelajari.—Mazmur 25:4; 119:97.

 Cabaran: Kadangkala, kamu mungkin tiada semangat untuk belajar. Jadi, kamu mungkin berfikir bahawa kamu kurang pandai belajar.

 Apa yang dapat kamu lakukan: Kajilah lebih dalam tentang topik-topik Bible yang kamu suka. Buatlah aturan pembelajaran Bible peribadi. Tentukan masa dan cara kamu akan belajar Bible dan bahan bacaan Bible. Jika kamu ada aturan yang mampu kamu ikuti, kamu tidak akan rasa pembelajaran kamu itu suatu beban. Semasa kamu belajar, ingatlah bahawa matlamat kamu adalah untuk memperdalam kasih kamu kepada Yehuwa dan Firman-Nya. Pembelajaran Bible peribadi seperti ini bukan sahaja bermanfaat, tetapi juga menyeronokkan.—Mazmur 16:11.

 Tip: Untuk meraih manfaat yang sepenuhnya, belajarlah di tempat yang sunyi dan tiada gangguan.

 Perlukan lebih banyak bantuan?

 Terus berdoa kepada Yehuwa

 Ayat kunci: “Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur.”—Filipi 4:6.

 Maksud: Komunikasi dengan Tuhan merupakan komunikasi dua hala: Kamu mendengar kata-kata Tuhan semasa kamu membaca Firman-Nya dan bercakap kepada-Nya semasa kamu berdoa. Kamu boleh berdoa untuk meminta bantuan Tuhan dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya atas berkat yang kamu terima.

 Cabaran: Kadangkala, kamu mungkin rasa doa kamu kurang bermakna kerana selalu mengulangi hal yang sama. Kamu juga mungkin mula meragui sama ada Yehuwa benar-benar mendengar semasa kamu berdoa, atau sama ada Dia mahu kamu bercakap kepada-Nya.—Mazmur 10:1.

 Apa yang dapat kamu lakukan: Semasa melakukan aktiviti harian, fikirkan apa yang dapat kamu doakan. Jika kamu tidak dapat mengucapkan doa yang panjang kerana keadaan tidak mengizinkan pada masa itu, ingatlah untuk melakukannya pada masa yang lebih sesuai pada hari itu. Selain berdoa tentang kerisauan kamu, berdoalah juga untuk orang lain.—Filipi 2:4.

 Tip: Jika kamu rasa doa kamu kurang bermakna, berdoalah tentang hal itu kepada Yehuwa. Dia mahu kamu bercakap kepada-Nya tentang segala kerisauan kamu, termasuklah hal yang berkaitan dengan doa kamu.—1 Yohanes 5:14.

 Perlukan lebih banyak bantuan?

 Terus mengongsi kepercayaan kamu

 Ayat kunci: “Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu. . . . Dengan berbuat demikian, kamu akan menyelamatkan dirimu sendiri dan mereka yang mendengarkan kamu.”—1 Timotius 4:16.

 Maksud: Apabila kamu mengongsi kepercayaan kamu dengan orang lain, kamu menguatkan iman kamu juga. Hasilnya, kamu dapat menyelamatkan nyawa orang yang mendengarkan kamu dan juga nyawa kamu sendiri.

 Cabaran: Kadangkala, kamu mungkin tidak rasa ingin mengongsi kepercayaan kamu. Kamu juga mungkin berasa takut untuk melakukannya, terutamanya semasa di sekolah.

 Apa yang dapat kamu lakukan: Bertekadlah untuk tidak membiarkan perasaan negatif, seperti perasaan takut untuk mempengaruhi tindakan kamu. Rasul Paulus menulis, “Biarpun aku [mengisytiharkan berita baik] dengan berat hati, aku masih diamanahkan tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga.”—1 Korintus 9:16, 17.

 Tip: Dengan izin ibu bapa kamu, carilah seorang Saksi yang dapat membantu kamu dan menjadi teladan baik bagi kamu dalam kerja penyebaran.—Amsal 27:17.

 Perlukan lebih banyak bantuan?

 Terus menghadiri perjumpaan Kristian

 Ayat kunci: “Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik. Janganlah abaikan perjumpaan kita.”—Ibrani 10:24, 25.

 Maksud: Tujuan utama kita menghadiri perjumpaan adalah untuk menyembah Yehuwa. Selain itu, ada dua manfaat menghadiri perjumpaan. Pertama, saudara saudari dapat menggalakkan kamu di perjumpaan. Kedua, dengan menghadiri dan mengambil bahagian dalam perjumpaan, kamu menggalakkan mereka.Roma 1:11, 12.

 Cabaran: Kadangkala, fikiran kamu mungkin melayang sehingga kamu terlepas maklumat penting yang disampaikan di perjumpaan. Atau kamu mungkin berhenti menghadiri perjumpaan secara tetap. Kamu mungkin terlalu fokus kepada hal lain, seperti kerja sekolah, sehingga tiada masa untuk perjumpaan.

 Apa yang dapat kamu lakukan: Tanpa mengabaikan kerja sekolah kamu, bertekadlah untuk menghadiri perjumpaan secara tetap dan tetapkanlah matlamat untuk meraih manfaat sepenuhnya daripada perjumpaan. Ambillah bahagian dengan memberikan komen secara sukarela. Selepas perjumpaan, pujilah seseorang atas komen atau bahagiannya.

 Tip: Buatlah persediaan awal. Muat turun aplikasi JW Library® dan gunakan tab “Perjumpaan” untuk mengetahui apa yang akan dibincangkan dalam setiap perjumpaan.

 Perlukan lebih banyak bantuan?