KAUM MUDA BERTANYA
Apakah yang Perlu Saya Ketahui tentang Serangan Seksual?—Bahagian 1: Pencegahan
Apakah itu serangan seksual?
Ungkapan ini mempunyai definisi yang berbeza-beza mengikut undang-undang setiap negara. Tetapi secara amnya, ungkapan “serangan seksual” merujuk kepada hubungan seksual yang tidak diingini, yang kadangkala boleh melibatkan keganasan fizikal. Serangan seksual juga merangkumi penderaan seksual terhadap kanak-kanak atau remaja, sumbang mahram, dan rogol. Jika seseorang “yang dapat dipercayai,” seperti doktor, guru, atau pemimpin agama mengambil kesempatan atas kamu, perbuatannya itu juga tergolong dalam serangan seksual. Serangan seksual mungkin dilakukan secara fizikal atau menerusi kata-kata. Sesetengah mangsa diugut agar mereka tidak berani melaporkan apa yang berlaku kepada orang lain.
Menurut satu tinjauan, setiap tahun di Amerika Syarikat sahaja, terdapat hampir 250 ribu orang yang mengalami serangan seksual, dan hampir separuh daripada mereka berusia antara 12 hingga 18 tahun.
Apa yang perlu kamu ketahui
Bible mengutuk serangan seksual. Kira-kira 4,000 tahun yang lalu, sekumpulan orang yang gila seks ingin merogol dua orang lelaki yang melawat kota Sodom. Bible mencatatkan bahawa kejadian itu ialah salah satu sebab mengapa Yehuwa telah memusnahkan kota itu. (Kejadian 19:4-13) Tambahan lagi, Hukum Musa yang ditulis kira-kira 3,500 tahun yang lalu mengharamkan hubungan seks antara ahli keluarga, termasuk serangan seksual atas seorang ahli keluarga.—Imamat 18:6.
Pemangsa biasanya orang yang sudah dikenali. “Dalam dua daripada tiga kes rogol, mangsa kenal pemangsanya,” kata buku Talking Sex With Your Kids. Buku itu menyatakan bahawa pemangsa bukanlah orang yang tidak dikenali sama sekali.
Serangan seksual dialami oleh lelaki dan perempuan. Di Amerika Syarikat, kira-kira 10 peratus daripada mangsa ialah lelaki. Menurut Rape, Abuse & Incest National Network (RAINN), mangsa lelaki “mungkin risau mereka akan menjadi homoseksual” atau mereka mungkin risau “mereka bukan lelaki sejati.”
Kes serangan seksual semakin berleluasa. Bible telah menubuatkan bahawa “pada hari-hari terakhir” banyak orang “tidak memiliki kasih sayang,” “garang,” dan “tidak tahu mengawal diri.” (2 Timotius 3:1-3) Pemangsa serangan seksual selalunya memiliki sifat-sifat negatif itu.
Serangan seksual bukanlah salah mangsa. Tidak ada orang yang patut mengalami serangan seksual. Hanya pemangsa yang patut dipersalahkan atas apa yang berlaku. Namun, terdapat beberapa perkara yang dapat kamu lakukan agar kamu tidak menjadi mangsa serangan seksual.
Apa yang dapat kamu lakukan
Persiapkan diri. Berfikirlah tentang bagaimana kamu akan bertindak jika ada orang, bahkan teman lelaki, teman wanita, atau saudara mara kamu, cuba memperkosa kamu. Seorang wanita muda yang bernama Erin berkata bahawa kamu patut mempersiapkan diri untuk menghadapi semua jenis tekanan daripada rakan sebaya. Fikirkanlah setiap situasi yang mungkin timbul, dan berlatihlah untuk menghadapi situasi itu. “Kamu mungkin berasa hal itu lucu, tetapi jika kamu berbuat demikian, kemungkinan besar kamu tidak akan menjadi mangsa orang lain,” kata Erin.
Bible menyatakan: ‘Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh kerana kita hidup pada hari-hari yang jahat.’—Efesus 5:15, 16.
Tanyalah diri: “Apakah yang akan saya lakukan jika seseorang menyentuh saya dalam cara yang membuat saya berasa kurang selesa?”
Buatlah perancangan awal. RAINN menyarankan agar kamu “mempunyai kata rahsia yang difahami oleh kawan atau keluarga kamu. Dengan demikian, jika sesuatu situasi membuat kamu berasa kurang selesa, kamu dapat menelefon mereka untuk meminta bantuan tanpa diketahui oleh orang di sisi kamu. Mereka dapat datang dan menjemput kamu dengan segera.” Sebenarnya, adalah lebih baik untuk menghindari situasi yang dapat membahayakan kamu.
Bible menyatakan: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.”—Amsal 22:3.
Tanyalah diri: “Apakah rancangan saya?”
Tetapkan batas dan ikut batas itu. Sebagai contoh, jika kamu sedang berdating, kamu dan teman lelaki atau wanita kamu harus berbincang tentang perbuatan yang dapat diterima dan perbuatan yang tidak dapat diterima. Jika teman lelaki atau wanita kamu berasa hal itu remeh, carilah teman lelaki atau wanita lain yang menghargai batasan yang telah kamu tetapkan.
Bible menyatakan: ‘Kasih itu tidak bersikap biadab dan tidak mementingkan diri sendiri.’—1 Korintus 13:4, 5.
Tanyalah diri: “Apakah batas yang telah saya tetapkan? Apakah perbuatan yang melanggar batas yang telah saya tetapkan?”