KAUM MUDA BERTANYA
Bagaimanakah Saya Dapat Memupuk Tabiat Pemakanan yang Seimbang?
Kamu pasti tahu bahawa tabiat pemakanan yang tidak seimbang akan merosakkan kesihatan kamu. Remaja yang tidak sihat akan menjadi orang dewasa yang tidak sihat. Jadi kamu patut mula memupuk tabiat pemakanan yang sihat sekarang.
Apakah itu tabiat pemakanan yang seimbang?
Bible menasihati kita agar “bersikap sederhana dalam segala hal,” dan hal ini merangkumi tabiat pemakanan atau diet kita. (1 Timotius 3:11) Oleh itu, kita patut tahu bahawa . . .
Diet yang seimbang bererti mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan. Lima kumpulan makanan termasuk produk tenusu, protein, buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin. Ada orang yang tidak makan sesetengah kumpulan makanan kerana mereka percaya bahawa hal ini akan membantu mereka mengurangkan berat badan. Tetapi jika kamu berbuat demikian, badan kamu tidak akan mendapat nutrien yang mencukupi.
Cubalah cara ini: Buatlah kajian atau tanyalah doktor kamu tentang mengapa penting untuk memakan sesetengah makanan. Contohnya:
Karbohidrat dapat memberi kamu tenaga. Protein dapat membantu badan kamu melawan jangkitan, dan membina dan membaiki tisu-tisu badan. Sesetengah lemak, yang dimakan dalam kuantiti yang betul, dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan memberi kamu tenaga yang mencukupi.
“Saya cuba mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan. Tidak salah untuk makan gula-gula atau makanan segera sekali-sekala. Tapi janganlah selalu. Kamu perlu bersikap seimbang.”—Brenda.
Diet yang seimbang bererti tidak bersikap keterlaluan. Kamu perlu makan dengan secukupnya, dan bukannya berpuasa lalu makan secara berlebihan, atau menjauhi semua makanan yang kamu suka.
Cubalah cara ini: Selama satu bulan, catatkan apa yang kamu makan. Seberapa kerapkah kamu bersikap keterlaluan dalam soal makanan? Apakah perubahan yang dapat kamu lakukan untuk memupuk tabiat pemakanan yang seimbang?
“Selama beberapa hari, saya akan makan makanan yang tinggi kalori secara berlebihan, tetapi pada hari-hari yang berikutnya pula, saya akan memaksa diri untuk makan makanan yang rendah kalori sahaja. Cara ini tidak seimbang, jadi saya memutuskan untuk tidak mengira kalori lagi. Sebaliknya, saya membuat perubahan dengan tidak makan berlebihan, dan berhenti makan apabila sudah kenyang. Hal ini memerlukan masa, tetapi sekarang saya dapat memupuk tabiat pemakanan yang seimbang.”—Hailey.
Bagaimanakah saya dapat mengekalkan tabiat pemakanan yang seimbang?
Buatlah rancangan. Bible menyatakan, “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.” (Amsal 21:5) Maka jika kamu ingin memupuk tabiat pemakanan yang sihat, kamu perlu merancang terlebih dahulu.
“Kamu perlu merancang agar dapat makan secara sihat, dan biasanya kamu perlu menyediakan makanan yang sihat di rumah. Biarpun hal ini tidak mudah, hasilnya amat berbaloi dan kamu juga dapat berjimat cermat.”—Thomas.
Gantikan makanan yang tidak sihat dengan makanan yang sihat. Bible menyatakan, “Janganlah lepaskan hikmat.” (Amsal 3:21) Dengan adanya hikmat atau kebijaksanaan, kamu dapat memikirkan lebih banyak cara untuk memakan makanan yang sihat dan memupuk tabiat pemakanan yang baik.
“Setiap hari, saya akan gantikan satu jenis makanan yang tidak sihat dengan makanan yang sihat. Contohnya, saya menggantikan gula-gula coklat dengan epal. Tidak lama kemudian, saya dapat gantikan banyak makanan ringan dengan makanan yang sihat setiap hari!”—Kia.
Bersikap sederhana. Bible menyatakan, “Makanlah dengan gembira.” (Pengkhutbah 9:7) Memilih makanan yang seimbang tidak bermaksud kamu tidak boleh menikmati makanan yang sedap, atau kamu harus memperhatikan setiap jenis makanan yang kamu masukkan ke dalam mulut. Biarpun kamu perlu mengurangkan berat badan, ingatlah bahawa kesihatan kamu lebih penting. Maka, pupuklah pandangan yang seimbang.
“Baru-baru ini, saya hilang kira-kira 13 kilogram. Tapi sepanjang masa itu, saya tidak pernah puasa, mengelakkan jenis makanan tertentu, atau memarahi diri kerana makan desert. Saya sedar bahawa mengurangkan berat badan itu tidak berlaku dengan cepat, tetapi saya perlu ubah gaya hidup saya.”—Melanie.