Lompat ke kandungan

Blue Planet Archive/Mark Conlin

SIAPAKAH PEREKANYA?

Cara Ikan Grunion Bertelur

Cara Ikan Grunion Bertelur

 Ikan grunion California ialah sejenis ikan kecil yang bertelur di pantai California, Amerika Syarikat, dan Baja California, Mexico. Ikan ini tahu hari dan masa yang tepat untuk bertelur supaya anak ikan dapat menetas dan hidup.

 Fikirkan: Ikan grunion hanya bertelur pada waktu malam selama tiga atau empat hari selepas paras air pasang tertinggi, iaitu semasa fasa anak bulan atau bulan purnama. Jika ikan grunion bertelur sebelum fasa anak bulan atau bulan purnama, air pasang akan menghakis pasir di pantai dan menyebabkan telur ikan hanyut dibawa arus. Namun, oleh sebab ikan grunion bertelur selepas paras air pasang tertinggi, telur ikan akan selamat dan tidak dihanyutkan. Hal ini kerana pada masa itu, ombak laut tidak terlalu kuat dan membawa lebih banyak pasir yang akan melindungi telur.

Wally Skalij/Los Angeles Times via Getty Images

 Selain itu, semasa musim bertelur (pada musim bunga dan musim panas), paras air pasang pada waktu malam selalunya adalah lebih tinggi daripada waktu siang. Ini membolehkan ikan grunion pergi jauh ke arah pantai untuk bertelur. Dengan demikian, telur ikan akan dilindungi daripada air pasang yang seterusnya pada waktu siang.

 Ikan grunion akan menunggu sehingga ada ombak yang besar membawanya lebih dekat ke pantai. Kemudian, ikan grunion akan berenang dan menaiki lereng pantai setinggi mungkin. Semasa air surut, ikan grunion betina akan menggali pasir yang basah sedalam lima hingga lapan sentimeter dengan ekornya untuk bertelur. Kemudian, satu atau beberapa ikan grunion jantan akan mensenyawakan telur itu. Selepas itu, ikan grunion akan bergerak-gerak atas pasir ke arah air dan menunggu ombak yang seterusnya untuk membawanya ke laut.

 Anak ikan grunion akan berkembang dalam telur yang ditimbus oleh pasir yang basah. Tapi untuk menetas, pergerakan ombak atas pasir amat penting untuk merangsang telur ikan grunion. Kira-kira dua atau empat minggu kemudian, semasa paras air pasang yang tertinggi berlaku, telur ikan grunion akan menetas.

 Apakah pandangan anda? Adakah kebolehan ikan grunion untuk bertelur di tempat yang sesuai pada masa yang tepat wujud secara evolusi, atau wujud kerana adanya Pencipta?