Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Kuasa Pelekat Teritip

Kuasa Pelekat Teritip

 Dari dahulu lagi, ahli zoologi telah memperhatikan bahawa teritip dapat melekat pada batu, jeti, atau badan kapal dengan senang sekali. Teritip yang melekat pada apa-apa permukaan sangat susah ditanggalkan dan kuasa pelekatnya jauh lebih kuat daripada mana-mana pelekat buatan manusia. Sebenarnya, cara teritip dapat melekat pada permukaan yang basah merupakan suatu misteri buat masa yang lama. Baru-baru ini misteri ini akhirnya dirungkaikan.

 Fikirkan: Para penyelidik mendapati bahawa larva teritip memilih permukaan untuk menempelkan dirinya dengan teliti. Selepas memilih permukaan itu, larva teritip akan merembeskan dua bahan. Bahan pertama ialah sejenis cecair berminyak yang dapat menyingkirkan air daripada permukaan itu. Bahan kedua yang dirembeskan ialah sejenis protein yang dipanggil fosfoprotein.

 Apabila digabungkan, kedua-dua bahan itu akan membentuk bahan pelekat yang sangat kuat sehingga bahkan bakteria pun tidak dapat meleraikannya. Hal ini sangat penting bagi teritip kerana teritip akan menghabiskan sepanjang hidupnya pada lokasi itu.

Bahan pelekat yang dihasilkan oleh teritip

 Para penyelidik kagum dengan proses yang digunakan oleh teritip untuk menghasilkan bahan pelekatnya. Salah seorang penyelidik yang telah membantu merungkaikan misteri kuasa pelekat teritip berkata, “Teritip menggunakan cara yang sangat bijak untuk menempelkan diri pada permukaan yang basah.” Hasil kajian mereka dapat membantu untuk menghasilkan bahan pelekat yang dapat digunakan di bawah air, dalam bidang perubatan, atau dalam bahan elektronik.

 Apakah pandangan anda? Adakah kuasa pelekat teritip wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?