Apakah Itu Kerohanian? Bolehkah Saya Berfikiran Rohani Tanpa Agama?
Jawapan Bible
Dalam Bible, kerohanian menggambarkan keinginan untuk menyenangkan Tuhan dan kesudian untuk menyelaraskan cara berfikir mengikut cara pemikiran Tuhan. Seseorang yang berfikiran rohani akan berusaha untuk hidup menurut piawaian Tuhan dan mengikut bimbingan kuasa suci-Nya. a—Roma 8:5; Efesus 5:1.
Bible sering menggunakan perbandingan untuk menjelaskan kerohanian. Sebagai contoh, tidak seperti orang yang berfikiran rohani, “seseorang yang berfikiran duniawi enggan menerima hal-hal daripada kuasa suci Tuhan,” atau ajaran daripada Tuhan. (1 Korintus 2:14-16) Orang yang berfikiran duniawi juga lebih cenderung berasa cemburu dan berkelahi daripada menunjukkan kemurahan hati dan bersikap damai. (1 Korintus 3:1-3) Selain itu, seseorang yang suka memfitnah dan yang memisahkan sahabat akrab disamakan dengan orang “yang bersikap seperti binatang, dan yang tidak dibimbing oleh kuasa suci Tuhan.”—Yudas 19; Amsal 16:28. b
Dalam rencana ini
Mengapakah manusia menghargai hal-hal rohani?
Kita mempunyai keupayaan untuk berfikiran rohani kerana kita diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kejadian 1:27) Maka, tidak hairanlah kebanyakan orang menghargai dan mempunyai keinginan untuk belajar tentang perkara yang tidak dapat dilihat atau disentuh.
Kita mempunyai kebolehan semula jadi untuk mencerminkan sifat-sifat Tuhan Yehuwa, c seperti kedamaian, belas kasihan, dan sikap tidak berat sebelah. (Yakobus 3:17) Selain itu, Tuhan memberikan kuasa suci-Nya kepada orang yang berusaha untuk mematuhi perintah-perintah-Nya.—Kisah 5:32.
Mengapakah kerohanian penting?
Kerohanian dapat membawa kepada “kehidupan dan kedamaian.” (Roma 8:6) Kehidupan dan kedamaian merupakan kurniaan yang berharga daripada Tuhan.
Kehidupan: Tuhan berjanji untuk memberikan kehidupan kekal kepada orang yang berfikiran rohani.—Yohanes 17:3; Galatia 6:8.
Kedamaian: Hal ini merujuk kepada kedamaian dengan Tuhan. Orang yang hanya menumpukan fikirannya kepada keinginan tubuh ialah musuh Tuhan. (Roma 8:7) Tambahan lagi, Tuhan memberikan ganjaran berupa “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia,” kepada mereka yang berusaha untuk berfikiran rohani. (Filipi 4:6, 7) Kedamaian sebegini membantu seseorang untuk mendapatkan kebahagiaan dalam hidup.—Matius 5:3.
Bagaimanakah saya dapat memupuk kerohanian?
Belajar dan mematuhi perintah Tuhan. Anda dapat berbuat demikian dengan membaca Bible, kerana Bible mengandungi fikiran Tuhan yang telah dicatatkan oleh para lelaki yang “didorong oleh kuasa suci-Nya.” (2 Petrus 1:21) Apa yang anda belajar akan membantu anda menyembah Tuhan melalui “bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran,” yang selaras dengan kehendak Tuhan.—Yohanes 4:24.
Berdoa memohon bantuan Tuhan. (Lukas 11:13) Tuhan akan membantu anda untuk menunjukkan sifat-sifat yang dimiliki oleh orang yang berfikiran rohani. (Galatia 5:22, 23) Doa juga dapat memberi anda kebijaksanaan untuk menangani cabaran dalam hidup.—Yakobus 1:5.
Bergaul dengan orang yang berfikiran rohani. Mereka akan menggalakkan anda untuk membina kerohanian anda. (Roma 1:11, 12) Sebaliknya, pergaulan dengan orang yang mempunyai pandangan yang bertentangan dengan Tuhan akan melemahkan kerohanian anda.—Yakobus 4:4.
Adakah saya perlu beragama untuk berfikiran rohani?
Sekadar mempunyai agama tidak bermaksud bahawa seseorang itu berfikiran rohani. Bible mengatakan, “Jika seseorang menganggap dirinya penyembah Tuhan tetapi tidak mengekang lidahnya dengan baik, dia menipu dirinya sendiri dan ibadatnya sia-sia sahaja.”—Yakobus 1:26.
Namun, Bible menunjukkan bahawa orang yang berfikiran rohani akan menyembah Tuhan dalam cara yang diperkenankan-Nya. Mereka mengakui bahawa “hanya ada satu kuasa suci,” iaitu kuasa suci Tuhan. Kuasa suci itu mendorong mereka untuk menyembah Tuhan sebagai “satu tubuh,” iaitu sebagai sekumpulan orang yang mengekalkan “perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan.”—Efesus 4:1-4.
Tanggapan yang salah tentang kerohanian
Tanggapan yang salah: Kerohanian merangkumi apa sahaja haluan hidup seseorang untuk mendapatkan kepuasan diri atau untuk mencapai potensi diri dengan sepenuhnya.
Fakta: Bible menunjukkan bahawa kerohanian ialah haluan hidup yang dibimbing oleh fikiran Tuhan. Bible tidak menunjukkan bahawa seseorang boleh mendapatkan kepuasan diri tanpa Tuhan dalam hidupnya. Orang yang berfikiran rohani memperoleh kepuasan kerana mengakui Yehuwa sebagai Pencipta mereka, dan hidup selaras dengan tujuan-Nya.—Mazmur 100:3.
Tanggapan yang salah: Seseorang dapat memupuk kerohanian dengan menyakiti dirinya sendiri atau dengan menghindari diri daripada perkara-perkara yang disukainya secara keterlaluan.
Fakta: Orang yang menyeksa diri sedang “menentukan cara ibadat sendiri” dan hal ini merupakan fikiran manusia yang berdosa. (Kolose 2:18, 23) Bible berkata bahawa kerohanian akan membawa sukacita, bukannya kesakitan.—Amsal 10:22.
Tanggapan yang salah: Apa sahaja yang berkaitan dengan alam roh, termasuklah spiritisme atau spiritualisme, dapat memupuk kerohanian.
Fakta: Kepercayaan bahawa roh orang mati dapat berkomunikasi dengan orang yang hidup merupakan satu bentuk spiritisme, yang ada kalanya dipanggil spiritualisme. Namun, Bible mengajarkan bahawa orang mati tidak tahu apa-apa. (Pengkhutbah 9:5) Sebenarnya, spiritisme ialah komunikasi dengan makhluk roh yang merupakan musuh Tuhan. Amalan spiritisme membuat Tuhan marah dan akan menghalang seseorang daripada berfikiran rohani.—Imamat 20:6; Ulangan 18:11, 12.
Tanggapan yang salah: Semua makhluk hidup mampu berfikiran rohani secara semula jadi.
Fakta: Semua ciptaan Tuhan memuliakan Tuhan. (Mazmur 145:10; Roma 1:20) Namun, hanya malaikat dan manusia mampu memupuk kerohanian. Sebaliknya, binatang bertindak mengikut naluri dan tidak dapat menjalin persahabatan dengan Tuhan. Biasanya, keperluan fizikal akan mendorong binatang untuk bertindak. (2 Petrus 2:12) Bible menunjukkan bahawa kerohanian bercanggah dengan pemikiran dan tindakan yang bersifat seperti binatang.—Yakobus 3:15; Yudas 19.
a Dalam Bible, kata asal yang diterjemahkan sebagai “kuasa suci” bermaksud “nafas.” Kata ini juga merujuk kepada sesuatu yang tidak kelihatan, dan merupakan daya yang dapat menghasilkan kesan yang nyata. Bible menyatakan bahawa Tuhan ialah Roh, dan bahawa Dia ialah Penguasa Yang Tertinggi. Orang yang berfikiran rohani akan memilih untuk membuat keputusan berdasarkan kehendak Tuhan dan bimbingan kuasa suci-Nya.
b Dalam Bible, orang yang “berfikiran duniawi” merujuk kepada orang yang berfikir dan bertindak mengikut keperluan fizikal mereka. Mereka mengutamakan keperluan fizikal mereka dan kurang mempedulikan atau langsung tidak menghiraukan piawaian Tuhan.
c Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.—Mazmur 83:18.