Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Perbuatan Memberi?
Jawapan Bible
Bible menggalakkan orang untuk memberi dengan rela hati dan dengan niat hati yang betul. Perbuatan memberi membawa manfaat kepada penerima dan pemberi. (Amsal 11:25; Lukas 6:38) Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—Kisah 20:35.
Bilakah perbuatan memberi membawa manfaat?
Perbuatan memberi membawa manfaat apabila seseorang memberi dengan rela hati. Bible menyatakan, “Hendaklah setiap orang melakukan apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing. Janganlah melakukannya dengan berat hati atau secara terpaksa, kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”—2 Korintus 9:7.
Perbuatan memberi dengan ikhlas ialah sebahagian daripada ibadat kita. (Yakobus 1:27) Maka seseorang yang memberikan bantuan kepada orang yang memerlukannya sedang bekerjasama dengan Tuhan. Perbuatan ini sama seperti memberikan pinjaman kepada Tuhan. (Amsal 19:17) Bible menyatakan bahawa Tuhan sendiri akan membalas kebaikan pemberi itu.—Lukas 14:12-14.
Bilakah perbuatan memberi tidak bermanfaat?
Apabila seseorang tidak memberi dengan ikhlas. Contohnya:
Supaya dipuji orang lain.—Matius 6:2.
Untuk menerima balasan.—Lukas 14:12-14.
Untuk membeli penyelamatan atau mendapat berkat Tuhan.—Mazmur 49:6, 7.
Apabila seseorang menyokong kegiatan atau sikap yang dikutuk Tuhan. Contohnya, adalah salah untuk memberikan wang kepada seseorang agar dia dapat berjudi, atau menyalahgunakan dadah atau minuman keras. (1 Korintus 6:9, 10; 2 Korintus 7:1) Begitu juga, adalah salah untuk memberikan wang kepada seseorang yang mampu menyara diri tetapi malas.—2 Tesalonika 3:10.
Apabila seseorang mengetepikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan kepadanya. Bible mengajarkan bahawa kepala keluarga mesti menampung kehidupan keluarganya. (1 Timotius 5:8) Maka dia tidak patut asyik memberi kepada orang lain sehingga mengabaikan keperluan keluarganya. Begitu juga, Yesus mengutuk orang yang enggan menjaga keperluan ibu bapa mereka dengan mendakwa bahawa semua harta mereka ialah “persembahan yang dikhaskan untuk Tuhan.”—Markus 7:9-13.