Bumi yang Aman—Bagaimanakah Hal Ini Akan Terjadi?
Jawapan Bible
Bumi akan menjadi aman, bukan kerana usaha manusia, tetapi melalui Kerajaan Tuhan di syurga yang diperintah oleh Yesus Kristus. Perhatikan bagaimana Bible menjelaskan harapan yang menakjubkan ini.
Tuhan akan “menghentikan peperangan di seluruh dunia.” Dia akan menunaikan janji itu agar “orang di bumi yang diperkenankan-Nya mendapat kedamaian.”—Mazmur 46:9; Lukas 2:14.
Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi dari syurga. (Daniel 7:14) Sebagai sebuah kerajaan sedunia, Kerajaan Tuhan akan menghapuskan semangat kebangsaan atau nasionalisme, yang merupakan punca di sebalik banyak konflik.
Yesus, Pemerintah Kerajaan Tuhan, dipanggil “Pemimpin Kedamaian.” Dia pasti akan membawa “kedamaian yang tidak berkesudahan.”—Yesaya 9:6, 7.
Sesiapa yang ingin terus berperang tidak akan dibenarkan hidup di bawah Kerajaan Tuhan, kerana Tuhan “membenci orang yang suka akan keganasan.”—Mazmur 11:5; Amsal 2:22.
Tuhan mengajar rakyat-Nya cara untuk hidup damai. Hasilnya, Bible menyatakan, “Mereka akan menempa pedang menjadi bajak dan tombak menjadi pisau pemangkas. Satu bangsa tidak akan mengangkat pedang untuk melawan bangsa yang lain, dan mereka tidak akan belajar berperang lagi.”—Yesaya 2:3, 4.
Jutaan Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia sudah pun diajar oleh Yehuwa untuk menjadi orang yang mencintai kedamaian. (Matius 5:9) Meskipun mereka berasal daripada pelbagai suku dan tinggal di lebih daripada 230 negara dan kawasan, mereka enggan mengangkat senjata untuk menyerang orang lain.
Saksi-Saksi Yehuwa sedang belajar untuk mengikut haluan kedamaian sekarang