Apakah Ajaran Bible tentang Kebebasan untuk Memilih? Adakah Tuhan Menentukan Nasib Kita?
Jawapan Bible
Tuhan memberi kita penghormatan dengan mengurniai kita kebebasan untuk memilih, iaitu keupayaan untuk membuat keputusan sendiri. Tuhan tidak menetapkan atau membiarkan takdir menentukan apa yang kita lakukan. Perhatikan ajaran Bible tentang perkara ini.
Tuhan menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. (Kejadian 1:26) Kita bukan seperti binatang yang bertindak mengikut naluri. Sebaliknya, kita dapat menunjukkan sifat-sifat Pencipta kita, seperti kasih dan keadilan. Kita juga memiliki kebebasan untuk memilih, sama seperti Tuhan.
Kita dapat menentukan masa depan kita dalam banyak perkara. Bible menggalakkan kita untuk ‘memilih kehidupan . . . dengan mematuhi firman Tuhan,’ iaitu memilih untuk mentaati perintah-Nya. (Ulangan 30:19, 20) Nasihat ini tidak bermakna jika kita tidak dapat memilih, bahkan Tuhan itu kejam kerana meminta kita melakukan sesuatu yang kita tidak mampu lakukan. Tambahan lagi, Tuhan tidak memaksa kita untuk mentaati-Nya. Sebaliknya, dengan pengasih, Tuhan mengingatkan kita, “Alangkah baiknya jika kamu memperhatikan perintah-Ku! Jika demikian, kedamaian kamu akan menjadi seperti sungai.”—Yesaya 48:18.
Kejayaan atau kegagalan kita tidak ditakdirkan. Jika kita ingin berjaya, kita harus berusaha dengan tekun. Bible menasihati kita, “Lakukanlah apa sahaja dengan sepenuh hati.” (Pengkhutbah 9:10) Bible juga kata, “Rancangan orang rajin pasti berjaya.”—Amsal 21:5, nota kaki.
Kebebasan untuk memilih sememangnya kurniaan yang bernilai daripada Tuhan. Dengan adanya kurniaan ini, kita dapat mengasihi-Nya dengan “segenap hati,” kerana kita memilih untuk berbuat demikian dan bukannya dipaksa.—Matius 22:37.
Tidakkah Tuhan menentukan segala-galanya?
Bible memang mengajar bahawa Tuhan itu Maha Kuasa. Ini bermaksud kuasa-Nya tidak dapat dihadkan oleh sesiapa pun kecuali diri-Nya sendiri. (Ayub 37:23; Yesaya 40:26) Biarpun demikian, Tuhan tidak menggunakan kuasa-Nya untuk menentukan segala-galanya. Contohnya, Bible mengatakan bahawa Tuhan “menahan diri” terhadap Babilon kuno, yang merupakan musuh kepada umat-Nya. (Yesaya 42:14) Begitu juga, buat masa ini, Tuhan memilih untuk membenarkan orang terus menyalahgunakan kebebasan mereka untuk memilih, sehingga menyebabkan orang lain menderita. Tetapi Tuhan tidak akan terus berdiam diri untuk selama-lamanya.—Mazmur 37:10, 11.