Mengapakah Yesus Mati?
Jawapan Bible
Yesus mati supaya manusia mendapat pengampunan dosa dan kehidupan kekal. (Roma 6:23; Efesus 1:7) Kematian Yesus juga membuktikan bahawa walaupun seseorang menghadapi cubaan yang teruk, dia dapat tetap setia kepada Tuhan.—Ibrani 4:15.
Fikirkan bagaimana kematian seorang lelaki telah membawa banyak manfaat.
Yesus mati agar “dosa kita diampunkan.”—Kolose 1:14.
Manusia pertama Adam, diciptakan sempurna tanpa dosa. Namun, dia memilih untuk mengingkari Tuhan. Keingkaran atau dosa Adam, memberikan pengaruh yang besar terhadap semua keturunannya. Bible menjelaskan, “Disebabkan keingkaran satu orang, banyak orang menjadi pendosa.”—Roma 5:19.
Yesus juga sempurna, tetapi dia tidak pernah berdosa. Maka, dia dapat menjadi “korban pendamaian” untuk dosa kita. (1 Yohanes 2:2) Keingkaran Adam mencemari umat manusia dengan dosa, tetapi kematian Yesus menyingkirkan noda dosa daripada mereka yang beriman kepadanya.
Adam seolah-olah telah menjual umat manusia kepada dosa. Maka apabila Yesus mati bagi pihak kita, dia membeli kita semula untuk menjadi miliknya. Hasilnya, “jika seseorang berbuat dosa, kita mempunyai seorang penolong yang melakukan apa yang benar, iaitu Yesus Kristus, yang ada bersama Bapa.”—1 Yohanes 2:1.
Yesus mati “supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.”—Yohanes 3:16.
Walaupun Adam diciptakan untuk hidup selama-lamanya, dosanya telah mengakibatkan hukuman mati. Melalui Adam, ‘dosa masuk ke dalam dunia, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.’—Roma 5:12.
Sebaliknya, kematian Yesus bukan sahaja menyingkirkan noda dosa tetapi juga membatalkan hukuman mati bagi mereka yang memperlihatkan iman terhadapnya. Bible menyimpulkan: “Sebagaimana dosa dan maut memerintah sebagai raja, begitu juga kebaikan hati yang unggul akan memerintah sebagai raja agar orang mendapat perkenan Tuhan. Dengan itu, orang dapat meraih kehidupan yang kekal melalui Yesus Kristus, Tuan kita.”—Roma 5:21.
Sememangnya, manusia sekarang tidak dapat hidup selama-lamanya. Namun, Tuhan berjanji bahawa Dia akan mengurniakan kehidupan kekal kepada orang yang berbuat benar dan membangkitkan orang mati supaya mereka juga mendapat manfaat daripada kematian Yesus.—Mazmur 37:29; 1 Korintus 15:22.
Yesus “menunjukkan kepatuhan sampai mati,” hal ini membuktikan bahawa seseorang dapat setia kepada Tuhan tidak kira apa pun ujian atau cubaan yang dihadapinya.—Filipi 2:8.
Walaupun memiliki fikiran dan tubuh yang sempurna, Adam mengingkari Tuhan kerana dia menginginkan sesuatu yang bukan miliknya. (Kejadian 2:16, 17; 3:6) Kemudian, musuh utama Tuhan, iaitu Syaitan, mengatakan bahawa manusia tidak akan mematuhi Tuhan tanpa mendapat apa-apa manfaat, terutamanya apabila nyawanya terancam. (Ayub 2:4) Namun, Yesus, manusia yang sempurna, telah mematuhi Tuhan dan tetap setia kepada-Nya walaupun dia harus menderita dan mengalami kematian yang mengaibkan. (Ibrani 7:26) Maka kesimpulannya ialah: Seseorang dapat tetap setia kepada Tuhan tidak kira apa pun ujian atau cubaan yang dihadapinya.
Soalan-soalan mengenai kematian Yesus
Mengapakah Yesus perlu menderita dan mati untuk menebus manusia? Mengapakah Tuhan tidak terus membatalkan hukuman mati itu?
Hukum Tuhan menyatakan bahawa “upah dosa ialah kematian.” (Roma 6:23) Tuhan tidak menyembunyikan hukum ini daripada Adam, malah memberitahunya bahawa hukuman bagi keingkaran ialah kematian. (Kejadian 3:3) Sewaktu Adam berdosa, Tuhan “yang tidak dapat berdusta” berpegang pada kata-kata-Nya. (Titus 1:2) Adam bukan sahaja mewariskan dosa kepada keturunannya, tetapi juga upah dosa, iaitu kematian.
Walaupun manusia yang berdosa patut dihukum mati, Tuhan menunjukkan kepada mereka ‘betapa agungnya kebaikan hati-Nya.’ (Efesus 1:7) Tuhan telah mengutus Yesus sebagai korban yang sempurna untuk menebus manusia. Pemberian-Nya itu menunjukkan betapa agungnya keadilan dan belas kasihan-Nya.
Bilakah Yesus mati?
Yesus mati pada “jam yang kesembilan” selepas matahari terbit, atau pada kira-kira pukul tiga petang semasa perayaan Paska. (Markus 15:33-37, nota kaki) Menurut kalendar moden, tarikh itu bersamaan dengan hari Jumaat, 1 April, 33 M.
Di manakah Yesus mati?
Yesus dihukum bunuh di “tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak. Nama tempat ini dalam bahasa Ibrani ialah Golgota.” (Yohanes 19:17, 18) Pada zaman Yesus, tempat ini terletak “di luar pintu gerbang kota” Yerusalem. (Ibrani 13:12) Memandangkan Bible menyatakan bahawa beberapa orang melihat Yesus dihukum “dari jauh,” tempat itu mungkin terletak di atas sebuah bukit. (Markus 15:40) Namun, lokasi Golgota sekarang tidak dapat dipastikan.
Bagaimanakah Yesus mati?
Walaupun ramai yang percaya bahawa Yesus disalibkan, Bible menyatakan, “Dengan tubuhnya sendiri, dia menanggung dosa kita semasa dia dipakukan pada pokok.” (1 Petrus 2:24, nota kaki) Penulis Bible menggunakan dua perkataan Yunani, iaitu stau·rosʹ dan xyʹlon, bagi merujuk kepada alat yang digunakan untuk menghukum mati Yesus. Ramai cendekiawan menyimpulkan bahawa dua perkataan itu merujuk kepada sebuah tiang lurus yang diperbuat daripada kayu.
Apakah caranya memperingati kematian Yesus?
Pada malam Paska Yahudi disambut, Yesus memperkenalkan suatu upacara ringkas kepada para pengikutnya dan menyuruh mereka, “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” (1 Korintus 11:24) Beberapa jam kemudian, Yesus dijatuhkan hukuman mati.
Penulis Bible menyamakan Yesus dengan bebiri yang dikorbankan semasa Perayaan Paska. (1 Korintus 5:7) Sebagaimana perayaan Paska mengingatkan orang Israel bahawa mereka telah dibebaskan daripada perhambaan, begitu juga Peringatan Kematian Yesus Kristus mengingatkan orang Kristian bahawa mereka telah dibebaskan daripada dosa dan kematian. Menurut kalendar Bible, Perayaan Paska disambut pada 14 Nisan setiap tahun. Oleh itu, orang Kristian masa awal juga merayakan Peringatan sekali setahun.
Setiap tahun, jutaan orang di seluas dunia memperingati kematian Yesus pada tarikh yang bersamaan dengan 14 Nisan.