Apakah yang Dikatakan Bible tentang Perkahwinan?
Jawapan Bible
Selepas menciptakan lelaki dan wanita yang pertama, Tuhan menyatukan mereka dalam perkahwinan. Dia mengasaskan perkahwinan sebagai ikatan yang istimewa antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Ikatan ini merupakan asas bagi sesebuah keluarga dan menjadikan kehidupan keluarga lebih stabil.—Kejadian 1:27, 28; 2:18.
Tuhan mahu pasangan yang berkahwin menjalani kehidupan yang bahagia. (Amsal 5:18) Dalam Bible, Dia menyatakan aturan-Nya tentang perkahwinan serta prinsip-prinsip yang dapat menjayakan sebuah perkahwinan.
Dalam rencana ini
Apakah aturan Tuhan tentang perkahwinan?
Sejak permulaan, Tuhan mengasaskan perkahwinan untuk menyatukan seorang lelaki dengan seorang wanita. (Kejadian 2:24) Tuhan tidak menerima amalan poligami, perbuatan homoseksual, atau tindakan tinggal bersama pasangan tanpa berkahwin. (1 Korintus 6:9; 1 Tesalonika 4:3) Yesus mengajar para pengikutnya untuk mematuhi aturan Tuhan tentang perkahwinan.—Markus 10:6-8.
Dalam pandangan Tuhan, perkahwinan merupakan ikatan yang kekal. Apabila seorang lelaki dan seorang wanita berkahwin, mereka berjanji untuk setia kepada satu sama lain dan tetap hidup bersama sepanjang hayat mereka. Tuhan menghendaki mereka untuk menepati janji tersebut.—Markus 10:9.
Bagaimana pula dengan perpisahan dan perceraian?
Ada kalanya, pasangan suami isteri mungkin terpaksa berjauhan atas sebab tertentu. Contohnya, salah seorang daripada mereka mungkin perlu mengurus hal kecemasan keluarga di tempat lain. Namun, Bible tidak menggalakkan pasangan untuk berpisah kerana masalah perkahwinan. Sebaliknya, pasangan yang mempunyai masalah perkahwinan harus berusaha untuk berbaik semula.—1 Korintus 7:10.
Perzinaan ialah satu-satunya dasar dalam Bible yang membenarkan pasangan untuk bercerai. (Matius 19:9) Maka, menurut Bible, jika pasangan suami isteri memutuskan untuk berpisah atau bercerai atas sebab lain, mereka tidak boleh mencari pasangan baharu atau berkahwin semula.—Matius 5:32; 1 Korintus 7:11.
Adakah perkahwinan perlu didaftarkan secara sah agar diperkenankan Tuhan?
Tuhan menghendaki orang Kristian untuk mematuhi undang-undang negara yang berkaitan dengan perkahwinan. (Titus 3:1) Jika pasangan suami isteri dapat mendaftar perkahwinan mereka secara sah mengikut undang-undang negara, mereka menunjukkan hormat terhadap pihak berkuasa dan pandangan Tuhan bahawa perkahwinan merupakan ikatan seumur hidup. a
Apakah tanggungjawab dan peranan yang diberikan kepada suami isteri dalam Bible?
Tanggungjawab yang dipikul bersama. Suami dan isteri harus melayan satu sama lain dengan kasih dan hormat. (Efesus 5:33) Mereka harus memenuhi keperluan seks pasangan mereka dalam cara yang pengasih dan mengelakkan semua bentuk perbuatan curang. (1 Korintus 7:3; Ibrani 13:4) Jika mereka mempunyai anak, pasangan suami isteri harus memikul tanggungjawab bersama-sama untuk membesarkan anak mereka.—Amsal 6:20.
Bible tidak menyatakan secara terperinci tentang cara suami isteri patut berkongsi tanggungjawab dalam hal kerja sekular dan kerja di rumah. Pasangan suami isteri boleh membuat keputusan bersama mengikut apa yang terbaik bagi keluarga mereka.
Peranan suami. Bible menyatakan bahawa “suami ialah kepala isteri.” (Efesus 5:23) Hal ini bererti bahawa dia patut membimbing keluarganya dan membuat keputusan yang bermanfaat bagi isteri dan anak-anak.
Dia harus berusaha untuk memastikan agar keperluan fizikal, emosi, dan rohani mereka dijaga. (1 Timotius 5:8) Dia menunjukkan bahawa dia menghargai kebolehan dan sifat-sifat isterinya dengan bekerjasama dengannya. Dia juga akan mempertimbangkan pendapat dan perasaannya semasa membuat keputusan. (Amsal 31:11, 28) Bible menyatakan bahawa para suami harus memenuhi tanggungjawab mereka dalam cara yang pengasih.—Kolose 3:19.
Peranan isteri. Bible menyatakan bahawa ‘isteri harus menghormati suaminya dengan mendalam.’ (Efesus 5:33) Tuhan telah memberi suami peranan sebagai kepala keluarga. Jadi, Tuhan berasa senang hati apabila seorang isteri menghormati peranan suaminya.
Peranan seorang isteri adalah untuk menyokong suaminya sebagai kepala keluarga dan membantunya membuat keputusan yang baik. (Kejadian 2:18) Bible memuji para isteri yang memenuhi peranan mereka yang penting dalam perkahwinan.—Amsal 31:10.
Adakah Tuhan menghendaki pasangan suami isteri untuk mempunyai anak pada hari ini?
Tidak. Pada masa lalu, Tuhan memberikan perintah kepada sesetengah penyembah-Nya untuk mempunyai anak. (Kejadian 1:28; 9:1) Namun, orang Kristian tidak terikat dengan perintah itu. Yesus tidak pernah mengarahkan para pengikutnya untuk mempunyai anak. Murid-muridnya pada abad pertama juga tidak pernah mengatakan bahawa pasangan yang sudah berkahwin mesti mempunyai anak. Jadi, pasangan suami isteri boleh memilih sendiri sama ada mereka mahu mempunyai anak atau tidak.
Bagaimanakah Bible dapat membantu perkahwinan?
Bible mengandungi prinsip-prinsip yang dapat membantu pasangan yang baru berkahwin untuk melangkah ke alam perkahwinan yang bahagia. Selain itu, prinsip Bible juga dapat membantu pasangan untuk menghindari atau mengatasi masalah.
Prinsip Bible dapat membantu pasangan yang sudah berkahwin untuk . . .
menunjukkan kasih sejati.—1 Korintus 13:4-7; Kolose 3:14.
a Untuk mengetahui pandangan Bible tentang perkahwinan yang mengikut adat tempatan atau adat suku kaum, lihat Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Oktober 2006, muka surat 21, perenggan 12.