Lompat ke kandungan

Menara Pengawal No. 2 2020 yang bertajuk, “Apa Itu Kerajaan Tuhan?” yang diedarkan semasa kempen 2023

29 NOVEMBER 2023
BERITA GLOBAL

Berita Baik tentang Kerajaan Tuhan Disebarkan semasa Kempen September 2023

Berita Baik tentang Kerajaan Tuhan Disebarkan semasa Kempen September 2023

Pada September 2023, Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia telah menjalankan kempen istimewa untuk menginjil tentang Kerajaan Tuhan. Majalah Menara Pengawal edisi umum No. 2 2020 yang bertajuk, “Apa Itu Kerajaan Tuhan?” telah diedarkan. a Pengalaman berikut menunjukkan hasil baik yang diperoleh daripada usaha ini.

England

Mark dan anaknya Flynn, yang berumur 10 tahun, dari Southport, England, telah menyertai kempen ini. Semasa menginjil dari rumah ke rumah, mereka jumpa seorang wanita pada pintu yang pertama. Wanita itu sangat gembira dan terus mengambil majalah Menara Pengawal yang ditawarkan oleh Mark. Dia merujuk kepada soalan pada muka surat depan majalah dan kata, “Saya tidak sangka saya dapat jumpa kamu hari ini! Saya sangat perlukan jawapan kepada soalan ini sekarang.” Wanita itu beritahu mereka bahawa baru-baru ini, anaknya telah meninggal dan dia sangat perlukan kelegaan. Mark mengongsi harapan pembangkitan dengannya dan wanita itu rasa sangat tersentuh lalu minta lebih banyak maklumat tentang hal ini. Apabila Mark dan Flynn melawatnya, wanita itu dan suaminya menerima brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! dan tawaran untuk belajar Bible.

Indonesia

Semasa Frederick sedang menunggu giliran di sebuah pusat perubatan, dia telah berbual dengan seorang lelaki yang juga sedang tunggu bersama anaknya. Selepas berbual seketika, Frederick dapat kongsi janji Bible tentang masa depan yang bebas daripada penyakit dan penderitaan. Dia minta lelaki tersebut untuk baca kata-kata Yesus tentang Kerajaan Tuhan di Matius 6:9, 10. Selepas itu, Frederick tanya dia, “Bagaimanakah penderitaan akan dilenyapkan?” Lelaki itu jawab, “Tuhan akan melakukannya melalui Kerajaan Tuhan.” Lelaki itu ingin tahu lebih banyak lagi tetapi sudah tiba giliran anaknya untuk temu janjinya. Frederick memberi lelaki itu alamatnya dan majalah Menara Pengawal dengan segera. Keesokan paginya, lelaki itu dan pasangannya pergi ke rumah Frederick untuk tahu lebih banyak tentang janji-janji Kerajaan Tuhan. Frederick dengan gembira membuat aturan untuk meneruskan perbincangan itu.

Malawi

Dua saudari menawarkan majalah Menara Pengawal kepada seorang ketua kampung dan menjelaskan bahawa Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi. Jadi lelaki itu pun tanya, “Maksudnya saya akan hilang kuasa saya?” Saudari kita menjelaskan bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikan semua masalah manusia. Lelaki itu pun kata, “Ini berita baik. Sebagai ketua kampung, saya tahu kami tidak mampu buat apa yang Kerajaan Tuhan janji untuk lakukan.” Dia minta lima naskhah majalah Menara Pengawal untuk beri kepada ketua kampung yang lain. Dia juga setuju untuk melanjutkan perbincangan mereka pada masa depan.

Mexico

Semasa menaiki sebuah bas di Puebla, Mexico, seorang saudari menanya seorang lelaki jika dia boleh kongsi suatu mesej yang menggalakkan kepadanya. Lelaki itu setuju dan saudari itu baca Matius 6:9, 10. Lelaki itu tanya, “Apa itu Kerajaan Tuhan? Saya tidak pernah baca Bible atau bercakap dengan Saksi-Saksi Yehuwa.” Saudari itu menjawab soalannya dengan menunjukkan Menara Pengawal dalam alat elektroniknya. Lelaki itu ada banyak soalan. Jadi, saudari kita tunjukkan aplikasi JW Library dan cara untuk cari jawapan kepada soalan-soalannya. Tetapi alat elektronik lelaki itu tidak mempunyai cukup ruang storan. Maka, dia pun mula padam beberapa fail. Dia kata, “Belajar tentang Kerajaan Tuhan lebih penting.” Sepanjang perjalanan itu, dia sudah baca seluruh majalah Menara Pengawal dan membincangkan pelajaran pertama dalam brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Dia juga menerima tawaran untuk belajar Bible. Dia berulang kali ucapkan terima kasih kepada saudari kita dan luahkan hasratnya untuk datang ke Dewan Perjumpaan.

New Zealand

Seorang saudara yang bernama Ben jumpa seorang ibu muda semasa menginjil dari rumah ke rumah. Ben beritahu wanita itu bahawa Kerajaan Tuhan akan membawa kelegaan kepada manusia dan melenyapkan semua penderitaan. Wanita itu rasa terkejut dan kata, “Baru semalam saya susah tidur sebab saya ada banyak kekhuatiran tentang masa depan. Saya sangat gembira kamu ada di sini!” Semasa Ben baca Wahyu 21:4 dan menjelaskan bagaimana Kerajaan Tuhan akan mengakhiri penyakit dan kematian, wanita itu rasa tersentuh dan menitiskan air mata. Dia menerima majalah Menara Pengawal dan kata bahawa dia tidak sabar-sabar untuk membacanya.

Sudan Selatan

Ramai orang di sebuah kem pelarian sangat berminat untuk belajar tentang Kerajaan Tuhan. Hanya dalam masa dua jam saja, hampir 1,000 bahan terbitan telah diedarkan, termasuk majalah Menara Pengawal. Salah seorang pelarian kata, “Kamu datang pada masa yang tepat. Inilah yang kami perlukan!” Seorang lagi berkata kepada saudara kita, “Terima kasih kerana tidak melupakan kami. Kami tahu kamu datang dari tempat yang jauh. Kami harap kamu akan datang lagi.”

Taiwan

Dua saudari kita bercakap dengan seorang lelaki yang sedih kerana kebakaran liar yang berlaku di Hawaii. Saudari kita pun menunjukkan gambar Firdaus daripada majalah Menara Pengawal. Lelaki itu kata, “Saya harap bumi boleh jadi aman seperti yang ditunjukkan dalam gambar ini. Dunia ini penuh dengan berita buruk saja. Berita baik yang kamu sampaikan sangat melegakan hati.”

Kita semua pasti berbesar hati untuk menyertai kempen sedunia ini dan mengongsi mesej tentang Kerajaan Tuhan, satu-satunya harapan sejati.—Roma 15:4.

Gambar-gambar di bawah menunjukkan saudara saudari di seluas dunia yang telah menyertai kempen ini.

a Dalam rencana ini, istilah Menara Pengawal merujuk kepada terbitan Menara Pengawal No. 2 2020.

 

Burkina Faso

Costa Rica

Etiopia (Habsyah)

Georgia

Indonesia

Itali

Kenya

Mexico

New Zealand

Panama

Poland

Scotland

Korea Selatan

Taiwan

Togo

Wales