28 DISEMBER 2022
BERITA GLOBAL
Perkembangan JW.ORG dalam Tempoh Sedekad—Bahagian 1
Video dan Bahan Terbitan Bible dalam Bentuk Digital
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, tahun 2022 merupakan ulang tahun ke-25 bagi laman web rasmi Saksi-Saksi Yehuwa. Tetapi sejak 10 tahun yang lalu, iaitu pada 27 Ogos 2012, laman jw.org telah direka semula dan digunakan secara meluas. Siri rencana yang mengandungi tiga bahagian ini akan menceritakan manfaat yang diraih oleh jutaan orang daripada laman jw.org.
Video: Pada konvensyen 2012 Saksi-Saksi Yehuwa, dua episod pertama bagi siri baharu yang bertajuk Jadilah Sahabat Yehuwa telah dikeluarkan dalam bentuk DVD. Tetapi seraya masa berlalu, DVD makin kurang digunakan dan kos pengeluarannya juga tinggi. Setelah laman jw.org direka semula dan tersedia pada tahun 2012, video-video kita dapat diedarkan melalui saluran ini. Berbanding DVD, cara ini jauh lebih efisien. Maka pada Januari 2013, episod seterusnya yang bertajuk, Berdoalah Sentiasa, telah dikeluarkan dalam bentuk digital di jw.org. Sejak itu, lebih daripada 40 episod telah dikeluarkan di laman web kita.
Selain itu, video Mengapa Belajar Bible? juga dikeluarkan secara digital pada 2013. Video itu ialah alat yang sangat penting dalam kerja penyebaran kita dan merupakan sebahagian daripada Bahan Utama untuk Mengajar. Sememangnya, jw.org merupakan saluran yang amat penting untuk mengongsi video-video semasa menginjil. Contohnya, semasa kempen pada Ogos 2014 untuk mengedarkan risalah jw.org, kira-kira 15 juta video telah dimuat turun atau ditonton.
Seorang saudara yang bantu menghasilkan laman jw.org berkata, “Iman saya dikuatkan kerana saya dapat melihat Yehuwa selalu mempersiapkan kita untuk masa depan. Semasa kami mula menghasilkan laman web ini, kami tidak tahu alat ini akan menjadi saluran yang begitu penting untuk mengedarkan video.” Contohnya, semasa Siaran JW dimulakan pada Oktober 2014, lebih daripada 37 juta video telah dimuat turun daripada jw.org pada bulan itu. Ketika pandemik COVID-19 melanda pada 2020, jumlah video yang dimuat turun atau ditonton telah meningkat dengan mendadak. Pada 2022, secara purata, lebih daripada 260 juta video dimuat turun setiap bulan.
Bahan Terbitan Digital: Belakangan ini, orang ramai lebih suka membaca bahan secara digital berbanding membaca buku. Sejak 2012, pengguna laman jw.org juga dapat membaca majalah dalam bentuk digital, yang biasanya dikeluarkan lebih awal berbanding edisi cetak. Kerja-kerja untuk menghasilkan bahan digital di laman jw.org juga memudahkan penghasilan aplikasi JW Library pada 2013. Dengan adanya laman web jw.org dan aplikasi JW Library, para pengguna dapat melakukan pembelajaran dengan mudah.
Pada mulanya, bahan-bahan yang dikeluarkan semasa konvensyen hanya tersedia di laman web atau aplikasi JW Library pada Januari tahun seterusnya. Tetapi semasa konvensyen serantau 2015, para hadirin amat teruja kerana mereka dapat terus memuat turun pengeluaran konvensyen secara digital. Antara bahan terbitan yang telah dikeluarkan ialah buku Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan, brosur Kembalilah kepada Yehuwa, dan video Apa Itu Cinta Sejati? Kemudian Saudara Anthony Morris, seorang ahli Badan Pimpinan, telah mengeluarkan brosur Jawapan kepada 10 Pertanyaan Kaum Muda semasa Siaran JW bulan Mei 2016. Semasa siaran itu, Saudara Morris juga mengumumkan bahawa brosur itu dapat dimuat turun dengan serta-merta. Ini ialah kali pertama bahan terbitan kita dikeluarkan secara serentak di serata dunia.
Sejak dahulu lagi, organisasi Yehuwa telah menggunakan teknologi untuk memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan. Kita berbesar hati melihat bagaimana laman jw.org telah digunakan untuk menyalurkan “makanan pada masa yang sesuai.”—Matius 24:45.
Video yang dimuat turun setiap bulan
Pelawat setiap hari dalam sebulan
Berdoalah Sentiasa dikeluarkan, Januari 2013
Aplikasi JW Library dikeluarkan, Oktober 2013
Kempen sedunia untuk mengedarkan risalah jw.org, Ogos 2014
Siaran JW dikeluarkan, Oktober 2014
Pengeluaran konvensyen tersedia dalam bentuk digital, Mei 2015
Jawapan kepada 10 Pertanyaan Kaum Muda dikeluarkan secara serentak di serata dunia, Mei 2016