12 NOVEMBER 2024
BERITA GLOBAL
Tahun ke-25 Program Pembinaan Dewan Perjumpaan Dijalankan di Afrika Timur
Hampir 1,000 Dewan Perjumpaan telah Dibina!
Tahun 2024 merupakan tahun ke-25 sejak Saksi-Saksi Yehuwa memulakan projek istimewa untuk membina Dewan Perjumpaan di kawasan cawangan Afrika Timur. Antara negara-negara yang terangkum ialah Kenya, Sudan, Sudan Selatan, dan Tanzania.
Pada 1999, program Negara dengan Sumber Terhad (LWLR) a telah diluluskan oleh Badan Pimpinan. Tujuan program ini adalah untuk mempercepat kerja pembinaan Dewan Perjumpaan di 88 negara yang sedang membangun. Melalui aturan ini, negara yang mempunyai sumber terhad boleh mendapat bantuan dana daripada cawangan yang mempunyai lebih banyak dana. (2 Korintus 8:13-15) Tambahan lagi, saudara saudari yang berpengalaman dalam kerja membina Dewan Perjumpaan akan pergi ke negara lain untuk melatih penyiar tempatan. Setelah dilatih, para Saksi tempatan dapat meneruskan kerja pembinaan di kawasan mereka. Aturan ini memang berkesan! Salah satu bukti ialah kerja pembinaan Dewan Perjumpaan yang masih dijalankan di kawasan cawangan Afrika Timur.
Pada 1999, terdapat lebih daripada 23,000 penyiar di kawasan cawangan Afrika Timur tapi mereka hanya ada 51 Dewan Perjumpaan. Kebanyakan sidang berkumpul di luar, rumah persendirian, atau di tempat lain. Sebelum program LWLR dimulakan, para saudara yang mahu membina Dewan Perjumpaan harus menggunakan apa-apa bahan yang sedia ada. Misalnya, tiang kayu, lumpur, kepingan zink, dan bahkan najis lembu yang dikeringkan dan dicampurkan dengan abu. Saudari Nancy Ruitha, dari Sidang Kingspost di Embu, Kenya, berkata, “Dulu, Dewan Perjumpaan kami diperbuat daripada kepingan besi. Jadi apabila cuaca panas, kami rasa seperti di dalam ketuhar. Apabila hujan pula, bunyinya begitu kuat sehingga kami tidak dapat dengar penceramah. Sekarang, dewan kami ada dinding yang diperbuat daripada batu. Kami rasa sangat gembira! Kami rasa lebih mudah untuk mendengar dan belajar semasa perjumpaan. Dewan Perjumpaan yang cantik ini juga memberikan kesaksian yang baik kepada masyarakat setempat.”
Dewan Perjumpaan pertama yang dibina di Afrika Timur di bawah program LWLR ialah di Nairobi, Kenya. Sepanjang 25 tahun ini, jumlah Dewan Perjumpaan yang dibina di seluruh kawasan cawangan itu meningkat daripada 51 kepada hampir 1,000.
Seraya lebih ramai orang memeluk ibadat sejati di Afrika Timur, lebih banyak Dewan Perjumpaan akan diperlukan. Saudara Timothy Stephens, pembantu penyelia Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan di Afrika Timur, kata, “Setakat tahun 2024, kami perlukan 126 Dewan Perjumpaan yang baharu dan lebih daripada 200 projek pengubahsuaian besar-besaran perlu dibuat. Dalam lima tahun ini, kami jangka angka ini akan terus meningkat.”
Kami amat menghargai kerja keras dan pengorbanan yang dibuat untuk memenuhi keperluan rakan seiman di Afrika Timur dan seluas dunia. Kita yakin Yehuwa akan memberkati usaha umat-Nya untuk memuliakan dan menyokong ibadat sejati. Semua ini pasti membawa pujian dan penghormatan kepada Yehuwa.—Yesaya 2:3.
a Pada 2014, aturan Rekaan dan Pembinaan Tempatan telah menggantikan program Negara dengan Sumber Terhad.