19 JUN 2023
GREECE
Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Romany (Greece Selatan)
Pada 10 Jun 2023, Saudara Geoffrey Jackson, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Romany (Greece Selatan). Pengeluaran itu dibuat semasa acara istimewa yang diadakan di pejabat cawangan yang terletak di Piraeus, Greece. Program tersebut telah disiarkan kepada semua sidang di Greece dan Cyprus, dan lebih daripada 29,000 orang telah menyaksikannya. Bible itu dapat dimuat turun sejurus selepas program tamat. Salinan Bible bercetak akan disediakan untuk sidang pada bulan-bulan yang akan datang.
Terdapat 10 saudara saudari yang membantu dalam kumpulan penterjemah, dan mereka bekerja di cawangan Greece. Mereka juga mendapatkan bantuan daripada saudara saudari yang bekerja di luar Bethel. Sebenarnya, kerja penterjemahan ke dalam bahasa Romany (Greece Selatan) bukanlah sesuatu yang mudah kerana bahasa itu tidak mempunyai tatabahasa yang ditetapkan.
Selepas membaca buku Matius dalam bahasa Romany (Greece Selatan), seorang saudari kata, “Dulu, saya guna bahasa Greek untuk belajar tentang Yehuwa. Walaupun saya dapat faham semua yang saya baca dan dengar, perasaannya sangat berbeza apabila saya melihat kebenaran Bible dalam bahasa ibunda saya. Mesej Bible lebih mencapai hati dan mendorong saya untuk menerapkannya dalam hidup saya.”
Seorang lagi saudari berkata, “Ayat di Matius 26:38, 39 dalam bahasa Romany (Greece Selatan) sangat menyentuh hati saya. Dalam ayat itu, Yesus beritahu pengikutnya, ‘Aku sedih sekali sehingga hendak mati rasanya.’ Tetapi kemudian, dia mohon kekuatan daripada Yehuwa untuk melakukan kehendak-Nya. Ini bantu saya sedar bahawa ada masanya kita akan berasa sedih. Itu tidak salah. Saya juga diingatkan untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa dan minta kekuatan untuk bertahan. Selain itu, saya boleh luahkan perasaan saya kepada saudara saudari lain.”
Kita sangat gembira kerana saudara saudari kita telah mendapat hadiah istimewa ini. Sudah pasti Bible ini akan memberi mereka banyak manfaat dan membantu mereka terus menghampiri Yehuwa.—Yakobus 4:8.