Lompat ke kandungan

Franz dan Hilda Kusserow berdiri di belakang 11 anak mereka sebelum kematian dua anak lelaki, Wilhelm dan Wolfgang (kedua dan ketujuh dari kiri), yang dibunuh oleh Nazi kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani

25 JANUARI 2022
JERMAN

Saksi-Saksi Yehuwa Cuba Mendapat Arkib Kusserow

Saksi-Saksi Yehuwa Cuba Mendapat Arkib Kusserow

Seperti yang dilaporkan hari ini dalam The New York Times, Jehovas Zeugen in Deutschland a sedang berusaha mendapat arkib yang terperinci tentang keluarga Kusserow yang kini dipegang oleh Muzium Sejarah Ketenteraan Bundeswehr di Dresden, Jerman. Sebenarnya, Jehovas Zeugen in Deutschland ialah waris sah arkib tersebut. Yang lebih penting, mendapat semula arkib itu akan menegakkan keadilan bagi keluarga tersebut.

Seramai 13 ahli keluarga Kusserow dianiaya dengan teruk oleh pemerintah Nazi kerana mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Dua anak lelaki, Wilhelm dan Wolfgang, dihukum mati kerana enggan berkhidmat dalam tentera Nazi. Maka Paul-Gerhard Kusserow, satu-satunya adik bongsu mereka yang masih hidup kata, “Dua abang saya meninggal kerana menolak khidmat tentera. Saya rasa tidak wajar warisan ini disimpan dalam muzium tentera.” Jadi, untuk betulkan ketidakadilan ini, Jehovas Zeugen in Deutschland sedang berusaha mendapat arkib Kusserow dari muzium itu.

Tambahan pula, Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai dokumen untuk buktikan bahawa Annemarie (anak sulung Kusserow), telah mewariskan arkib yang dikumpulkannya dengan teliti kepada Jehovas Zeugen in Deutschland secara sah. Arkib itu mengandungi lebih daripada 1,000 barang termasuk foto, lukisan, surat perpisahan sebelum dihukum mati, notis pengumuman hukuman mati, dan laporan Gestapo b yang sulit.

Annemarie meninggal pada 2005. Selepas itu, Saksi-Saksi Yehuwa sedar bahawa Muzium Sejarah Ketenteraan Bundeswehr telah mendapat arkib itu. Menurut pihak muzium, mereka membeli arkib tersebut secara sah dan jujur daripada seorang ahli keluarga Kusserow (bukan lagi Saksi Yehuwa dan kini telah meninggal).

Selama hampir tujuh tahun, Jehovas Zeugen in Deutschland tidak dapat capai persetujuan damai dengan muzium. Maka, mereka terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk mendapat semula apa yang memang milik mereka.

Jika berjaya, Saksi-Saksi Yehuwa harap arkib itu dapat dipamerkan di pejabat cawangan Eropah Tengah di Selters, Jerman. Di situ, puluhan ribu orang dari serata dunia dapat melawat secara percuma dan belajar tentang iman keluarga Kusserow yang tidak tergoyah. c

a Saksi-Saksi Yehuwa di Jerman (entiti perundangan).

b Polis rahsia Jerman.

c Buat masa ini, lawatan diberhentikan kerana COVID-19. Namun, sebelum COVID-19 menular, puluhan ribu Saksi dan orang lain yang berminat dari seluruh dunia telah melawat muzium ini setiap tahun.