Lompat ke kandungan

Kiri: Mahkamah Tentera Republik Kazakhstan. Sisipan: Salinan keputusan mahkamah pada November 2023 dan April 2024. Keputusan itu menyokong hak seseorang di Kazakhstan untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani

31 MEI 2024
KAZAKHSTAN

Detik Bersejarah di Kazakhstan Berkaitan dengan Hak untuk Menolak Khidmat Tentera

Detik Bersejarah di Kazakhstan Berkaitan dengan Hak untuk Menolak Khidmat Tentera

Pada 23 Mei 2024, satu keputusan berkaitan dengan hak untuk menolak khidmat tentera atas dasar kepercayaan agama telah berkuat kuasa di Kazakhstan. Keputusan ini melibatkan Saudara Daniil Smal yang berumur 20 tahun. Menurut seorang hakim, kes tersebut sungguh “luar biasa.”

Setahun sebelum itu, iaitu pada 17 Mei 2023, Daniil diminta pergi ke pejabat ketenteraan untuk mendaftarkan diri. Semasa di sana, dia menjelaskan pendirian Kristiannya dengan hormat. Selain itu, satu dokumen rasmi yang menyatakan bahawa Daniil layak menolak khidmat tentera atas dasar kepercayaan agama telah dikemukakan kepada para pegawai. Meskipun demikian, mereka enggan menerima permohonan Daniil dan memaksanya untuk menyertai khidmat tentera. Pada keesokan harinya, Daniil dipaksa untuk pergi ke sebuah pusat ketenteraan kira-kira 2,000 kilometer jauh dari kampung asalnya di Rudny. Sepanjang masa yang mencabar itu, dia mengekalkan pendirian yang neutral. Dia tidak mengangkat sumpah atau melafazkan ikrar tentera, tidak memakai seragam tentera, atau mengambil bahagian dalam latihan mereka. Dia cuba membuat aduan berkenaan situasinya, tetapi hal itu gagal membawa sebarang perubahan. Akhirnya, Daniil memanfaatkan bantuan dari segi perundangan dan hasilnya, kesnya telah dibawa ke mahkamah dan dibicarakan selama tiga bulan.

Saudara Daniil Smal berdiri di luar Mahkamah Tentera di Almaty Garrison pada November 2023

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tentera di Almaty Garrison memutuskan bahawa pengerahan Daniil merupakan tindakan yang melanggar undang-undang. Mahkamah menyatakan, “Pengerahan [Daniil] untuk melakukan khidmat tentera bercanggahan dengan kepercayaan agamanya yang telah dijelaskan olehnya. Memandangkan agamanya tidak mengizinkannya melakukan khidmat tentera, tindakan mereka telah mencabuli hak kebebasan hati nurani dan kebebasan beragama.” Mahkamah mengarahkan agar Daniil dibebaskan dari unit tentera setelah berada di sana selama enam bulan.

Tidak lama selepas keputusan tersebut dibuat, pihak ketenteraan telah membuat rayuan. Tetapi pada 16 April 2024, Mahkamah Tentera Republik Kazakhstan, iaitu mahkamah tentera yang tertinggi di negara itu, telah menyokong keputusan yang dibuat oleh mahkamah sebelum itu. Keputusan Mahkamah Tentera Republik Kazakhstan merupakan detik bersejarah dan berkuat kuasa pada 23 Mei 2024. Pernyataan mahkamah memetik undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan Kazakhstan, yang menjamin bahawa hak kebebasan hati nurani rakyat harus dijunjung. Mahkamah juga menyatakan, “Dalam apa situasi pun, [kerajaan Kazakhstan] tidak mempunyai hak untuk memaksa seseorang melakukan sesuatu yang melanggar hati nuraninya.”

Inilah kali pertama mahkamah di Kazakhstan menjunjung hak seseorang untuk menolak khidmat tentera atas dasar kepercayaan agamanya. Saudara Lev Gladyshev, seorang jurucakap bagi Saksi-Saksi Yehuwa di Kazakhstan berkata, “Kami sangat bersyukur mahkamah menyokong hak Daniil untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Haknya sah di sisi undang-undang dan keputusan mahkamah ini dapat menjadi asas bagi kes lain berkenaan hak asasi manusia di Kazakhstan dan Asia Tengah.”—1 Timotius 2:1, 2.