Lompat ke kandungan

Saudara saudari di Poland bersedia membantu rakan seiman dari Ukraine. Ada yang tunggu di sempadan, yang lain sediakan bungkusan bantuan

7 APRIL 2022
POLAND

Memberi dengan Murah Hati pada Masa Kesusahan

Saudara Saudari ‘Sambut Orang dengan Ramah’

Memberi dengan Murah Hati pada Masa Kesusahan

Barbara Osmyk-Urban bersama anak-anaknya, Jakub dan Nina

Saudari Barbara Osmyk-Urban, seorang ibu tunggal di Rzeszów, Poland, mempunyai dua anak, iaitu Jakub (10 tahun), dan Nina (8 tahun). Semasa penyembahan keluarga, Barbara ajar mereka untuk suka memberi dan bersimpati. Keluarga ini menunjukkannya dengan membuka rumah untuk lebih daripada 20 saudara saudari sejak tercetusnya perang di Ukraine pada 24 Februari 2022.

Semasa saudara saudari lari dari Ukraine ke tempat yang lebih selamat, Saksi-Saksi Yehuwa di Poland serta negara lain mengalu-alukan kedatangan mereka ke rumah. Ada juga yang bantu dalam cara lain. Setakat ini, sekurang-kurangnya 11,000 Saksi dari Ukraine telah melarikan diri ke Poland. Warga lelaki Ukraine yang berumur 18 hingga 60 tahun tidak boleh keluar dari negara itu disebabkan perang. Namun, lelaki yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak kecil dikecualikan.

Barbara kata, “Saudara saudari yang lari dari Ukraine ialah keluarga rohani kami.” Anak-anaknya, Jakub dan Nina, juga sayang saudara saudari dan sudi beri bilik tidur kepada mereka. Oleh sebab bahasa mereka berbeza, mereka berkomunikasi menerusi senyuman, pelukan, dan tangisan. Selepas saudara saudari beredar, Jakub bahkan kata rumah mereka terlalu sunyi dan berharap akan ada saudara saudari lain yang tinggal di situ.

Łukasz Cholewiński dan Rafał Jankowski

Saudara Łukasz Cholewiński dan Rafał Jankowski merelakan diri untuk hantar bekalan bantuan kemanusiaan ke Ukraine. Ketika tiba di sempadan, mereka lihat ada ramai wanita dan anak-anak yang menunggu di sana sambil menangis. Łukasz kata, “Menariknya, saudara saudari yang kami jumpa pula selalu bersukacita.”

Perjalanan ulang-alik ke Ukraine memakan masa empat jam. Selepas bekalan kemanusiaan tiba di Ukraine, para saudara mengagihkannya kepada rakan seiman di serata negara. Biarpun perjalanan ke Ukraine berbahaya, ramai saudara saudari merelakan diri. Rafał kata, “Bagi saya, ini memang suatu penghormatan.”

Saudari Elżbieta Ustrzycka, yang tinggal di Rzeszów, juga membuka rumahnya untuk saudara saudari Ukraine tinggal. Dia kata, “Saya sama sekali tidak akan lupa kerja keras para penatua sidang saya yang bawa saudara saudari itu. Mereka sampai ke rumah saya pada tengah malam. Hati saya tersentuh melihat para penatua datang sambil mendukung anak-anak yang sudah tertidur.”

Bartłomiej dan Estera Figura

Salah seorang penatua yang bekerja tanpa lelah ialah Saudara Bartłomiej Figura. Dia dan isterinya, Estera, pergi ke sempadan atau stesen kereta api untuk bawa saudara saudari ke tempat yang selamat. Ada kalanya, mereka sanggup pindah dari apartmen mereka supaya saudara saudari lain dapat tinggal di situ. Mereka juga memberikan bantuan kebendaan jika dapat.

Bartłomiej kata, “Kita semua sebuah keluarga yang sembah Yehuwa. Kami sangat rapat dengan saudara saudari. Dengan merelakan diri, kami sering lihat bagaimana Yehuwa beri bantuan yang benar-benar diperlukan oleh rakan seiman kami.”

Setakat ini, saudara saudari di Poland sudah buat sekitar 23,000 bungkusan bantuan yang mengandungi makanan, barang kebersihan diri, dan keperluan lain.

Anak-anak dan ibu bapa di Poland guna aplikasi JW Language dan JW Library untuk tulis kad dalam bahasa Ukraine. Ia disertakan dalam bungkusan bantuan

Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menjaga keperluan saudara saudari di Ukraine menerusi kemurahan hati rakan seiman mereka.—Amsal 11:24; Roma 12:13.