5 OKTOBER 2022
PORTUGAL
Pengeluaran Buku Matius dalam Bahasa Kabuverdianu
Pada 25 September 2022, Saudara Mário Pinto de Oliveira, ahli Jawatankuasa Cawangan Portugal, mengumumkan pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Kabuverdianu. Buku Bible itu dikeluarkan dalam bentuk digital semasa perjumpaan istimewa secara virtual, yang disiarkan dari pejabat cawangan Portugal di Lisbon. Sejumlah 3,812 hadirin menonton program ini, termasuk mereka yang di Dewan Perjumpaan di Cape Verde dan Portugal.
Bahasa Kabuverdianu ialah bahasa yang berdasarkan Kreol Portugis. Ia merupakan bahasa ibunda kepada kebanyakan orang yang tinggal di Cape Verde. Pejabat cawangan Portugal menyelia kerja penyebaran di Cape Verde.
Berkenaan terjemahan buku Matius, seorang penterjemah menjelaskan, “Walaupun ada beberapa buku dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Kabuverdianu, tetapi tidak mudah untuk memilikinya. Jadi, untuk kebanyakan orang yang terima buku Matius ini, ia merupakan kali pertama bagi mereka untuk baca Firman Tuhan dalam bahasa ibunda mereka.”
Seorang lagi penterjemah kata, “Bible ini mudah dibaca, mudah difahami, dan menggunakan kata-kata seharian. Ia merupakan hadiah yang bernilai daripada Yehuwa dan amat berguna dalam kerja menginjil. Sekarang, kita tidak perlu luang banyak masa untuk jelaskan maksud perkataan. Sebaliknya, kita boleh guna lebih masa untuk menyentuh hati orang.”
Pengeluaran buku Matius dalam bahasa Kabuverdianu ialah peringatan penting bahawa Tuhan kita yang tidak berat sebelah akan memastikan Firman-Nya tersedia untuk semua orang yang mencari-Nya.—Kisah 10:34, 35.