2 JULAI 2021
RUSIA
Doa dan Nubuat yang Jadi Kenyataan Bantu Tiga Saudara Tabah semasa Dianiaya
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Tiga Saudara
Pada 14 Januari 2022, Mahkamah Wilayah Nizhny Novgorod menolak rayuan Saudara Aleksey Oreshkov, Aleksandr Rakovskiy, dan Aleksandr Vavilov. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 25 Oktober 2021, Mahkamah Bandar Pavlovo di Wilayah Nizhny Novgorod mensabitkan Saudara Oreshkov, Rakovskiy, dan Vavilov. Mereka masing-masing dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama tiga tahun.
Profil
Aleksey Oreshkov
Tahun Lahir: 1971 (Pavlovo, Wilayah Nizhny Novgorod)
Biografi: Gemar pingpong semasa kecil. Merupakan lulusan universiti muzik bagi alat tiup. Sudah bersara. Menjaga ibunya yang tua untuk beberapa tahun. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 2011
Aleksandr Rakovskiy
Tahun Lahir: 1980 (Pavlovo, Wilayah Nizhny Novgorod)
Biografi: Semasa muda, belajar main gitar dan sertai sebuah kumpulan muzik. Bekerja sebagai pakar teknologi Internet. Berkahwin dengan Tatyana pada 2005. Mereka mula belajar dengan Saksi selepas mengetahui harapan Bible untuk masa depan. Dibaptis pada 2009. Mereka mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan
Aleksandr Vavilov
Tahun Lahir: 1967 (Kropotkin, Wilayah Krasnodar)
Biografi: Ketika muda, suka berlari, berenang, bermain ski, dan melukis potret. Pernah berkhidmat dalam tentera. Dilatih menjadi petinju profesional. Kemudian, memutus untuk meninggalkan sukan yang ganas dan menjadi tukang gunting rambut. Dia dan isterinya, Yelena, mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka berkahwin pada 1994 dan dibaptis pada 1995. Mereka gemar menghabiskan masa di luar rumah
Sejarah Kes
Pada 16 dan 17 Julai 2019, para pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) mengadakan serbuan ke atas rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Wilayah Nizhny Novgorod. Akibatnya, Aleksey Oreshkov dan Aleksandr Vavilov disoal siasat dan kemudiannya ditahan sebelum perbicaraan. Aleksey ditahan selama 211 hari dan selepas itu menjalani tahanan di rumah selama 31 hari. Aleksandr pula ditahan selama 241 hari.
Semasa dalam tahanan, Aleksey berdoa dengan lebih kerap dan bersungguh-sungguh berbanding dahulu. Setiap pagi, dia berdoa agar memiliki pandangan yang positif mengenai cabaran pada hari itu. Dia juga berdoa agar boleh tetap setia dan berfikiran rohani. Tambahan pula, dia berkata, “Pada penghujung hari, doa saya menjadi lebih panjang dan bermakna. Saya cuba menyebut nama saudara saudari dalam doa saya. Saya berdoa untuk pekerja pusat tahanan, rakan sel, penyiasat, keluarga saya, sidang saya, dan organisasi kita.”
Aleksandr Vavilov berkata, “Yehuwa menjadi lebih dekat kepada saya. Saya rasa Yehuwa bukan sahaja bimbing saya, tapi juga legakan saya seperti seorang gembala melegakan dombanya. Jagaan-Nya semakin hari semakin jelas.”
Pada 21 September 2020, Aleksandr Rakovskiy juga didakwa dalam kes Saudara Oreshkov dan Saudara Vavilov. Ketiga-tiga saudara kita dituduh atas beberapa hal, termasuk mengambil bahagian dalam perjumpaan agama Saksi-Saksi Yehuwa. Pergerakan mereka sedang disekat.
Aleksandr Rakovskiy mendapati bahawa merenung tentang nubuat Bible, terutamanya nubuat tentang raja utara, membantunya untuk bertabah. Dia berkata, “Saya dibantu untuk kurang berfikir tentang hal yang merisaukan. Sebaliknya, saya lebih banyak memikirkan nubuat-nubuat tentang penganiayaan yang jadi kenyataan. Saya juga dibantu untuk bertumpu kepada janji Yehuwa untuk menyokong kita semasa dianiaya.”
Kita yakin bahawa ketiga-tiga saudara tersebut akan tetap positif seraya iman yang kuat membantu mereka mengharungi cabaran ini.—Filipi 1:29.