23 JUN 2021
RUSIA
Doa yang Spesifik Membantu Saudari Olga Ganusha Menghadapi Penganiayaan
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan
Pada 30 September 2021, Mahkamah Wilayah Rostov menolak rayuan Saudari Ganusha. Hukuman asalnya masih berkuat kuasa. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 13 Julai 2021, Mahkamah Daerah Voroshilovskiy di Rostov-on-Don telah mengenakan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun atas Saudari Olga Ganusha.
Profil
Olga Ganusha
Tahun Lahir: 1961 (Rostov-on-Don, Wilayah Rostov)
Biografi: Ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki. Sudah bersara. Gemar buat kraf tangan, dengar muzik klasik, dan baca buku
Memilih untuk belajar Bible semasa mendengar tentang harapan untuk hidup di Firdaus bersama ahli keluarga dan sahabat handai yang dibangkitkan. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 1995
Sejarah Kes
Pada awal 2019, pihak berkuasa Rusia secara rahsia memasang alat pengawasan audio dan video di apartmen Saudari Olga Ganusha. Berdasarkan “bukti” ini, mereka menyerbu apartmennya pada Jun 2019. Pihak berkuasa juga membaca nota peribadi, surat, dan buku kecilnya. Olga didakwa secara rasmi pada 17 Ogos 2020, dan perbicaraannya bermula pada 4 Mac 2021. “Jenayahnya” termasuk mengambil bahagian dan membuka rumahnya untuk perjumpaan keagamaan, serta mengongsi kepercayaannya dengan orang lain. Pada mulanya, Saudari Olga disiasat bersama Saudari Lyudmila Ponomarenko dan Galina Parkova. Kini, mereka dibicarakan secara berasingan.
Selama hampir dua tahun disiasat dan dibicarakan, Olga mendapat kekuatan dengan berdoa secara spesifik dan bersungguh-sungguh. Dia berkata, “Saya terutamanya berdoa setiap hari agar nama Tuhan disucikan. Saya juga berdoa untuk saudara saudari kita yang ditahan di rumah, pusat tahanan, atau penjara, agar mereka dapat memberi kesaksian dan tetap berani. Dan saya berdoa semoga mereka memiliki iman yang tidak bergoyah kepada Yehuwa, dan tetap yakin bahawa Dia tidak akan meninggalkan kita dalam situasi yang sukar.” Mengenai situasi peribadinya, Saudari Olga menambah, “Saya meminta Yehuwa membantu saya mengatasi ketakutan saya, bergantung pada-Nya, dan menjadikan saya seperti tiang besi dan tembok tembaga, seperti yang dilakukan-Nya untuk Yeremia. Saya mahu tabah mengharungi penganiayaan yang bagaikan api, seperti tiga pemuda Ibrani itu. Dan saya harap agar dapat berkelakuan dalam cara yang bermartabat, seperti Yesus di depan musuhnya.”
Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menyokong Olga dan saudara saudari lain yang dianiaya kerana iman mereka menerusi ‘tangan kanan-Nya yang menegakkan keadilan.’—Yesaya 41:10.