Lompat ke kandungan

12 Mac 2020, Istana Hofburg di Vienna, Austria—Majlis Tetap OSCE mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu tentang penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa

1 MEI 2020
RUSIA

Pihak Berkuasa Eropah Mengutuk Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia

Pihak Berkuasa Eropah Mengutuk Penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia

Pada 12 Mac 2020, lebih daripada 30 negara di Eropah telah mengutuk perbuatan pihak berkuasa Rusia yang telah menganiaya dan menyeksa para Saksi. Hal ini berlaku semasa sebuah mesyuarat yang diadakan oleh Majlis Tetap Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE). Salah satu matlamat OSCE adalah untuk melindungi hak asasi manusia.

Dalam pernyataan yang dibaca kepada Majlis Tetap OSCE, 27 negara yang merupakan ahli Kesatuan Eropah (EU) dan 6 negara yang lain yang tidak termasuk dalam EU mengatakan, “Kesatuan Eropah amat risau tentang apa yang sedang berlaku kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia. Mereka dianiaya dalam pelbagai cara, termasuk penggeledahan rumah, dipenjarakan tanpa perbicaraan, disoal siasat seperti penjenayah, atau dijatuhkan hukuman penjara bahkan sehingga tujuh tahun. Kami juga sangat risau tentang laporan para Saksi yang diseksa dan dilayan dengan buruk di penjara atau sebelum mereka ditahan oleh pihak berkuasa.”

Neil Bush, iaitu duta OSCE bagi United Kingdom, telah berucap di hadapan Majlis Tetap. Dia berkata, “Pada Julai 2017, Mahkamah Agung Rusia telah menyatakan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa merupakan organisasi ekstremis. Keputusan itu telah mempengaruhi 175,000 rakyat Rusia yang mencintai kedamaian. Kini, ibadat mereka dianggap sebagai perbuatan jenayah. Hal ini mencabuli hak kebebasan beragama yang dijanjikan dalam Perlembagaan Rusia dan beberapa keputusan OSCE.” Dia menyambung, “Sejak masa itu, semakin banyak Saksi di serata Rusia telah dipenjarakan, disoal siasat seperti penjenayah, dan didakwa. Kami turut menitikberatkan dakwaan mengenai penganiayaan dan seksaan yang dialami oleh Saksi-Saksi Yehuwa.”

Salah satu kes yang disebutkan termasuk kes yang berlaku pada 6 Februari 2020, apabila lima orang Saksi dipukul dengan teruk oleh pengawal penjara di Rusia. Para Saksi yang diseksa ialah Saudara Aleksey Budenchuk, Gennadiy German, Roman Gridasov, Feliks Makhammadiyev, dan Aleksey Miretskiy. “Mereka semua telah mengalami kecederaan parah, dan salah seorang daripada mereka [Feliks Makhammadiyev] harus dimasukkan ke dalam hospital,” kata Wakil EU. “Selain itu, pada 10 Februari 2020, Vadim Kutsenko telah diseksa sebelum dibawa ke penjara. Laporan menyatakan bahawa pihak polis berulang kali memukul dan mencekiknya, dan mengenakan renjatan elektrik kepadanya. Mereka juga memaksanya untuk memberikan maklumat tentang Saksi-Saksi Yehuwa yang lain.”

Wakil EU juga menyatakan bahawa “penyeksaan dan penganiayaan ialah perbuatan paling teruk yang melanggar hak asasi dan maruah manusia, serta prinsip kemanusiaan. Perbuatan menyeksa juga melanggar undang-undang antarabangsa mengenai hak asasi manusia, terutamanya Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah, dan Konvensyen PBB yang menentang Penyeksaan dan Hukuman atau Layanan yang Kejam, Menghina, dan Tidak Berperikemanusiaan. Namun sebenarnya, Persekutuan Rusia telah pun bersetuju untuk mematuhi semua undang-undang yang dinyatakan ini.”

Tambahan lagi, para pemimpin Eropah menyatakan bahawa biarpun Rusia menjamin bahawa para Saksi di Rusia dapat beribadat dengan bebas, perbuatan Rusia sekarang telah melanggar persetujuan antara Rusia dengan Majlis Tetap.

Wakil EU menambah, “Pada 20 April 2017, Mahkamah Agung Persekutuan Rusia telah mengharamkan kegiatan Pusat Pentadbiran Saksi-Saksi Yehuwa dan semua entiti tempatan atas dasar ‘melakukan kegiatan ekstremis.’ Tetapi, Wakil Rusia mengatakan beberapa kali bahawa Saksi-Saksi Yehuwa masih dapat beribadat dengan bebas dan bahawa kebebasan beragama dan kebebasan kepercayaan mereka tetap dijamin. Walaupun demikian, kami masih menerima banyak laporan tentang penggeledahan rumah Saksi, dan bahawa mereka dipenjarakan tanpa perbicaraan dan disoal siasat seperti penjenayah.”

Pemimpin EU mendapati bahawa “sejak organisasi keagamaan tempatan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia diharamkan, terdapat 869 buah rumah Saksi yang digeledah, 26 orang yang ditahan sebelum dibicarakan, 23 orang yang ditahan di rumah, 316 orang yang didakwa, dan 29 orang yang disabitkan bersalah.”

“Jelaslah bahawa jika Saksi-Saksi Yehuwa menjalankan ibadat mereka, akibatnya ialah rumah mereka mungkin digeledah, mereka mungkin ditahan buat jangka masa yang panjang, didakwa melakukan jenayah, dan dipenjarakan. Skala penggeledahan yang dilakukan, termasuk bilangan penggeledahan yang dilakukan di sebuah bandar dalam sehari, memberi tanggapan bahawa penganiayaan yang dilakukan terhadap para Saksi ialah suatu kempen yang dirancang,” kata En. Neil Bush.

Pakar dalam soal kebebasan beragama juga mengutuk cara saudara saudari kita dilayan di Rusia. Dr. Gudrun Kugler dari Austria, yang merupakan peguam, ahli politik, dan pakar teologi Roman Katolik, mengutarakan pendapatnya mengenai ucapan Wakil EU, “Situasi para Saksi merosot secara mendadak sejak mereka diharamkan di Rusia pada April 2017. . . . Semua dakwaan yang dilontarkan terhadap para Saksi di Rusia adalah berasaskan undang-undang anti-ekstremis. Tetapi sesetengah organisasi hak asasi manusia mengatakan bahawa undang-undang itu ‘tidak jelas dan terlalu luas.’ Sekadar menjadi Saksi-Saksi Yehuwa dan menjalankan ibadat di rumah pun dapat mengakibatkan seseorang didakwa di bawah Artikel 282.2 lalu dipenjarakan. . . . Penganiayaan yang teruk terhadap Saksi-Saksi Yehuwa dan agama minoriti lain mesti dibanteras!”

Rusia dan semua negara yang merupakan ahli OSCE “bertanggungjawab mengambil langkah untuk mencegah penganiayaan, mendakwa pihak yang melakukannya, mencari mangsa layanan buruk itu, dan memberikan pampasan kepada si mangsa,” kata Wakil EU. “Kami meminta Persekutuan Rusia untuk segera menyiasat laporan sedemikian [mengenai penganiayaan] dan memastikan mereka yang terlibat dihukum. . . . Kami juga memohon pihak berkuasa untuk tidak lagi mendakwa individu yang dituduh tanpa dasar atau memenjarakan mereka kerana melakukan sesuatu [menjalankan ibadat] yang merupakan hak asasi manusia. Selain itu, kami meminta Rusia untuk menepati janji mereka untuk melindungi hak asasi rakyatnya dan menghormati kebebasan bersuara, berkumpul, mengadakan perhimpunan secara aman, dan beragama serta berkepercayaan . . . Kami juga mahu Rusia memastikan bahawa perbicaraan yang adil dijalankan.”

Tidak kira sama ada Rusia akan mengambil tindakan yang diperlukan berkenaan kebebasan beragama, kita yakin bahawa Yehuwa akan terus membantu saudara saudari kita agar dapat bersabar dan tabah menangani ketidakadilan.—Mazmur 10:18.