9 MAC 2021
RUSIA
Saudara Aleksey Berchuk dan Saudara Dmitriy Golik Menghadapi Dakwaan Jenayah di Blagoveshchensk
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Kedua
Pada 16 Februari 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Kesembilan menolak rayuan kedua Saudara Aleksey Berchuk dan Saudara Dmitriy Golik. Mereka tetap dipenjarakan.
Pada 2 September 2021, Mahkamah Wilayah Amur menolak rayuan Aleksey dan Dmitriy. Hukuman asal Aleksey kekal, manakala hukuman Dmitriy dikurangkan sebanyak sepuluh bulan. Mereka telah dipindahkan dari pusat tahanan sebelum perbicaraan ke penjara.
Dua Orang Saudara Menjadi Antara Penerima Hukuman Penjara yang Paling Lama sejak 2017
Pada 30 Jun 2021, Mahkamah Bandar Blagoveshchensk di Wilayah Amur menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun atas Aleksey dan tujuh tahun atas Dmitriy. Sebelum ini, hukuman penjara paling lama yang dikenakan atas seorang Saksi Yehuwa di Rusia, sejak organisasi diharamkan pada tahun 2017, adalah selama tujuh tahun setengah. Kedua-dua saudara tersebut telah ditahan sejurus selepas perbicaraan mahkamah.
Profil
Aleksey Berchuk
Tahun Lahir: 1975 (Kartaly, Wilayah Chelyabinsk)
Biografi: Pernah bekerja dalam bidang pembinaan dan pertukangan kayu. Mula belajar Bible pada 1990-an. Dia berhenti melibatkan diri dalam sukan yang ganas dan kini gemar bermain bola sepak dengan kawan-kawannya. Dibaptis pada 1998. Berkahwin dengan isterinya, Anna, pada 2008
Dmitriy Golik
Tahun Lahir: 1987 (Tokhoy, Republik Buryatia)
Biografi: Bekerja sebagai penterjemah bahasa Cina ke bahasa Rusia. Dia suka latihan angkat berat, main bola sepak dan gitar
Seluruh keluarganya mula belajar Bible pada 1990-an. Dia dibaptis pada 2002. Semasa diminta untuk menyertai khidmat tentera, dia memohon khidmat awam alternatif. Dia ditugaskan untuk bekerja di rumah penjagaan. Berkahwin dengan isterinya, Kristina, pada 2012. Mereka belajar bahasa Inggeris dan Cina untuk menginjil kepada lebih ramai orang
Sejarah Kes
Pada awal 2018, pegawai kerajaan memasang peralatan audio dan video dalam rumah Saudara Golik untuk mengintip mereka secara rahsia. Pada Jun 2018, para pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) menyerbu tujuh buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di sekitar Blagoveshchensk. Selepas itu, satu kes jenayah difailkan ke atas Saudara Dmitriy Golik dan Aleksey Berchuk. Mereka dituduh kerana kononnya mengatur aktiviti ekstremis.
Aleksey tidak dimaklumkan terlebih dahulu bahawa kes jenayah telah difailkan terhadapnya. Pada 21 Januari 2019, dia ditahan di kawalan pasport Lapangan Terbang Domodedovo Moscow. Seorang penyiasat FSB membawa Aleksey kembali ke bandar asalnya. Sejak itu, dia dikenakan sekatan perjalanan.
Kedua-dua saudara ini menekankan betapa pentingnya membuat persediaan untuk menghadapi penganiayaan. Dmitriy mengenang kembali, “Memang baik untuk berharap agar kita dapat menyembah Yehuwa dengan bebas, tapi pada masa yang sama, kita perlu bersedia untuk menghadapi penganiayaan.” Dia menyambung, “Sudah tentu, persediaan secara praktikal telah membantu saya. Tapi yang lebih bernilai ialah persediaan rohani. Semasa kita dianiaya, perkara yang penting bukanlah berapa pandainya kita atau berapa hebatnya kita dapat bersembunyi daripada para penentang. Tapi yang lebih penting ialah kesetiaan kita kepada Tuhan. Yesus dapat menyembunyikan diri daripada musuhnya, dan mereka tidak mungkin berjaya mencarinya, tapi itu bukan matlamat Yesus. Oleh sebab kita ialah pengikutnya, matlamat kita bukanlah untuk mengelak penganiayaan, tapi untuk tabah menghadapinya dengan berani.”
Aleksey menambah, “Kita silap kalau kita fikir, ‘Ini tak akan berlaku kepada saya.’ Memang jelas Yehuwa yang membenarkan penganiayaan berlaku. Jika anda terima hakikat bahawa anda akan dianiaya dan memupuk sikap positif terhadapnya, maka apabila penganiayaan berlaku, anda akan lebih mudah untuk tabah mengharunginya dengan bantuan Yehuwa.”
Kita tahu bahawa saudara saudari kita di Rusia, termasuk Aleksey, Dmitriy, dan isteri mereka, akan terus memiliki perasaan yang sama dengan pemazmur yang berkata, “Lihatlah! Yehuwa ialah penolongku; Dia menyertai orang yang menyokong aku.”—Mazmur 54:3, 4.