18 MEI 2021
RUSIA
TERKINI | Biarpun Terus Dianiaya, Saudara Andrey Stupnikov Yakin pada Yehuwa
Pada 3 Ogos 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Kelapan menolak rayuan kedua Saudara Andrey Stupnikov. Dia tetap dipenjarakan.
Pada 7 September 2021, Mahkamah Kawasan Krasnoyarsk menolak rayuan Andrey dan mengekalkan hukumannya.
Pada 3 Jun 2021, Mahkamah Daerah Zheleznodorozhny di Krasnoyarsk mensabitkan Andrey dan menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun atasnya. Dia ditahan dengan serta-merta di mahkamah.
Profil
Andrey Stupnikov
Tahun Lahir: 1973 (Norilsk, Kawasan Krasnoyarsk)
Biografi: Bekerja sebagai jurutera cari gali minyak dan gas. Berkahwin dengan Olga pada 1993. Mereka gemar kesenian dan aktiviti luar rumah
Sejak muda, dia minat belajar tentang Tuhan. Menyaksikan kekejaman semasa perang pertama Chechen apabila dia tinggal di Chechnya. Memikirkan sebab perkara buruk berlaku dan bagaimana untuk dapat perlindungan daripada Tuhan. Dia dan Olga belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka kagum melihat nubuat Bible menjadi kenyataan dan bagaimana Bible memberi bimbingan terbaik untuk menghadapi kesusahan
Sejarah Kes
Pada 3 Julai 2018, para pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) menangkap Saudara Andrey Stupnikov di Lapangan Terbang Antarabangsa Krasnoyarsk. Dia ialah Saksi Yehuwa yang pertama dari Krasnoyarsk ditangkap dan didakwa. Pada keesokan hari, Mahkamah Daerah Zheleznodorozhny di Krasnoyarsk mengarahkan agar Andrey ditahan sebelum perbicaraan.
Isterinya Olga menghantar surat kepada Andrey untuk menggalakkannya. Tapi, Andrey risau kerana tiba-tiba dia tidak terima surat daripada isterinya lagi. Dia menjelaskan, “Seorang lelaki bertanya, ‘Apa yang sudah jadi dengan isteri kamu? Kamu tahu?’” Hal ini membuat Andrey bertambah risau. Kemudian, Andrey sedar bahawa sebenarnya pegawai penjara sengaja simpan surat daripada Olga. Andrey mengingat kembali, “Mereka memberitahu saya, saya boleh balik kepada isteri saya jika saya bersetuju bekerjasama atau mengaku bersalah.” Andrey yakin pada Yehuwa dan tetap setia dengan tidak berganjak daripada pendiriannya. Selepas tabah mengharungi lapan bulan dalam penjara, dia ditahan di rumahnya selama empat bulan.
Pada 2 Julai 2019, Andrey dibebaskan dari tahanan rumah. Dia tidak dibenarkan untuk menghantar atau menerima surat atau guna Internet. Pihak berkuasa juga mengehadkan siapa yang dia boleh hubungi.
Sambil menunggu keputusan mahkamah, Andrey tetap memikirkan dan menghargai pembaktiannya kepada Yehuwa. Dia berkata dengan azam yang kuat, “Saya bangga mengenali Yehuwa dan saya yakin Yehuwa selalu bantu saya.”
Kita menghargai teladan Andrey yang yakin sepenuhnya pada bantuan Yehuwa.—Mazmur 28:7.