17 NOVEMBER 2020 | DIKEMASKINIKAN: 1 FEBRUARI 2023
RUSIA
TERKINI—KEPUTUSAN BAHARU | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan daripada Tiga Orang Saksi
Pada 31 Januari 2023, Mahkamah Kawasan Kamchatka mengenakan semula hukuman penjara tertangguh selama dua tahun terhadap Saudara Konstantin dan isterinya, Snezhana, dan Saudari Vera. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 15 Disember 2022, Lembaga Kehakiman bagi Kes Jenayah Mahkamah Agung Rusia membatalkan keputusan untuk membebaskan Saudara Konstantin Bazhenov, isterinya, Snezhana, dan Saudari Vera Zolotova. Kes mereka akan dikembalikan ke peringkat rayuan. Wakil daripada sekurang-kurangnya enam kedutaan luar negara telah menghadiri perbicaraan demi untuk menyokong Saksi-Saksi Yehuwa.
Pada 10 Jun 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Kesembilan menolak permintaan pendakwa untuk membatalkan pembebasan bagi Konstantin, Snezhana, dan Vera. Pendakwa telah membuat rayuan kepada Mahkamah Agung Rusia.
Pada 18 Januari 2022, Mahkamah Kawasan Kamchatka menyokong rayuan kedua Saudara Konstantin Bazhenov dan isterinya, Snezhana, serta Saudari Vera Zolotova. Mereka bebas daripada semua dakwaan. Sekarang, ketiga-tiga orang Saksi ini berhak menuntut pampasan akibat tuduhan jenayah yang tidak adil. Pendakwa akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Pada 17 November 2020, Mahkamah Kawasan Kamchatka menolak rayuan dalam kes yang melibatkan Saudara Konstantin Bazhenov, isterinya Snezhana, dan Saudari Vera Zolotova. Maka, hukuman penjara tertangguh selama dua tahun kini mula berkuat kuasa. Mereka tidak akan dipenjarakan buat masa ini. Mereka bertiga terus teguh dan bersukacita.
Di penghujung perbicaraan asal pada 25 September 2020, Saudara Bazhenov memberitahu hakim dengan berani bahawa dia tidak takut disabitkan bersalah. Dia juga berkata bahawa dia berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada nubuat di Yohanes 15:20 tentang murid-murid Yesus yang akan dianiaya.
Selanjutnya, Saudara Bazhenov mengingatkan mahkamah bahawa di Matius 28:19, 20, Yesus memerintahkan murid-muridnya supaya menginjil. Kemudian, Saudara Bazhenov bertanya, “Siapakah yang berhak membatalkan atau melarang apa yang diperintahkan oleh Kristus?” Dia berkata lagi, “Saya tidak dapat berdiam diri. . . . Saya akan terus menghebahkan berita baik daripada Bible.”